oleh Cecilia Anthonysamy

“Kalau tak suka, kamu semua boleh berhenti.” Ini jawapan majikan apabila pekerja mengadu dan memohon untuk dibayar gaji minimum. Pekerja-pekerja kontrak pembersihan di sebuah universiti di Kuala Lumpur hanya dibayar gaji RM900 sebulan. Tidak ada potongan PERKESO, KWSP atau Skim Insurans Pekerjaan (SIP). Tidak ada kontrak bertulis. Tidak ada penyata gaji pun. Inikah nasib pekerja bawahan yang bekerja di menara gading yang dikagumi?

Perintah Gaji Minimum (Pindaan) 2018 yang dikuatkuasakan mulai 1 Januari lalu, memperuntukkan kadar gaji minimum yang seragam di seluruh negara.  Namun, ada majikan yang tidak berhati perut, begitu angkuh dan berani untuk tidak mengikut undang-undang.

Adakah majikan bermaharajalela kerana begitu yakin tiada sesiapa yang akan buat apa-apa? Begitu berani sekali para majikan memijak kepala pekerja. Sekiranya penguatkuasaan undang-undang dilakukan dengan efisien selama ini, adakah majikan akan bersikap angkuh begini? Perkara ini telah pun dilaporkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), pihak yang memberi kontrak kepada kontraktor ini. Namun, KPM tidak bertindak. Sepatutnya kontraktor begini sudah disenaraihitamkan. Sepatutnya kontrak ditarik balik dan pekerja dibela. Tetapi sebaliknya KPM hanya memohon aduan disampaikan kepada Jabatan Tenaga Kerja untuk tindakan seterusnya.

Jabatan Tenaga Kerja kini perlu bertindak. Tidak perlu pengesahan daripada pekerja dulu sebelum mengambil tindakan. Adakah pengesahan perlu dilakukan? Bukankah Jabatan Tenaga Kerja boleh terus bertindak menyemak rekod majikan?  Kenapa tidak ada keprihatinan terhadap nasib pekerja? Jabatan Tenaga Kerja harus menjadi pelindung pekerja yang tegas yang disegani oleh majikan. Tindakan cekap, cepat dan tegas diperlukan daripada pihak penguatkuasa undang-undang.

Mengikut laporan Berita Harian bertarikh 26 Jun 2019, Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) yang berada di bawah Kementerian Sumber Manusia, melancarkan Operasi Pemeriksaan Pematuhan Gaji Minimum serentak di seluruh negara. Pengarah Standard Perburuhan JTK Mohd Asri Abdul Wahab, berkata bahawa operasi diadakan bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) itu memfokus kepada pematuhan gaji minimum RM1,100 sebulan oleh majikan seperti ditetapkan bawah Perintah Gaji Minimum (Pindaan) 2018.

Adalah dilaporkan bahawa operasi itu akan berlangsung selama enam hari hingga Ogos depan, iaitu 26 dan 27 Jun, dan dua minggu sekali pada bulan Julai serta Ogos. Melalui operasi berkenaan, pegawai penguat kuasa daripada ketiga-tiga agensi akan mengunjung organisasi majikan yang disyaki tidak mematuhi perintah gaji minimum, berdasarkan senarai dibekalkan KWSP. Setiap agensi akan membuat pemeriksaan mengikut prosedur operasi standard (SOP).  “JTK akan melihat rekod gaji sama ada mematuhi perintah gaji minimum atau sebaliknya, selain meneliti aspek pematuhan lain oleh majikan,” kata Mohd Asri Abdul Wahab.

Operasi sebegini, jika hanya dilakukan selama enam hari sahaja tidak memadai. Jabatan Tenaga Kerja harus bertindak menyerbu mana-mana majikan yang disyaki tidak mematuhi undang-undang pada bila-bila masa. Sebarang informasi yang diterima daripada mana-mana pihak yang berjuang untuk hak pekerja harus disiasat. Tidak perlu tunggu aduan daripada pekerja.

Jabatan Tenaga Kerja dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) harus bertindak melindungi pekerja kontrak yang ditindas oleh majikan yang memperlekehkan periuk nasi kaum pekerja dengan tidak menghormati hak pekerja di sisi undang-undang. Penguatkuasaan undang-undang Gaji Minimum yang tegas, efisien dan perihatin penting untuk menegakkan hak pekerja. Ini tanggungjawab kerajaan. Jangan biarkan majikan terus memangsakan pekerja.

==========

Cecilia Anthonysamy ialah aktivis Biro Pekerja Parti Sosialis Malaysia (PSM).

One thought on “Serbu majikan yang tidak patuh Perintah Gaji Minimum – JTK harus lebih tegas lindungi hak pekerja

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *