Rencana khas Hari Bumi 2026

Banjir, kemarau, kebakaran hutan dan kenaikan paras laut, merupakan manifestasi krisis iklim yang berlaku di hadapan mata kita pada masa ini. Pelbagai bencana alam yang berkaitan dengan krisis iklim yang diakibatkan oleh sistem ekonomi kapitalis sedang memusnahkan kehidupan masyarakat manusia dan ekologi di merata tempat.

Kapitalisme yang ketagih bahan api fosil sejak zaman Revolusi Perindustrian telah melepaskan karbon dioksida dalam jumlah yang jauh lebih besar berbanding zaman-zaman sebelumnya, dan “menyumbang” kepada fenomena pemanasan bumi yang mengancam kelangsungan hidup masyarakat sedunia. Pada tahun 2022, sebanyak 37.1 bilion tan metrik karbon dioksida dilepaskan, bersamaan 182 kali ganda berbanding jumlah karbon dioksida yang dilepaskan pada tahun 1850 (204 juta tan metrik). Dalam tempoh masa yang sama, suhu purata dunia juga meningkat kira-kira 1.4 °C.

Menurut Pertubuhan Meteorologi Dunia (WMO), daripada analisis terhadap lapan set data, dua set data meletakkan tahun 2025 sebagai tahun kedua paling panas dalam tempoh 176 tahun, dan enam set data yang lain meletakkannya sebagai tahun ketiga paling panas. Kesemua lapan set data itu menunjukkan bahawa tahun 2023-2025 merupakan tempoh tiga tahun yang paling panas, dengan suhu purata adalah 1.48 °C lebih tinggi berbanding zaman sebelum Revolusi Perindustrian. Sementara itu, tempoh dari tahun 2015 hingga 2025, merupakan sebelas tahun yang paling panas dalam semua set data. Dalam erti kata lain, kita hidup dalam dekad yang paling panas dalam tempoh lebih dua abad kebelakangan ini.

Pemanasan bumi mendatangkan bencana alam yang lebih kerap dan lebih teruk. Namun, kesannya terhadap setiap orang itu tidak dialami secara sama rata. Apabila golongan terkaya dan syarikat-syarikat korporat besar terus menjarah sumber alam planet kita untuk keuntungan lumayan, ramai orang yang hidup dalam kemiskinan, termasuk wanita, orang asal dan pekerja bawahan, terpaksa menanggung kesan yang lebih teruk sehingga menjejaskan lagi taraf kehidupan mereka yang sudah cukup rendah itu. Dalam erti kata lain, orang kaya mengakibatkan krisis iklim, tetapi orang miskin yang menanggung akibatnya. Sementara itu, banyak kerajaan di dunia masih menyalurkan wang berbilion-bilion dalam bentuk subsidi kepada syarikat-syarikat bahan api fosil, sedangkan wang itu patut digunakan untuk membiayai penyelesaian kepada krisis iklim, bukannya pemusnahan alam sekitar.

Selain ekonomi perindustrian yang dipacukan oleh bahan api fosil, sektor ketenteraan yang menjadi punca kepada kemusnahan dan kehilangan nyawa dalam tempoh singkat juga “menyumbang” kepada krisis alam sekitar. Perbelanjaan ketenteraan di seluruh dunia telah mencecah sebanyak AS$2.7 trilion pada tahun 2024, dengan perbelanjaan ketenteraan itu meningkat setiap tahun sepanjang tempoh masa sedekad yang lalu. Kerajaan Amerika Syarikat (AS) merupakan negara dengan perbelanjaan ketenteraan yang terbesar, iaitu sebanyak AS$997 bilion pada tahun 2024, bersamaan 37% daripada jumlah sedunia. Dari perang Rusia ke atas Ukraine, ke jenayah genosid di Gaza oleh rejim Zionis Israel dan perang AS-Israel ke atas Iran, semuanya mendatangkan kesan alam sekitar yang mendalam. Sekatan terhadap laluan perairan Selat Hormuz baru-baru ini menimbulkan krisis tenaga dalam ekonomi dunia yang masih sangat bergantung pada bahan api fosil, dengan rakyat di banyak negara sudah merasai kesan negatifnya, sedangkan syarikat-syarikat minyak sudah pasti mengaut keuntungan yang lebih besar lagi daripada harga minyak yang melambung tinggi itu.   

Sistem kapitalis yang eksploitatif dan ekstraktif itu bukan sahaja mengancam kehidupan manusia di seluruh dunia, haiwan dan tumbuhan di bumi juga mengalami ancaman kepupusan besar-besaran kerana aktiviti manusia di bawah kapitalisme global yang membiak kemiskinan, ketidaksamarataan ekonomi, ketidakadilan sosial dan krisis alam sekitar. Krisis iklim yang mengancam dunia pada hari ini merupakan “hadiah” daripada kapitalisme global, sesuatu “hadiah” yang tidak mahu diterima oleh sesiapa pun, malah harus ditolak dengan tegasnya.

Krisis alam sekitar adalah buatan manusia yang mengancam kehidupan manusia. Krisis alam sekitar boleh terus berlaku kerana masih wujudnya sebuah sistem sosioekonomi yang mengutamakan keuntungan bukannya rakyat dan planet bumi. Syarikat-syarikat bahan api fosil terus mengaut keuntungan daripada krisis yang diwujudkan mereka, sementara rakyat bawahan di seluruh dunia yang terpaksa menanggung kesengsaraan akibat daripada pembakaran bahan api fosil.

Golongan terkaya 1% di dunia melepaskan karbon yang bersamaan dengan kuantiti yang dilepaskan oleh dua pertiga penduduk dunia. Karbon itu bukan sahaja datang daripada jet peribadi dan kapal layar mewah mereka, malah juga daripada pelaburan mereka dalam bahan api fosil untuk mengkayakan lagi diri mereka. Tambahan pula, negara-negara kaya hari ini yang membangunkan ekonomi mereka melalui pengekstrakan dan eksploitasi sumber alam, termasuk penjajahan terhadap negara-negara miskin sebelum ini, masih enggan membayar balik hutang iklim mereka kepada negara-negara di Selatan Global.

Semasa pandemik COVID-19, kerajaan dan masyarakat di seluruh dunia menunjukkan bahawa kita boleh melakukan perubahan yang tidak dapat dibayangkan sebelum itu untuk menangani ancaman yang terdesak. Kita juga boleh melakukan perkara yang serupa untuk menangani krisis alam sekitar. Krisis iklim bukannya sesuatu yang terasing, tetapi saling berkaitan dengan ketidakadilan sosial yang wujud dalam kapitalisme global. Kita perlu mendesak kerajaan kita untuk menyusun semula ekonomi kita dan membina sebuah masa hadapan yang lebih baik bagi semua orang. Kerajaan harus bertindak sekarang juga untuk mengurangkan pelepasan karbon oleh golongan terkaya dan meningkatkan sokongan kepada golongan termiskin dalam mengharungi cabaran krisis alam sekitar.

22 April setiap tahun disambut sebagai Hari Bumi. Hari Bumi mengingatkan kita semua tentang keperluan untuk memelihara alam sekitar kita daripada dihancurkan oleh aktiviti-aktiviti ekonomi yang mencemar alam, ekstraktif dan eksploitatif. Ini bukan sambutan sehari, tetapi memerlukan usaha kita setiap hari untuk memastikan pihak-pihak berwajib, termasuk kerajaan dan badan korporat, tidak mencuci tangan mereka daripada tanggungjawab memelihara alam sekitar dan menangani krisis alam sekitar yang sedang mengancam dunia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *