Rencana khas Hari Pekerja Antarabangsa 2026

Kita menyambut Hari Pekerja Antarabangsa pada 1 Mei setiap tahun. 1 Mei bukan sekadar hari kelepasan am atau cuti umum untuk “menghargai” sumbangan pekerja-pekerja kepada pembangunan negara, tetapi ia merupakan hari yang penuh bermakna untuk memperingati perjuangan pekerja di seluruh dunia selama ini yang telah membolehkan kita menikmati hak-hak pekerja hari ini, di samping terus mengangkat semangat perjuangan pekerja itu untuk mempertahankan hak-hak pekerja dan memajukan lagi usaha membebaskan masyarakat kita daripada segala bentuk eksploitasi dan penindasan.

Sambutan Hari Pekerja Antarabangsa berasal daripada gerakan pekerja pada abad ke-19 yang memperjuangkan pengurangan jam kerja sehari. Semasa Revolusi Perindustrian di negara-negara Eropah pada penghujung abad ke-18 dan awal abad ke-19, semakin ramai orang menjadi pekerja yang “menjual” tenaga kerja mereka kepada kilang-kilang. Pekerja-pekerja itu dipaksa untuk bekerja dengan jam kerja yang berpanjangan, mencecah 12 hingga 16 jam sehari. Slogan yang mula-mula dikemukakan pada tahun 1817 oleh Robert Owen, seorang tokoh sosialis utopia dari Britain, “8 jam kerja, 8 jam rekreasi, 8 jam rehat”, telah menjadi laungan perjuangan pekerja-pekerja di merata tempat untuk menuntut pengurangan jam kerja.

Pekerja-pekerja di Australia boleh dikatakan golongan pekerja yang paling awal berjaya memenangi kerja 8 jam sehari hasil daripada perjuangan mereka. Pada 18 Ogos 1855, Persatuan Tukang Batu di Sydney mengeluarkan ultimatum kepada pihak majikan yang menyatakan bahawa tukang-tukang batu di situ hanya akan bekerja 8 jam sehari selepas enam bulan. Namun, tukang-tukang batu yang bekerja di tapak pembinaan dua buah gereja di Sydney memutuskan untuk tidak menunggu sehingga enam bulan, maka terus melancarkan aksi mogok yang memaksa pihak majikan mereka untuk bersetuju dengan kerja 8 jam sehari. Mereka meraikan kemenangan itu dengan menganjurkan sebuah majlis makan malam pada 1 Oktober 1855 yang jatuh pada hari Isnin. Sejak itu, setiap hari Isnin pertama bulan Oktober disambut sebagai Hari Buruh di negeri New South Wales, Australia. Apabila ultimatum enam bulan oleh Persatuan Tukang Batu itu tamat pada bulan Februari 1856, oleh sebab pihak majikan enggan melaksanakannya, tukang-tukang batu melancarkan aksi mogok. Aksi mogok yang berlarutan selama 2 minggu itu memaksa pihak majikan untuk melaksanakan kerja 8 jam sehari mulai awal bulan Mac 1856, tetapi upah mereka juga telah dikurangkan seiring dengan pengurangan jam kerja.

Kejayaan yang lebih besar dicapai oleh kesatuan-kesatuan kraf yang lebih radikal di Melbourne. Pada 21 April 1856, tukang-tukang batu yang bekerja di tapak pembinaan Universiti Melbourne mengadakan aksi mogok. Mereka berarak ke Bangunan Parlimen Negeri Victoria bersama-sama pekerja-pekerja sektor pembinaan yang lain untuk menyampaikan tuntutan mereka, iaitu kerja 8 jam sehari. Aksi mogok besar-besaran itu berjaya memaksa kerajaan untuk bersetuju bahawa pekerja-pekerja yang diupah dalam kerja pembinaan patut menikmati kerja 8 jam sehari tanpa pengurangan upah. Tukang-tukang batu dan pekerja-pekerja lain di Melbourne meraikan kejayaan itu dengan bercuti sehari dan berarak di jalanan pada 12 Mei 1856. Menjelang tahun 1858, sistem kerja 8 jam sehari telah diamalkan secara meluas di negeri Victoria. Kejayaan perjuangan pekerja di Melbourne memberi dorongan kepada pekerja-pekerja lain di Australia untuk berorganisasi dalam usaha menuntut pelaksanaan kerja 8 jam bagi semua pekerja.

