20190819 - lynas02.jpgLebih kurang 500 orang berhimpun di Taman Gelora, Kuantan, Pahang, pada 18 Ogos 2019 untuk menyuarakan bantahan mereka terhadap tindakan Kerajaan Malaysia yang melanjutkan lesen operasi kilang nadir bumi Lynas di Gebeng, berdekatan dengan Kuantan.

Para peserta aksi perhimpunan membawa plakad dan sepanduk yang tertulis tuntutan rakyat yang menggesa Kerajaan untuk menghentikan operasi Lynas. Satu aksi simbolik dengan sebuah “Bas U-Turn Pakatan” buatan kadbod naik ke pentas perhimpunan sebagai sindiran kepada Kerajaan Pakatan Harapan yang melakukan U-turn dalam pelaksanaan manifesto pilihanrayanya, termasuk janjinya untuk menghentikan industri yang memudaratkan kesihatan rakyat dan alam sekitar.

20190819 - lynas

Tan Bun Teet selaku Pengerusi Save Malaysia Stop Lynas, iaitu penganjur aksi perhimpunan tersebut, berkata bahawa apabila kerajaan melakukan U-turn dalam isu Lynas, ramai wakil rakyat yang membantah Lynas sebelum ini telah berdiam diri.

Baru-baru ini, Kerajaan Pakatan Harapan telah melanjutkan lesen operasi Lynas. Parti Sosialis Malaysia (PSM) dalam kenyataannya pada 16 Ogos 2019 mengatakan bahawa “membenarkan Lynas untuk terus beroperasi di Malaysia merupakan sebuah pengkhianatan kepada rakyat dan alam sekitar”.

Syarikat Lynas membuka kilang memproses nadir bumi di Kuantan, bukannya syarikat dari Australia itu ingin mencipta peluang pekerjaan atau membangunkan ekonomi di negara kita, tetapi hanya kerana kos melabur di Malaysia jauh lebih murah daripada di Australia. Isu yang menjadi tumpuan dan dibantah ramai orang sejak awal lagi adalah penghasilan sisa-sisa buangan radioaktif yang membahayakan kesihatan rakyat dan alam sekitar.  Setakat ini, operasi kilang Lynas telah menjana lebih 600,000 tan sisa radioaktif, dan dijangkakan akan menjana sisa radioaktif terkumpul sebanyak lebih 1.3 juta tan dalam tempoh 4 tahun yang akan datang. Selain itu, kilang Lynas juga dianggarkan akan menjana lebih 2 juta tan sisa kimia dalam 4 tahun yang akan datang sekiranya terus beroperasi.

Jika negara Australia yang mempunyai permukaan padang pasir hampir 8 kali ganda besarnya berbanding Malaysia enggan menerima sisa radioaktif Lynas, bukankah negara Malaysia yang tidak mempunyai tempat luas yang sesuai untuk penyimpanan sisa radioaktif dan toksik ini lagi tidak sesuai untuk menerima sisa radioaktif Lynas? Amat jelas sekali, sejak awal lagi, syarikat Lynas yang menjana keuntungan lumayannya daripada operasinya di Malaysia ini hanya menganggap Malaysia sebagai tong sampahnya untuk membuang sisa radioaktif yang berbahaya untuk rakyat. Lebih-lebih lagi, Lynas telah diberi layanan khas daripada Kerajaan Malaysia sejak zaman Barisan Nasional, iaitu diberikan pelepasan cukai pendapatan untuk tempoh selama 12 tahun, maknanya adalah syarikat Lynas masih tidak membayar satu sen cukai pun kepada Kerajaan Malaysia sehingga kini!

Rakyat yang berhimpun di Kuantan telah menyampaikan satu mesej yang jelas, iaitu hentikan operasi Lynas sekarang juga.

Aktivis-aktivis PSM turut serta dalam aksi perhimpunan anti-Lynas di Kuantan pada 18 Ogos 2019. Sementara itu, aktivis-aktivis di Pulau Pinang juga mengadakan aksi solidariti serentak dengan perhimpunan di Kuantan.

20190819 - lynas03
Aksi solidariti anti-Lynas di George Town, Pulau Pinang. (Foto oleh Thum Chia Chieh)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *