Pada ketika Kerajaan Persekutuan nampaknya penuh dengan ketidakpastian dan terdapat banyak anggapan bahawa Parlimen Persekutuan mungkin akan dibubarkan bila-bila masa, negeri Sabah telah mendahuluinya dengan Pilihanraya Negeri yang lebih awal, selepas Negeri di Bawah Bayu ini dilanda krisis politik yang melibatkan cubaan rampasan kuasa oleh Perikatan Nasional (PN) untuk menjatuhkan Kerajaan Negeri pimpinan Shafie Apdal.

Krisis politik di Sabah merupakan lanjutan kemelut politik negara yang tercetus daripada “Langkah Sheraton” pada bulan Februari 2020 yang menjatuhkan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang hanya berkuasa selama 22 bulan sejak Pilihanraya Umum ke-14 pada bulan Mei 2018. Berikutan rampasan kuasa di peringkat Persekutuan yang membolehkan Muhyiddin Yassin muncul sebagai Perdana Menteri yang disokong oleh satu gabungan politik yang tidak stabil dengan majoriti yang tipis dalam perwakilan Dewan Rakyat, beberapa buah negeri di Semenanjung Malaysia juga mengalami perubahan kuasa pentadbiran, seperti yang berlaku Johor, Melaka, Perak dan Kedah. Kemelut politik ini turut merentasi Laut China Selatan dan menular ke negeri Sabah yang ditadbir oleh kerajaan gabungan Parti Warisan Sabah (WARISAN) dan PH. Shafie Apdal yang menyandang jawatan Ketua Menteri telah bergegas untuk mendapatkan persetujuan Yang di-Pertua Negeri Sabah supaya membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada 30 Julai 2020, selepas pemimpin UMNO Sabah Musa Aman mendakwa bahawa PN telah menguasai majoriti dalam DUN Sabah.

Penamaan calon untuk Pilihanraya Negeri Sabah telah diadakan pada 12 September 2020, dan hari mengundi ialah 26 September 2020. Sebanyak 447 orang calon bertanding untuk merebut 73 kerusi dalam DUN Sabah. Pertandingan pelbagai penjuru berlaku di semua kawasan DUN, dengan adanya kawasan yang menyaksikan pertandingan 11-penjuru (kawasan DUN N.02 Bengkoka) dan 10-penjuru (kawasan DUN N.18 Inanam), di samping 9-penjuru di 3 kawasan DUN, 8-penjuru di 6 kawasan DUN, 7-penjuru di 13 kawasan DUN, 6-penjuru di 26 kawasan DUN, 5-penjuru di 15 kawasan DUN, 4-penjuru di 5 kawasan DUN dan 3-penjuru di 3 kawasan DUN. Sebanyak 1,124,598 orang layak untuk mengundi dalam Pilihanraya Negeri Sabah kali ini.  

Walaupun Pilihanraya Negeri Sabah menyaksikan pertandingan pelbagai penjuru di semua kawasan, tetapi adalah dijangkakan bahawa pertembungan asas masih adalah antara dua gabungan politik utama, iaitu “Warisan Plus” (yang terdiri daripada WARISAN, PH dan UPKO) dan Gabungan Rakyat Sabah (yang terdiri daripada BN, PN dan PBS).

Parti-parti yang bersekutu dalam menyokong Kerajaan Persekutuan pimpinan Muhyiddin, Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) walaupun beria-ia untuk merampas kuasa daripada WARISAN Plus, tetapi nampaknya tidak begitu padu dalam mengagihkan kerusi yang ditanding antara mereka. Wujudnya pertindihan calon daripada blok BN-PN-PBS ini di sebanyak 17 buah kawasan DUN (Bengkoka, Matunggong, Tandek, Kadamaian, Tanjong Aru, Kapayan, Moyog, Lumadan, Paginatan, Tambunan, Bingkor, Liawan, Melalap, Tulid, Sook, Telupid dan Karamunting).

Pilihanraya Negeri Sabah bakal menentukan nasib sama ada WARISAN yang dipimpin oleh Shafie Apdal dapat terus berkuasa atau tidak. Shafie Apdal yang cuba mempertahankan jawatan Ketua Menteri Sabah berdepan dengan pertandingan 5-penjuru di kawasan DUN Senaliang. Kita perlu ingat bahawa sebenarnya gabungan WARISAN dan PH tidak menang di Sabah dalam PRU-14 pada tahun 2018, kerana gabungan WARISAN-PH dan BN masing-masing menguasai 29 kerusi daripada kesemua 60 kerusi DUN Sabah pada masa itu (sementara 2 lagi kerusi dimenangi oleh STAR Sabah). Sejurus selepas PRU-14, STAR Sabah pimpinan Jeffrey Kitingan yang menjadi “kingmaker” memutuskan untuk menyokong BN membentuk kerajaan dengan Jeffrey Kitingan sebagai Timbalan Ketua Menteri, namun Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) yang menguasai 6 kerusi dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) yang mempunyai 1 kerusi pada masa itu telah memutuskan untuk meninggalkan BN dan menyokong WARISAN untuk menubuhkan Kerajaan Negeri Sabah. Kerajaan WARISAN-PH di Sabah ditubuhkan hasil daripada “politik katak” pada tahun 2018, dan Shafie Apdal menjadi Ketua Menteri. 26 bulan selepas itu, kerajaan WARISAN-PH tergugat dengan “politik katak” sehingga terpaksa membubarkan DUN Sabah untuk Pilihanraya Negeri yang lebih awal.

Dalam satu hantaran facebook pada 30 Julai 2020, iaitu sejurus DUN Sabah dibubarkan, S. Arutchelvan, Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), berkata, “Pilihanraya tidak boleh selesaikan masalah di Sabah, kerana ‘lompat parti’ dan politik wang akan menjadi penentu siapa yang memerintah.” Memang selagi politik wang masih berleluasa, mana-mana kerajaan yang memerintah selepas pilihanraya negeri pun, akan bertukar tangan kerana wujudnya politikus yang bertindak mengikut kepentingan diri dan sogokan wang.

Untuk membendung masalah “lompat parti” dan politik wang, kita perlukan pembaharuan yang menyeluruh terhadap sistem politik pilihanraya di negara kita. Banyak pihak telah mengemukakan pelbagai cadangan untuk pembaharuan sistem politik dan pilihanraya di negara kita, antaranya memperkenalkan sistem perwakilan berkadar dalam pengundian untuk wakil rakyat, mewujudkan mekanisme untuk melucutkan jawatan wakil rakyat bila-bila masa melalui pengundian, pendanaan awam untuk parti politik supaya menyekat pengaruh korporat, dan sebagainya.

Pilihanraya Negeri Sabah kali ini sepatutnya bertujuan untuk menyelesaikan kemelut politik yang timbul kerana masalah “lompat parti” dan menyerahkan keputusan untuk menentukan siapa yang akan memerintah negeri Sabah dalam 5 tahun akan datang kepada pengundi Sabah. Namun, ia tidak akan dapat menyelesaikan krisis politik yang berlarutan sekiranya kedua-dua gabungan WARISAN Plus dan BN-PN-PBS menguasai jumlah kerusi yang sangat dekat. Isu memancing wakil rakyat daripada pihak yang satu lagi untuk melompat ke sebelah pihak sendiri akan tetap wujud, dan keadaan politik masih tidak menentu. WARISAN Plus perlukan majoriti kerusi yang besar untuk menjamin kuasa pemerintahan di Sabah sekiranya menang, sementara BN-PN-PBS tidak menghadapi ancaman yang begitu hebat jika menang kerana ia mempunyai sokongan daripada Kerajaan Perikatan Nasional di peringkat Persekutuan walaupun gabungan itu juga tidak begitu stabil.

Dalam sandiwara politik untuk menentukan siapa yang bakal berkuasa di Sabah, isu-isu penting di Sabah, seperti masalah kemiskinan, projek mega yang mengancam alam sekitar dan kehidupan Orang Asal seperti Empangan Kaiduan, masih terus menghantui rakyat Negeri di Bawah Bayu. Lebih-lebih lagi Sabah sedang menghadapi ancaman wabak COVID-19 yang agak ketara pada saat-saat politikus berkempen untuk merebut kekuasaan politik di negeri itu tanpa visi pembaharuan dan jaminan kesejahteraan masyarakat yang jelas.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s