Kesatuan Pekerja Antarabangsa atau Internasional Pertama yang ditubuhkan pada tahun 1864, mengemukakan pada tahun 1866 bahawa mengehadkan jam kerja sehari merupakan “syarat awal yang tanpanya semua percubaan selanjutnya untuk penambahbaikan dan pembebasan mesti gagal”. Oleh itu, Internasional Pertama mencadangkan pengehadan jam kerja sehari kepada 8 jam di sisi undang-undang. “Ia diperlukan untuk memulihkan kesihatan dan tenaga fizikal kelas pekerja, iaitu sebahagian besar rakyat setiap negara, begitu juga untuk menjamin kemungkinan bagi mereka mencapai pembangunan intelektual, pergaulan sosial, dan tindakan sosial serta politik,” begitu tulisnya dokumen Internasional Pertama.

Gerakan menuntut kerja 8 jam sehari berkembang pesat di Amerika Syarikat selepas tamatnya Perang Saudara Amerika (1861-1865). Pada bulan Ogos 1866, semasa persidangan penubuhan Kesatuan Buruh Kebangsaan (National Labor Union, singkatan NLU), persekutuan kesatuan sekerja kebangsaan yang pertama di Amerika Syarikat, yang diadakan di Baltimore, delegasi-delegasi yang hadir dalam persidangan itu meluluskan resolusi yang berbunyi begini, “Keperluan yang paling utama dan terbesar pada masa ini untuk membebaskan buruh negara ini daripada perhambaan kapitalis, ialah meluluskan undang-undang yang menetapkan 8 jam sebagai hari kerja normal di semua negeri dalam Kesatuan Amerika. Kita bertekad untuk mengerahkan seluruh kekuatan kita sehingga hasil yang gemilang ini tercapai.” Pada 1 Mei 1867, pekerja-pekerja di Chicago melancarkan aksi mogok yang berterusan selama seminggu.

Pada penghujung tahun 1860-an dan awal 1870-an, organisasi-organisasi tempatan yang dikenali sebagai “Liga Lapan Jam” ditubuhkan di banyak tempat di seluruh Amerika Utara untuk memperjuangkan kerja 8 jam sehari. Pekerja-pekerja di Bandar Raya New York mengadakan mogok pada tahun 1872 untuk menuntut kerja lapan jam, dengan penyertaan mencecah 100,000 orang pekerja secara keseluruhan. Namun, aksi mogok yang hebat itu dipatahkan oleh pihak berkuasa.

Persekutuan Kesatuan Sekerja dan Buruh Tersusun (Federation of Organized Trades and Labor Unions, singkatan FOTLU) yang ditubuhkan pada tahun 1881 telah menjadikan kerja 8 jam sebagai salah satu matlamat perjuangannya. Konvensyen FOTLU yang diadakan di Chicago pada tahun 1884 meluluskan resolusi yang menetapkan 1 Mei 1886 sebagai hari bermulanya pelaksanaan kerja 8 jam sehari.

Pada 1 Mei 1886, ratusan ribu orang pekerja di seluruh Amerika Syarikat mengadakan aksi mogok dan demonstrasi jalanan untuk menuntut kerja 8 jam sehari tanpa potongan gaji. Kira-kira 30,000-40,000 orang pekerja bermogok di Chicago pada hari itu. Aksi mogok telah berterusan beberapa hari selepasnya. Pada 3 Mei 1886, pihak polis di Chicago menggunakan keganasan untuk menyuraikan demonstran dan menembak mati 2 orang pekerja. Pada 4 Mei 1886, orang ramai berhimpun di Dataran Haymarket, Chicago, untuk membantah keganasan polis dan menegaskan tuntutan pekerja mengenai kerja 8 jam. Semasa pihak polis menggunakan kekerasan untuk menyuraikan demonstran di Haymarket, sebutir bom dilontarkan ke arah polis dan menyebabkan 7 orang polis terbunuh. Polis melepaskan tembakan ke arah demonstran dan membunuh sekurang-kurangnya 4 orang pekerja. Selepas Peristiwa Haymarket, pihak berkuasa bersekongkol dengan golongan kapitalis untuk menindas kesatuan sekerja yang menuntut kerja 8 jam sehari. 8 orang aktivis didakwa dan dijatuhkan hukuman tanpa bukti kukuh, dengan 7 orang dihukum mati (2 orang kemudiannya dikurangkan hukuman, seorang membunuh diri dalam penjara) dan seorang lagi dipenjara selama 15 tahun.

