
Negara kita menyambut Hari Kebangsaan ke-69 pada 31 Ogos 2026 dan Hari Malaysia ke-63 pada 16 September 2026. Tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia pada tahun 2026 ialah “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati”, dengan fokus utama tema ini kononnya adalah untuk memastikan bahawa kesejahteraan bukan sahaja dikecapi oleh golongan tertentu, tetapi oleh seluruh rakyat tanpa pengecualian. Namun, di sebalik retorik ayat yang sedap bunyinya ini, persoalan yang masih wujud pada hari ini: Adakah rakyat benar-benar menikmati kesejahteraan yang sewajarnya? Adakah masyarakat kita benar-benar merdeka?
Kemerdekaan bukannya sekadar bermakna sesebuah negara itu mempunyai wilayahnya sendiri, kerajaannya sendiri, bendera kebangsaannya sendiri dan negara kebangsaannya sendiri. Ia adalah lebih daripada itu. Sebuah negara yang merdeka ialah sebuah negara yang bebas daripada cengkaman kuasa imperialis kapitalis, dengan rakyatnya bebas dalam menentukan nasib mereka sendiri dan mentadbir urus mereka sendiri secara bersama tanpa campur tangan kuasa asing.
Apabila kita menyebut tentang kemerdekaan, ia seharusnya meliputi empat aspek:
1. Kemerdekaan ekonomi
- Wujudnya ekonomi mandiri, iaitu ekonomi yang tidak bergantung kepada mana-mana kuasa asing, sama ada kebergantungan pada pelaburan asing, pasaran luar negara atau pengimportan barangan untuk kelangsungan ekonomi dalam negara.
- Sesebuah negara itu dapat mengawal dan menguruskan sumber alamnya supaya ia dapat digunakan secara lestari dan memanfaatkan masyarakat, di samping memelihara ekologi alam sekitar.
- Wujudnya keterjaminan hidup bagi rakyat, dengan pekerjaan bermaruah dan pengagihan kekayaan masyarakat yang saksama.
- Wujudnya keterjaminan makanan dengan pengeluaran makanan yang mencukupi untuk semua rakyat di dalam negara.
- Perusahaan-perusahaan yang strategik dikawal oleh negara yang bersifat demokratik, bukannya korporat yang mengutamakan keuntungan.
- Kerajaan berkeupayaan untuk menentukan dasar ekonomi secara bebas tanpa pengaruh kuasa asing.
2. Kemerdekaan politik
- Sesebuah negara itu dapat mentadbir secara sendiri tanpa kawalan politik daripada negara lain atau badan korporat swasta.
- Rakyat dalam sesebuah negara itu bebas menentukan nasib sendiri melalui proses demokrasi yang bebas daripada korupsi, penyelewengan kuasa dan pengaruh korporat.
- Rakyat dalam sesebuah negara itu bebas untuk memilih kerajaan yang mentadbir negara itu.
- Rakyat dalam sesebuah negara itu bebas daripada politik ketinggalan zaman penjajahan, seperti dasar pecah dan perintah mengikut kaum.
3. Kemerdekaan sosial
- Semua rakyat berhak untuk mengakses dan menikmati kemudahan asas, seperti air, elektrik, telekomunikasi, sanitasi, pengangkutan awam, pendidikan, kesihatan dan sebagainya, yang merupakan harta awam yang dikawal secara demokratik oleh rakyat, bukannya diswastakan kepada korporat yang mencari keuntungan.
- Semua rakyat menikmati sistem perlindungan sosial yang menyeluruh, termasuk jagaan kanak-kanak, keterjaminan kerja, pencen warga emas dan sebagainya.
- Rakyat dalam sesebuah negara itu bebas daripada segala bentuk diskriminasi, sama ada dari segi gender, kaum atau keupayaan.
4. Kemerdekaan minda
- Rakyat dalam sesebuah negara itu tidak lagi terperangkap dalam pemikiran bersifat kolonial yang mewujudkan kebergantungan ideologi terhadap “kuasa besar” dan “pemimpin hebat”.
- Rakyat dalam sesebuah negara itu bebas daripada fahaman pelampau yang eksklusif seperti rasisme, xenofobia, seksisme, patriarki, fundamentalisme agama dan nasionalisme sempit.
- Rakyat dalam sesebuah negara itu mampu berfikir secara kritis dan bebas, menilai sesuatu perkara berdasarkan fakta dan hujahan rasional, bukannya menerima sesuatu secara membuta tuli atau mudah dipengaruhi sentimen yang diapi-apikan oleh pihak tertentu.
- Rakyat dalam sesebuah negara itu mempunyai kesedaran yang tinggi dan berani untuk mempersoalkan sebarang ketidakadilan yang wujud serta mencabar struktur kuasa yang menindas.
Kemerdekaan ekonomi memerlukan keberanian dan kesungguhan politik untuk negara kita berputus sepenuhnya daripada kerangka ekonomi kolonial dan logik susunan ekonomi kapitalis global, yang menjadikan negara kita sebuah ekonomi yang berorientasikan eksport dan berasaskan eksploitasi terhadap tenaga buruh yang dibayar upah rendah. Kemerdekaan politik bermakna kita berputus sepenuhnya daripada kerangka politik kolonial, termasuk penghapusan undang-undang zalim yang ditinggalkan oleh pihak penjajah, demi mewujudkan demokrasi sejati. Kemerdekaan sosial yang menjamin perlindungan sosial dan akses kepada perkhidmatan awam merupakan asas kepada kesejahteraan masyarakat yang berkekalan. Kemerdekaan minda pula akan membolehkan rakyat kita mempunyai keterbukaan minda dan pemikiran kritis untuk memahami dunia, menganalisis keadaan, membuat keputusan secara bijak dan mengambil tindakan sewajar demi memajukan masyarakat kita.
Untuk mencapai kemerdekaan yang sebenar dalam empat aspek yang disebut di atas, kita perlu membina kuasa rakyat dari bawah melalui gerakan massa dan organisasi masyarakat yang bersifat demokratik, dilengkapi dengan kecelikan politik serta berkeupayaan untuk memperjuangkan hak asasi rakyat. Hanya dengan kuasa rakyat yang sedar dan celik politik, kita dapat sentiasa menyemak kekuasaan politik dan memastikan kerajaan itu benar-benar bertanggungjawab pada rakyat dalam melindungi kesejahteraan rakyat.
Kemerdekaan sejati ialah pembebasan rakyat daripada segala bentuk penjajahan, pemaksaan, perhambaan dan penindasan. Kemerdekaan sejati hanya wujud apabila rakyat dapat menentukan nasib sendiri dan membina sebuah masyarakat yang lebih baik secara kolektif. Kemerdekaan sejati hanya dapat dicapai dan dikekalkan melalui perjuangan rakyat yang berterusan. Tiadanya jalan pintas untuk pembebasan masyarakat dan keadilan sejagat.
