(foto: Mongkon Duangkhiew / Pexels)

oleh Cheong Huei Ting

Pencerobohan tentera Amerika Syarikat ke atas Iran telah menjerumuskan dunia ke dalam krisis tenaga. Sekatan di Selat Hormuz oleh Iran telah menyebabkan harga bahan api menaik secara mendadak dan membawa impak yang negatif kepada para pekerja dan rakyat di seluruh dunia. Perang ini telah mendedahkan isu-isu berikut:

  1. Ketegangan geopolitik telah mendedahkan kerapuhan sistem tenaga global, pasaran komoditi dan sistem ekonomi kapitalis.
  2. Bekalan tenaga global pada hakikatnya merupakan mekanisme imperialis bagi pengekstrakan sumber dan kekayaan dari negara-negara sedang membangun ke negara-negara maju.
  3. Kehidupan seharian kita dan sistem ekonomi kapitalis amat bergantung pada pengekstrakan global bahan api fosil yang berintensif karbon dan merosakkan alam sekitar.

Sempena Hari Bumi ini, kami menyeru semua negara untuk menegakkan kedaulatan terhadap sumber makanan, tenaga dan ekonomi mereka untuk membina masa depan yang lestari demi kesejahteraan komuniti. Ini perlu dilaksanakan supaya sumber semula jadi kita tidak dikawal oleh pasaran global dan kuasa imperialis dengan melaksanakan dasar-dasar di bawah:

1. Beralih kepada tenaga boleh diperbaharui

Kira-kira 90% kuasa elektrik Malaysia dijana oleh pembakaran bahan api fosil dan arang batu. Kami menyokong peralihan kepada sumber tenaga boleh diperbaharui, antaranya termasuk tenaga suria, kuasa hidro dan lain-lain untuk menjamin kelestarian alam sekitar. Peralihan sumber tenaga ini penting untuk menghentikan kemusnahan ekologi akibat pengekstrakan dan penggunaan bahan api fosil, perlombongan unsur nadir bumi, pembakaran arang batu, penebangan hutan dan lain-lain.

2. Mengukuhkan keterjaminan makanan tempatan

Malaysia mengimport hampir 60% bekalan makanan kita. Kadar import yang tinggi ini mendedahkan kita kepada risiko luaran, termasuk turun naik harga pasaran global. Kita mesti merancakkan pengeluaran makanan tempatan melalui inisiatif pertanian tempatan dan menjamin hak-hak petani. Polisi ini penting untuk mengurangkan pelepasan karbon daripada aktiviti pengimportan makanan serta mengawal harga makanan domestik daripada turun naik harga pasaran global.

3. Pelaburan dalam infrastruktur awam

Malaysia melepaskan 2.2 tan karbon per kapita daripada sistem pengangkutan, berbanding dengan purata serantau Asia Pasifik yang sebanyak 0.5 tan. Mobiliti rakyat Malaysia perlu dipisahkan daripada pasaran minyak global dengan mengukuhkan infrastruktur pengangkutan awam supaya mengurangkan penggunaan bahan api fosil, mengurangkan beban kewangan daripada pemilikan kenderaan persendirian, dan membina bandar lestari yang mengutamakan pejalan kaki dan basikal.

Peralihan beransur-ansur kepada sistem sosialis berpusatkan rakyat

Kita harus beralih daripada sistem ekonomi kapitalis yang didorong semata-mata oleh keuntungan kepada sistem ekonomi sosialis yang mengutamakan kesejahteraan manusia dan ekologi. Kita menuntut semua perang imperialis dihentikan segera dan fokus kepada penstrukturan semula ekonomi supaya ia mengutamakan infrastruktur awam dan mengawal pengeluaran secara demokratik.

Kita harus menegakkan kedaulatan ke atas sumber tempatan dan menggantikan dinamik eksploitatif antara negara sedang membangun dengan negara maju melalui perjanjian perdagangan yang adil dan saksama. Ia boleh menghalang kuasa imperialis daripada menggunakan sumber penting sebagai pengaruh geopolitik supaya tiada negara yang berpaksikan imperialisme dapat menjerumuskan dunia ke dalam krisis-krisis yang tidak berkesudahan.

==========

Cheong Huei Ting ialah Setiausaha Pemuda Sosialis PSM merangkap Penyelaras Biro Alam Sekitar, Krisis Iklim dan Orang Asli (BAKO) PSM.

Kenyataan akhbar ini diiterjemahkan oleh Sachin Nair, ahli BAKO PSM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *