KUALA LUMPUR – 25 APRIL 2026: Hari hujan dan tindakan sabotaj yang keji tidak dapat menghalang rakyat daripada turun berprotes di jalanan untuk menyuarakan bantahan terhadap amalan rasuah dan ancaman mafia korporat. Kira-kira 1,000 orang menyertai aksi protes “Tangkap Azam Baki” di jalanan ibu negara pada hari ini.

Aksi himpunan ini dianjurkan oleh Sekretariat Tangkap Azam Baki, sebuah gabungan yang diterajui oleh kumpulan anak muda seperti MANDIRI dan banyak lagi. Para peserta berhimpun di hadapan Pasar Raya SOGO sebelum berarak menuju Dataran Merdeka.

Namun, tidak lama selepas perhimpunan bermula di hadapan Pasar Raya SOGO, berlakunya letupan bunga api yang menimbulkan keadaan kecoh buat seketika. Bunga api itu diletakkan di tepi kawasan pejalan kaki yang bersebelahan dengan peserta-peserta aksi. Adalah disyaki bahawa letupan bunga api itu merupakan tindakan berniat jahat untuk mensabotaj aksi perhimpunan rakyat menentang rasuah ini.

Walau bagaimanapun, orang ramai yang berhimpun di hadapan Pasar Raya SOGO berjaya menyusun semula barisan untuk berarak menuju ke Dataran Merdeka. Para peserta berarak dengan penuh bersemangat sambil menyanyikan lagu dan melaungkan slogan-slogan yang menolak korupsi.

Pihak polis telah menghalang peserta-peserta di persimpangan Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Tun Perak. Oleh itu, ucapan daripada wakil-wakil pelbagai pertubuhan masyarakat sivil dan parti politik diadakan di situ. Turut berucap ialah S. Arutchelvan, Timbalan Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM). Arutchelvan menegaskan tuntutan kempen “Tangkap Azam Baki”, iaitu menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk mengadakan siasatan telus terhadap isu pemilikan saham Azam Baki selaku Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Dulu semasa zaman Reformasi, Anwar Ibrahim dipukul sampai matanya lebam. Tapi pihak polis menafikannya malah Mahathir menuduh Anwar yang tumbuk sendiri. Rakyat tidak percaya dan terus berprotes. Akhirnya Ketua Polis Negara pada masa itu Rahim Noor mengaku bahawa dia yang pukul Anwar dan meletak jawatan,” kata Arutchelvan. “Inilah kekuatan rakyat yang turun berprotes untuk menuntut kebertanggungjawaban pihak berkuasa!”

Pada hari ini juga, sebelum aksi protes “Tangkap Azam Baki” berlangsung, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar selaku Ketua Setiausaha Negara mengumumkan bahawa Sultan Ibrahim selaku Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan pelantikan Datuk Seri Abdul Halim Aman sebagai Ketua SPRM baharu.

“Ini satu kemenangan kepada kuasa rakyat,” komen Arutchelvan mengenai Azam Baki tidak lagi dilanjutkan jawatannya. “Namun, ini masih tidak mencukupi. Kita harus terus mendesak untuk siasatan bebas terhadap penyelewengan dengan menubuhkan RCI dan melakukan reformasi institusi.”

Sekretariat Tangkap Azam Baki telah berulang kali mendesak siasatan telus terhadap isu pemilikan saham Azam Baki dan dakwaan mengenai mafia korporat dalam agensi penguatkuasaan. Kedua-dua isu ini telah mencetuskan kebimbangan terhadap integriti SPRM dan institusi penguatkuasaan negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *