oleh Nik Aziz Afiq bin Abdul
Pemuda PSM menzahirkan sokongan kepada usul pindaan perlembagaan bagi menurunkan kelayakan umur mengundi dari 21 tahun kepada 18 tahun. Menurut kenyataan Azhar Azizan Harun selaku Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), usul ini akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 4 Julai ini untuk dibahaskan.
Kami melihat usul ini penting sekiranya diluluskan terutama dalam memberikan beberapa implikasi seperti menambah penglibatan anak muda dalam ruang demokrasi sekaligus memberikan kemampuan untuk berperanan bersama dalam memacu hala tuju negara.
Sungguhpun begitu, ada beberapa perkara perlu difahami sekiranya usul ini dianggap penting oleh pihak kerajaan. Pertama, anak muda dilanda mood kecewa dan meluat begitu tinggi pasca pilihanraya umum yang lalu. Buat kali pertama sebuah rejim bernama BN berjaya ditumbangkan dengan kejutan memeranjatkan daripada anak-anak muda yang selama ini dilihat “diam” demi sebuah “Malaysia Baru”. Malangnya anak muda pula yang terima kejutan kerana janji-janji yang ditawarkan dalam manifesto dipijak tanpa rasa bersalah dengan alasan-alasan karut. Isu PTPTN misalnya merupakan contoh terbaik kehebatan Pakatan Harapan (PH) menyajikan kisah dongeng dan flip flop.
Kedua, anak muda masih cuba bersabar kerana memahami tidak mudah untuk kerajaan secara drastik melakukan perubahan. Tetapi kesabaran itu dicabar tanpa henti dan tanpa rasa bersalah apabila kerajaan baru terus mengamalkan budaya kerajaan lama yang pernah ditentang mereka ketika menjadi pembangkang dulu. Antara isu terdekat adalah pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM tanpa melibatkan Jawatankuasa Pemilihan Khas Parlimen untuk Pelantikan Jawatan Utama (PSC) adalah kenangan pahit apabila PH rakus menggunakan kuasa sewenangnya. Undi anak muda dan majoriti rakyat Malaysia tidak dihargai dan dipersia-siakan.
Ketiga, tambah memburuk lagi, kita masih dihidang setiap masa dengan politik perkauman yang tidak berkesudahan. Tiada solusi yang diberikan sebaliknya hanya sekadar “menyapu sampah bawah permaidani”. Ia menjadi bom jangka yang bakal meletup suatu masa nanti lalu meranapkan segalanya kerana sengaja tidak mahu ditangani. Kelemahan ini sedang dinikmati parti-parti pembangkang berhaluan kanan yang terus “membantu” memercikkan api perkauman.
Terakhir sekali, budaya politik jijik masih begitu laku dimainkan para politikus yang suka mengalihkan pandangan terhadap kesengsaraan rakyat pada cerita dalam kain parti mereka. Hari-hari berita pertelingkahan sesama mereka sendiri yang perlu ditatap di dada akhbar macamlah negara kita tidak cukup masalah lagi untuk ditambah.
Kelemahan dan kekurangan ini membuatkan kesedaran terhadap fungsi legislatif juga sukar untuk dapat ditingkatkan. Lalu hampalah anak muda, rasa undi mereka hanya sia-sia, beratur panjang 9 Mei tahun lalu hanya sia-sia kerana mereka disia-siakan oleh mana-mana kerajaan yang mengambil pemerintahan. Antara usaha yang boleh dilakukan bagi meningkatkan kesedaran pengundi yang rendah adalah pendedahan awal di bangku sekolah melalui sukatan pelajaran, lawatan lapangan ke masyarakat termiskin dan ko-kurikulum debat berkenaan polisi dan isu sosial negara.
Kami mengharapkan usaha untuk menambah penglibatan anak muda ini merupakan usaha yang serius dan menyeluruh. Bukan sekadar satu aksi separuh masak yang menghilangkan kepercayaan anak muda pada sistem demokrasi negara.
==========
Nik Aziz Afiq bin Abdul ialah Ketua Pemuda Parti Sosialis Malaysia.