Surya Anta Ginting, seorang aktivis Indonesia yang giat mendukung perjuangan rakyat Papua Barat untuk menentukan nasib sendiri, telah dibebaskan dari penjara Salemba di Jakarta Pusat pada 26 Mei 2020, bersama-sama dengan 3 orang lagi tahanan politik dari Papua Barat, iaitu Ambrosius Mulait, Charles Kossay, dan Dano Tabuni. Seorang lagi tahanan politik, Arina Elopere yang ditahan di penjara wanita Pondok Bambu di Jakarta Timur, juga dibebaskan pada 27 Mei 2020. Mereka dibebaskan selepas ditahan di dalam penjara hampir 9 bulan.
Seorang lagi tahanan politik Papua, Issay Wenda, yang dihukum penjara 8 bulan, telah dibebaskan bulan lalu.
Menurut Michael Himan, anggota Pasukan Advokasi Tahanan Politik Papua, tahanan-tahanan politik Papua yang baru dibebaskan ini bertekad untuk terus memberi sokongan dan solidariti kepada tahanan-tahanan politik Papua yang lain yang masih berada di dalam penjara. Bekas tahanan politik Papua ini menyeru pada Kerajaan Indonesia untuk membebaskan semua tahanan politik Papua, khususnya dalam keadaan penularan wabak COVID-19. Kerajaan Indonesia pernah menjanjikan pembebasan awal untuk mencegah penularan COVID-19 di dalam penjara Indonesia yang penuh sesak, tetapi pelaksanaannya telah dilambat-lambatkan.
Surya Anta Ginting, jurucakap Fron Rakyat Indonesia untuk West Papua (FRI-West Papua), ditangkap oleh polis di Jakarta pada 31 Ogos 2019, atas dakwaan bahawa beliau terlibat dalam tindakan subversif berkaitan dengan aktivitinya yang menyokong perjuangan di Papua. Tangkapan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha pihak berkuasa Indonesia untuk mematahkan kempen menyokong kebangkitan rakyat Papua Barat pada masa itu.
Surya Anta dan 5 orang akvitis Papua telah didakwa di mahkamah atas pelanggaran kanun jenayah kerana tindakan mereka mengadakan protes aman di hadapan Istana Presiden di Jakarta Pusat pada 28 Ogos 2019. Mereka memprotes untuk menentang rasisme terhadap pelajar-pelajar Papua di Surabaya pada masa itu.
Pada 24 April 2020, panel hakim di Mahkamah Daerah Jakarta Pusat menjatuhkan hukuman penjara 9 bulan untuk Surya Anta, Ambrosius Mulait, Charles Kossay, Dano Tabuni dan Arina Elopere; sementara Issay Wenda dijatuhkan hukuman penjara 8 bulan. Hukuman ini adalah lebih ringan berbanding hukuman yang dituntut oleh pihak pendakwaraya, iaitu 17 bulan dan 10 bulan masing-masing.
Isu penindasan terhadap akvitis dan rakyat Papua yang menuntut untuk menentukan nasib sendiri masih berterusan. Oleh itu, solidariti kepada perjuangan rakyat Papua dan penuntutan pembebasan semua tahanan politik perlu diteruskan.