20190703 - pasir-gudang-pollution.pngoleh P. Mohan

Pencemaran udara kali kedua yang melanda Pasir Gudang baru-baru ini membimbangkan penduduk tempatan. Walaupun tidak berlaku sebarang kematian, tetapi ianya membawa gangguan kesihatan kepada orang ramai di kawasan tersebut, khususnya kanak-kanak.

Pasir Gudang ialah bandar pelabuhan yang pesat maju di negeri Johor dan mempunyai banyak  industri kimia. Dengan penambahan kepadatan industri moden di kawasan ini, secara umumnya berkemungkinan membawa kepada peningkatan pencemaran udara. Pada masa yang sama, banyak kawasan perumahan, sekolah dan pusat komuniti juga terletak sangat  erhampiran dengan kilang- kilang ini.

PSM Johor mengalu-alukan keputusan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin untuk menghentikan apajua kelulusan baru untuk kilang kimia di kawasan Pasir Gudang. Lanjutan daripada keputusan ini, pihak Kementerian juga harus meletakkan garis panduan yang baru kepada pihak berkuasa apabila meluluskan industri-industri baru di sesuatu kawasan. Kepadatan dan perjenisan industri kimia yang sedia ada harus diambil kira sebelum meluluskan pembinaan kilang baru.

Pertimbangan ekonomi yang hanya menfokuskan pelaburan asing dan pelaburan tempatan yang menjana pendapatan bagi negeri haruslah tidak membelakangkan impak kepada persekitaran dan rakyat persekitaran.

PSM Johor mencadangkan agar pihak Kementerian melihat masalah pencemaran ini secara holistik. Selain daripada kepadatan kilang-kilang di kawasan perindustrian ini, pembangunan pesat di persekitaran juga menyebabkan kawasan hutan dan ladang kelapa sawit kini ditebang dan dibangunkan. Pembangunan sebegini mengurangkan zon hijau yang boleh menjadi penyerap atau pembersih udara sebelum dibawa angin ke kawasan sekolah dan perumahan.

Jadi, kes Pasir Gudang ini harus dijadikan teladan, apabila merancang pembangunan suatu kawasan industri kimia dan industri berat. Perlu dipastikan bahawa wujudnya zon penampan yang mencukupi di antara kawasan industri dan perumahan atau sekolah.

Pendedahan Menteri bahawa terdapat tiga jenis gas, iaitu acrylonitrile, acrolein dan methyl mercaptan di kawasan ini,  harus diambil serius kerana ianya seolah-olah mengambarkan bahawa pengusaha industri di kawasan ini tidak menapis atau membuat pembersihan gas-gas yang dibebaskan daripada proses pengilangan mereka.

Dalam jangka masa panjang, kerajaan perlu menggunakan pendekatan yang lebih efektif seperti menyediakan alat berfungsi untuk mengesan indeks udara dengan lebih berkesan. Adalah lebih baik jika ia dipasang di semua kawasan sekolah supaya pihak sekolah dapat membaca indeks udara dan mengambil langkah-langkah keselamatan dengan segera.

==========

P. Mohan ialah aktivis PSM Johor.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *