

oleh S. Arutchelvan
Parti Sosialis Malaysia (PSM) menyokong sepenuhnya seruan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) untuk berpiket di pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di seluruh negara bagi membantah cara pelaksanaan Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK) atau Lindung 24 Jam, dan akan menyokong segala usaha untuk menjayakannya. Walau bagaimanapun, kami berharap MTUC benar-benar serius dengan niatnya dan bukan sekadar membuat ancaman kosong, kerana isu yang dihadapi ini sangat penting bagi kelas pekerja.
PSM juga mengingatkan MTUC bahawa tuntutannya harus jelas dan konsisten. Yang pertama, skim Lindung 24 Jam pada masa ini adalah bersifat pilihan — dan itu adalah tidak boleh diterima. Yang kedua, kos penuh skim ini ditanggung sepenuhnya oleh pekerja, dengan tiadanya caruman daripada majikan. Ini adalah tidak adil pada asasnya.
PSM telah menggesa kerajaan untuk menjadikan skim perlindungan 24 jam PERKESO sesuatu yang wajib dan memastikan kenaikan caruman itu dikongsi antara pekerja dan majikan.
Kami pernah mengeluarkan dua kenyataan mengenai perkara ini”
- Pada 2 Jun 2026, PSM menyatakan bahawa mengenakan pekerja untuk membayar 100% daripada kadar caruman itu mengeksploitasi kelas pekerja. Kami berpandangan bahawa mana-mana jaring keselamatan sosial negara harus merangkumi caruman bersama daripada majikan, selaras dengan rangka kerja piawaian PERKESO dan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP). Jika majikan atau pihak lain mempunyai masalah dengan perkara ini, maka kerajaan harus membiayai perbezaannya.
- Pada 7 Julai 2026, kami mengecam sekeras-kerasnya keputusan kerajaan untuk mengubah skim Lindung 24 Jam PERKESO (Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja) daripada mandatori kepada pilihan bagi pekerja tempatan.
Jika MTUC mempersoalkan kenaikan caruman, kerajaan mungkin akan menjawab dengan mengatakan bahawa skim ini adalah bersifat pilihan dan pekerja boleh memilih untuk tidak menyertainya. Inilah sebabnya mengapa penting untuk kerajaan menjadikan skim ini sesuatu yang wajib terlebih dahulu — seperti apa yang hendak dilakukan pada asalnya. Apa guna memanggilnya sebagai Lindung 24 Jam jika perlindungannya hanya bersifat pilihan?
Isu yang lebih besar: Gaji CEO yang boleh dipersoalkan
Selain skim itu sendiri, PSM juga khuatir dengan laporan mengenai imbuhan yang diterima oleh Ketua Eksekutif (CEO) PERKESO. Sudah tiba masanya untuk kerajaan mempertimbangkan secara serius untuk mengenakan siling gaji bagi ketua GLC dan badan berkanun kerajaan.
Bagaimana seorang CEO boleh memperoleh pendapatan antara RM90,000 dan RM120,000 sebulan sedangkan Kabinet terus menafikan gaji sara hidup yang sewajarnya bagi pekerja-pekerja Malaysia? Gaji minimum yang dicadangkan oleh Kabinet sentiasa lebih rendah daripada apa yang dicadangkan oleh Jawatankuasa Teknikal Perundingan Gaji Negara, yang menggunakan formula betul untuk menentukan gaji minimum yang adil.
PSM menyeru kerajaan untuk menjelaskan struktur gaji dan mendedahkan kepada orang awam imbuhan yang diterima oleh pegawai eksekutif tertinggi dalam GLC dan badan berkanun. Pekerja mempunyai hak untuk mengetahui ke mananya caruman mereka pergi. GLC bukannya bertujuan untuk mengkayakan individu, tetapi untuk menjaga kesejahteraan rakyat dan negara.
==========
S. Arutchelcan ialah Timbalan Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM).
