20190819 - 2019_08_19_78229_1566196165._large.jpgRibuan rakyat Papua berprotes di jalanan pada hari ini (19 Ogos 2019) untuk menyuarakan bantahan mereka terhadap penindasan kerajaan Indonesia dan sikap rasis yang ditunjukkan oleh pegawai kerajaan Indonesia terhadap orang Papua. Dilaporkan bahawa adanya demonstran membakar bangunan parlimen tempatan di Manokwari, ibu kota provinsi Papua Barat. Seluruh bandar Manokwari telah dilumpuhkan kerana protes rakyat Papua. Protes besar-besaran turut tercetus di Jayapura, ibu kota provinsi Papua.

20190819- eight_col_Protest_march_in_Jayapura_against_racism_towards_Papuans_in_Indonesia__19_August_2019.jpg
Protes besar-besaran di Jayapura.

Protes tercetus di Papua Barat berikutan tindakan represif kerajaan Indonesia yang ganas terhadap aktivis-aktivis Papua baru-baru ini. Antara pencetus kemarahan orang Papua yang terbaru adalah penahanan pelajar-pelajar Papua di Surabaya, Jawa Timur. Pada 17 Ogos 2019, iaitu ketika Hari Kemerdekaan Indonesia, polis Indonesia mengepung tempat penginapan pelajar Papua di Surabaya dan melepaskan tembakan gas pemedih mata ke dalam asrama pelajar di situ sebelum menangkap 43 orang pelajar Papua. Aktivis Papua menuduh bahawa pegawai polis yang menjalankan tangkapan telah memanggil pelajar-pelajar Papua sebagai “monyet”. Sikap rasis pemerintahan pusat Indonesia inilah menjadi batu api yang mencetuskan kemarahan orang Papua.

Penangkapan aktivis-aktivis Papua turut berlaku di Jayapura, dan juga bandar-bandar di luar wilayah Papua seperti Malang, Ternate dan Ambon. Menurut Veronica Koman, seorang peguam hak asasi manusia di Indonesia, lebih 168 orang Papua telah ditahan polis pada 15 Ogos 2019, dua hari sebelum Indonesia menyambut Hari Kemerdekaannya. Kebanyakan orang yang ditahan merupakan aktivis yang memperjuangkan penentuan nasib sendiri (self-determination) untuk Papua.

Sebagai usaha untuk meredakan keadaan, Gabenor Papua Barat Dominggus Mandacan telah meminta Timbalan Datuk Bandar Malang Sofyan Edi Jarwoko untuk memohon maaf terhadap semua warga Papua atas kenyataannya yang mengancam untuk menghantar balik pelajar-pelajar Papua ke daerah asal mereka. Sofyan Edi Jarwoko mengeluarkan kenyataan tersebut selepas demonstrasi yang diadakan oleh Aliansi Mahasiswa Papua dan Fron Rakyat Indonesia untuk West Papua (FRI-WP) di bandar Malang, Jawa Timur, pada 15 Ogos 2019.

20190819-ECU9nd7U8AA2xlp.jpg

Baru-baru ini juga, Forum Kepulauan Pasifik (PIF) yang mengadakan mesyuarat di Tuvalu telah membincangkan situasi di West Papua dan disertai oleh Benny Wenda, pemimpin gerakan kemerdekaan West Papua. Kerajaan Indonesia pula menyatakan bantahannya terhadap tindakan PIF yang membincangkan isu pelanggaran hak asasi manusia di Papua Barat.

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh PIF, walaupun pemimpin-pemimpin negara anggota PIF “mengesahkan pengiktirafan untuk kedaulatan Indonesia terhadap West Papua”, tetapi mereka menggesa Kerajaan Indonesia untuk menetapkan tarikh bagi lawatan Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu supaya dapat menjalankan penyiasatan bebas terhadap laporan tentang pencabulan hak asasi manusia di West Papua.

20190819-INDONESIA-PAPUA1.jpg
Protes di Manokwari.

West Papua, iaitu bahagian barat pulau New Guinea yang merangkumi provinsi Papua dan Papua Barat sekarang ini, pernah dijajah oleh Belanda sebelum diduduki oleh Indonesia pada tahun 1963. Penguasaan Indonesia terhadap West Papua dijadikan rasmi pada tahun 1969 melalui referendum “Penentuan Pendapat Rakyat” yang tidak bebas di bawah pemerintahan diktator Suharto, di mana pihak tentera Indonesia telah memilih 1,025 orang daripada lebih kurang 800,000 orang penduduk di West Papua pada masa itu dan memaksa mereka mengundi untuk menyokong pengilhakan West Papua oleh Indonesia. Untuk setengah abab yang lalu ini, dianggarkan seramai 500,000 orang rakyat West Papua terkorban dalam perjuangan mereka untuk pemerintahan sendiri. Rakyat West Papua terpaksa berdepan dengan penindasan yang kejam dan budaya ketakutan yang dibawa oleh pemerintahan pusat Jakarta. Tentera dan polis Indonesia telah melakukan penindasan secara sistematik terhadap rakyat West Papua dengan mengapi-apikan sentimen perkauman.

4 thoughts on “West Papua: Rakyat Papua bangkit tolak rasisme dan penindasan kerajaan Indonesia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *