oleh Cecilia Anthonysamy
Segalanya bermula dengan fikiran. Fikiranlah yang mendorong kita untuk melakukan apa yang kita rasa adalah kebaikan. Yang menjadi persoalan ialah kebaikan untuk siapa? Kebaikan untuk diri sendiri sahaja? Kebaikan untuk sesama manusia? Kebaikan untuk keluarga sendiri sahaja atau juga termasuk masyarakat yang lebih luas?
Bagaimanakah kita mendapat idea bahawa sesuatu perkara itu ialah satu kebaikan? Adakah gaji kehidupan wajar (living wage) satu kebaikan ?
Adakah agama menunjukkan nilai-nilai kebaikan kepada kita? Atau kita mendapat nilai-nilai kebaikan daripada apa yang kita lihat dalam masyarakat atau apa yang dimomokkan dalam media? Adakah kita berkebolehan untuk menilai apa itu baik atau kita hanyut dibawa arus?
Adakah terlalu banyak yang tersirat dan tersurat dalam keagamaan dan kewajipan keagamaan, sehingga fikiran menjadi agak tidak dapat mengumpul, menyerap dan memahami nilai-nilai dasar kebaikan yang harus dipraktikkan sesama manusia?
Fikirkanlah nilai-nilai kebaikan sesama manusia yang dibawa oleh agama yang mewajibkan gaji kehidupan wajar (living wage) agar martabat insan sesama insan dihormati. Ada?
Adakah gaji kehidupan wajar akan dilaksanakan atas dasar bahawa ia adalah satu perkara yang baik, diberikan kerana majikan baik hati dan peduli pada kebaikan pekerja-pekerja? Mari kita imbas balik sejarah gerakan memperjuangkan gaji kehidupan wajar .
Sejarah di UK
Tahun 2026 merupakan ulang tahun ke-25 sejak bermulanya gerakan menuntut gaji kehidupan wajar (living wage) di UK. Pada masa itu (2001), semua golongan masyarakat di London Timur, termasuk mereka dari masjid, gereja, sekolah dan lain-lain telah berkumpul untuk membincangkan masalah-masalah yang dihadapi oleh masyarakat masing-masing.
Satu masalah yang asyik timbul berulang kali: gaji rendah.

Pada masa itu, pekerja pembersihan (cleaner) hanya dibayar £3.70 sejam. Jadi, semua pekerja yang menerima gaji rendah bersatu untuk menyeru majikan supaya membayar gaji bermaruah (decent wage) yang boleh menampung kos sara hidup.
Pada tahun 2003, Abdul Durrant, seorang pekerja pembersihan di bank telah berucap dalam mesyuarat agung tahunan bank, “Kita bekerja di pejabat yang sama, tetapi hidup di dalam dua alam yang berbeza.” Dia menceritakan bagaimana dia hidup dengan £4.50 sejam dan membesarkan 6 orang anaknya. Ucapannya disiarkan sebagai berita muka hadapan dalam banyak surat khabar. Hasil daripadanya, dalam tempoh 18 bulan, bank telah meningkatkan gaji pekerja pembersihannya. Ini merupakan titik perubahan bagi Kempen Gaji Kehidupan Wajar di UK.
Gerakan Gaji Kehidupan Wajar di peringkat nasional di UK dilancarkan pada tahun 2011. Yayasan Gaji Kehidupan Wajar (The Living Wage Foundation) ditubuhkan untuk mengiktiraf dan meraikan majikan yang membayar lebih daripada apa yang dituntut oleh perundangan.
Sejarah di New Zealand
Gerakan menuntut gaji kehidupan wajar di New Zealand bermula pada tahun 2011, hasil daripada buah fikiran Kesatuan Pekerja Perkhidmatan dan Makanan (Service and Food Workers Union). Gerakan ini berkembang pesat. Antara ahli-ahli gerakan menuntut gaji kehidupan wajar di New Zealand ialah kumpulan-kumpulan agama dan organisasi-organisasi kemasyarakatan selain daripada kesatuan-kesatuan pekerja.
Tujuan gerakan ini adalah untuk meningkatkan gaji pekerja-pekerja yang dibayar gaji rendah, seperti pekerja pembersihan kontrak yang perlu bekerja selama 70 jam seminggu tetapi gaji mereka hanya sekadar untuk cukup makan.
Pada tahun 2012, gerakan baharu yang bersatu atas kerisauan akan impak kemiskinan ke atas pekerja, keluarga dan masyarakat dilancarkan di Auckland, dikenali sebagai Gerakan Gaji Kehidupan Wajar Aotearoa New Zealand (Living Wage Movement Aotearoa New Zealand). Beberapa bulan kemudian, gerakan ini dilancarkan di Wellington dan kemudiannya berkembang pesat di setiap bandar di seluruh New Zealand. Gerakan ini menjadi kumpulan pendesak, tapak perbincangan, dan wadah yang mengemukakan hujah-hujah bernas berdasarkan bukti-bukti nyata.
Pada tahun 2013, gaji kehidupan wajar pertama dikenal pasti oleh pakar-pakar bebas di Unit Penyelidikan Dasar Pusat Keluarga (Family Centre Social Policy Research Unit) di New Zealand. Kadar ini ditetapkan agar pekerja dan keluarga mereka boleh hidup bermaruah dan mengambil bahagian dalam masyarakat.
Program akreditasi telah dimulakan pada tahun 2014 di New Zealand untuk memastikan majikan-majikan yang mengatakan mereka membayar gaji kehidupan wajar itu benar-benar membayar sedemikian, termasuk untuk pekerja kontrak. Akreditasi gaji kehidupan wajar telah menjadi kayu ukur untuk majikan yang baik.
Hanya melalui kuasa gerakan gabungan rakyat jelata di belakang Kempen Gaji Kehidupan Wajar, gaji beribu-ribu orang pekerja berpendapatan rendah yang bekerja dengan syarikat korporat, kerajaan negeri mahupun kerajaan persekutuan, majikan perniagaan mikro, kecil, dan sederhana (MSME) serta badan bukan kerajaan (NGO) telah dinaikkan ke paras gaji kehidupan wajar.
Di Malaysia, badan-badan agama yang memperjuangkan kebaikan seperti yang diseru dalam ajaran agama harus bergabung dengan gerakan pekerja demi mengangkat nilai manusia bermaruah dan merealisasikan gaji kehidupan wajar. Doa sahaja tidak mencukupi untuk kebaikan. Impak agama harus membina kemanusiaan.
Gaji kehidupan wajar tidak akan jatuh dari langit, melainkan melalui perjuangan menumpaskan penindasan yang melibatkan seluruh pelosok masyarakat.
==========
Cecilia Anthonysamy ialah seorang ahli Parti Sosialis Malaysia (PSM).