Untuk memperingati Peristiwa Haymarket dan mendukung perjuangan pekerja untuk kerja 8 jam sehari, Internasional Kedua yang bersidang di Paris pada bulan Julai 1889, memutuskan untuk mengadakan demonstrasi serentak pada 1 Mei 1890 untuk menuntut kerja 8 jam sehari. Internasional Kedua ialah sebuah pertubuhan antarabangsa yang menghimpunkan parti-parti sosialis dan parti-parti pekerja. Pada 1 Mei 1890, demonstrasi diadakan di Amerika Syarikat dan kebanyakan negara di Eropah. Internasional Kedua kemudiannya memutuskan dalam kongres yang diadakan di Brussel pada tahun 1891 bahawa 1 Mei setiap tahun disambut sebagai Hari Pekerja Antarabangsa.

Dengan itu, 1 Mei menjadi hari keramat buat semua pekerja di seluruh dunia. 1 Mei hanya diumumkan sebagai Hari Pekerja di Malaysia pada tahun 1972 dan disambut mulai tahun 1973, tetapi ia mengambil tempoh masa lebih 7 tahun lagi untuk kerajaan meminda Akta Kerja supaya menjadikan Hari Pekerja sebagai hari kelepasan am wajib di seluruh negara. Kita dapat menyambut Hari Pekerja Antarabangsa sebagai cuti umum di Malaysia, bukannya kerana ihsan majikan kapitalis, tetapi ia adalah hasil daripada perjuangan pekerja yang terdahulu.

Selain kerja 8 jam sehari, perjuangan pekerja yang gigih dan berani juga memenangkan hak-hak pekerja yang lain, seperti hak untuk kesatuan, cuti sakit, gaji minimum, perlindungan sosial dan sebagainya. Namun, hak-hak pekerja ini sentiasa diancam oleh sistem kapitalis yang mengutamakan keuntungan korporat. Oleh itu, perjuangan pekerja harus diteruskan untuk memastikan hak-hak pekerja yang dimenangi oleh perjuangan pekerja terdahulu tidak digadaikan, sementara memajukan lagi usaha menjamin kesejahteraan pekerja dan membebaskan pekerja daripada segala bentuk eksploitasi.

Dengan pembangunan teknologi yang lebih canggih, seperti penggunaan kecerdasan buatan (AI), sepatutnya pekerja-pekerja dapat menikmati kehidupan yang lebih baik. Kemajuan teknologi yang meningkatkan produktiviti itu sepatutnya membolehkan pengurangan jam kerja sehari bagi pekerja tanpa mengurangkan gaji mereka. Pekerja hari ini sepatutnya tidak perlu lagi bekerja sehingga 8 jam sehari. Pekerja juga boleh menikmati waktu yang lebih panjang untuk rehat dan beriadah. Namun, realitinya tidak sebegitu. Ramai pekerja masih terpaksa bekerja dengan jam kerja harian yang panjang, kerana gaji rendah yang tidak mencukupi untuk menyara hidup. Terdapat juga pekerja bimbang tentang kehilangan punca pendapatan apabila kerja mereka digantikan dengan mesin dan AI yang lebih canggih. Kesatuan-kesatuan sekerja masih menghadapi pelbagai kekangan dalam memperjuangkan hak pekerja.

Oleh itu, perjuangan pekerja masih jauh belum selesai. Sambutan Hari Pekerja Antarabangsa pada 1 Mei setiap tahun ialah peringatan kepada semua pekerja bahawa kita harus teruskan perjuangan. Hari Pekerja Antarabangsa sepatutnya disambut dengan aksi demonstrasi jalanan yang mengetengahkan tuntutan pekerja semasa, bukannya majlis anjuran kerajaan yang diadakan di dalam dewan berhawa dingin.

Pada tahun 1994, beberapa buah kumpulan masyarakat akar umbi bergabung untuk menganjurkan aksi sambutan Hari Pekerja Antarabangsa di Dataran Merdeka. Perhimpunan itu merupakan aksi sambutan Hari Pekerja Antarabangsa yang pertama di jalanan selepas 20 tahun tiadanya aksi serupa. Sejak itu, Jawatankuasa 1 Mei yang disertai oleh pelbagai organisasi dan individu yang progresif menganjurkan aksi sambutan Hari Pekerja setiap tahun dan mengemukakan Deklarasi 1 Mei yang mengetengahkan tuntutan-tuntutan rakyat.

Tema sambutan Hari Pekerja anjuran Jawatankuasa 1 Mei

1994: Hak Peneroka Bandar dan Pekerja Ladang (perhimpunan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur)

1995: Sertakan Masyarakat Ladang Dalam Kementerian Pembangunan Luar Bandar (perhimpunan di hadapan Pejabat Perdana Menteri, Kuala Lumpur)

1996: Gaji Bulanan Untuk Pekerja Ladang (perhimpunan di Ladang Bukit Raja, Selangor)

1997: Rakyat Menuntut Keadilan: Gaji, Rumah, Tanah, Harga Barang (perhimpunan di Kampung Chubadak)

1998: Krisis Ekonomi: Majikan Dibela, Pekerja Ditindas (perhimpunan di Dewan Perhimpunan Cina KL dan Selangor, Kuala Lumpur)

1999: Pekerja Bersatu Menuntut Perubahan Tulen (perhimpunan di Kampung Sungai Nipah, Selangor)

2000: Pekerja Menuntut Akta Gaji Minima (perhimpunan di Ladang Stratasila, Perak)

2001: Pembangunan Saksama Untuk Semua (perhimpunan di hadapan KLCC, Kuala Lumpur)

2002: Kembalikan Hak Pekerja: Kerja, Gaji, Kesatuan (perarakan dari Chow Kit ke KLCC, tetapi dihalang polis)

2003: Perang Kapitalis, Pekerja Merana (perhimpunan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur)

2004: Pekerja Menuntut Demokrasi Sejati (perhimpunan di Padang Kota Lama, Pulau Pinang)

2005: Globalisasi Menghakis Hak Pekerja. Hentikan Penswataan Air dan Hospital (perhimpunan anjuran bersama MTUC di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur)

2006: Pekerja Menentang Penswastaan Air dan Hospital (perarakan dari Dataran Merdeka ke KLCC, Kuala Lumpur)

2007: 50 Tahun Merdeka: Pekerja Masih Dijajah (perhimpunan di Johor Bahru, Johor)

2008: Pekerja Kuasa Perubahan:Laksanakan Janji Pilihanraya (perhimpunan di Kuala Lumpur)

2009: Krisis Ekonomi: Selamatkan Pekerja Bukan Kroni (Perhimpunan di Seremban, Negeri Sembilan)

2010: Rakyat Bantah GST: Cukai yang Memiskinkan Rakyat (perhimpunan di Kuala Lumpur)

2011: Harga Barang Naik, Gaji Bila Lagi? – Pekerja Menuntut Akta Gaji Minima (perhimpunan di Maju Junction, Kuala Lumpur)

2012: Pekerja Kuasa Perubahan, Utamakan Hak Pekerja (perhimpunan di hadapan Menara Maybank, Kuala Lumpur)

2013: (Tiada aksi nasional kerana PRU-13)

2014: Bantah GST Sampai Tumbang (perarakan dari KLCC ke Dataran Merdeka, Kuala Lumpur)

2015: Batal GST (perarakan dari Central Market ke KLCC)

2016: Utamakan Pekerja, Selamatkan Malaysia (perarakan dari Maju Junction ke Medan Pasar, Kuala Lumpur)

2017: Hilang Kerja, Pekerja Merana – Tabung Henti Kerja Sekarang (perarakan dari Masjid Negara ke Bukit Bintang, Kuala Lumpur)

2018: Utamakan Pekerja dan Laksanakan Janji-janji Pilihan Raya (Tiada aksi nasional kerana PRU-14)

2019: Tinggikan Gaji, Hentikan Diskriminasi (perarakan dari Maju Junction ke Medan Pasar, Kuala Lumpur)

2020: COVID Menyerang, Pekerja Diancam (Tiada perhimpunan fizikal kerana Perintah Kawalan Pergerakan kerana pandemik COVID-19)

2021: Jaminan Kerja, Vaksin Kehidupan (perhimpunan berasingan di Kuala Lumpur, George Town, Ipoh, Johor Bahru dan Seremban)

2022: Jamin Perlindungan Sosial Pekerja (perhimpunan berasingan di Kuala Lumpur, Butterworth, Ipoh dan Johor Bahru)

2023: Gaji Bermaruah, Jaminan Makanan (perarakan dari Maju Junction ke Medan Pasar, Kuala Lumpur)

2024: Gaji untuk Hidup (perarakan dari Menara Maybank ke Dataran Merdeka, Kuala Lumpur)

2025: Naikkan Gaji, Bukan Bebanan (perarakan dari Pasar Seni ke Dataran Merdeka, Kuala Lumpur)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *