KUALA LUMPUR – 20 APRIL 2026: Kira-kira seratus orang berprotes di hadapan Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada hari ini untuk menyuarakan bantahan terhadap Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia yang turut disertai oleh syarikat-syarikat yang membekalkan senjata kepada jenayah terhadap kemanusiaan.

Pameran yang diadakan dari 20 hingga 23 April 2026 ini disertai oleh syarikat-syarikat pembuat senjata yang mengaut keuntungan daripada peperangan yang meragut nyawa di Palestin, Iran, Lubnan, Sudan dan Congo. Antara syarikat-syarikat itu termasuk MBDA (pembuat peluru berpandu Eropah yang menjual komponen untuk bom GBU-39 yang digunakan di Gaza), Lockheed Martin (pengeluar pesawat tempur F-16 dan F-35 yang digunakan untuk membunuh orang awam di Palestin, Iran, Lubnan dan Yaman), Colt’s Manufacturing Company (pengeluar senapang Colt M16), Lewis Machine & Tool Company (pengeluar pelancar bom tangan yang digunakan oleh tentera Israel), Leonardo (syarikat Itali yang mengeluarkan meriam laut OTO 76/62 yang digunakan oleh tentera Israel), Thales (syarikat Perancis yang merupakan pengeluar dron yang digunakan untuk menyerang sekolah, hospital dan rumah kediaman orang awam di Gaza) dan banyak lagi.

Peserta-peserta aksi berarak dari Pusat Penjaja Jalan Duta ke pintu masuk MITEC, dengan membawa plakad-plakad yang mengecam penglibatan syarikat-syarikat pembuat senjata dalam jenayah perang di samping menyuarakan solidariti bersama rakyat yang dizalimi oleh jentera perang imperialis Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya.

“Semasa pameran NATSEC pada tahun 2024, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution ‘mencuci tangannya’ dengan mengatakan bahawa ia adalah terpulang kepada syarikat-syarikat yang menyertai pameran itu untuk mengesahkan sama ada mereka terlibat dalam genosid yang sedang berlaku di Palestin, sebagai maklum balas kepada protes terhadap pameran itu. Namun, dia tidak boleh lagi melepaskan tanggungjawabnya pada hari ini selepas laporan Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Francesca Albanese pada tahun 2025 yang mendedahkan penglibatan syarikat-syarikat ini dalam genosid,” kata Sivarajan Arumugam, Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) dalam satu kenyataan yang dikeluarkannya pada 17 April 2026.

“Menganjurkan acara sedemikian hanya menggalakkan peperangan, bukan kedamaian. Acara sedemikian menjadi platform untuk syarikat-syarikat persenjataan yang menghasut perang ini meningkatkan kedudukan ekonomi mereka di Asia dengan mengembangkan bahagian pasaran mereka dan memperkukuhkan kawalan hegemoni kompleks perindustrian-ketenteraan,” ulas Sivarajan. “Lebih-lebih lagi, membenarkan syarikat-syarikat yang berlumuran darah ini berpijak di atas bumi Malaysia secara langsung atau tidak langsung telah membantu dalam usaha perang Israel dan Amerika Syarikat (AS), sekali gus menjejaskan kemerdekaan berdaulat Malaysia dan membongkarkan kemunafikan kerajaan MADANI dalam pendiriannya yang anti-perang. Untuk mengekalkan dasar luar Malaysia selaras dengan prinsip-prinsip ‘keamanan dan berkecuali’, kerajaan harus berhenti membenarkan acara sedemikian yang mendorong perang dan pemusnahan.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *