“Kekayaan bilionair meningkat secara mendadak pada tahun 2024, dengan kadar peningkatan tiga kali ganda lebih cepat berbanding tahun 2023. Bertrilion-trilion telah diberikan dalam harta warisan, mewujudkan oligarki bangsawan baharu yang mempunyai kuasa yang besar dalam politik dan ekonomi kita,” begitu tulisnya laporan terbaru yang diterbitkan oleh Oxfam International yang mendedahkan hakikat bahawa oligarki bilionair bertumbuh semakin besar sementara kelas pekerja bergelut untuk terus hidup. “Rakyat yang hidup dalam kemiskinan di seluruh dunia terus berhadapan dengan pelbagai krisis. Parut pandemik masih bersama kita dalam bentuk hutang yang tidak dapat dibayar, gaji yang lebih rendah dan harga makanan yang jauh lebih tinggi, menjadikan kehidupan harian satu pergelutan untuk berbilion-bilion orang.”

Oxfam International menerbitkan laporan terbarunya mengenai ketidaksamarataan ekonomi di dunia pada 20 Januari 2025, dengan tajuk “Pengambil bukan Pencipta: Kemiskinan yang tidak adil dan kekayaan yang diperoleh tanpa usaha daripada kolonialisme” (Takers not Makers: The unjust poverty and unearned wealth from colonialism). Laporan ini diterbitkan pada ketika pemimpin-pemimpin politik, pegawai-pegawai eksekutif korporat dan golongan mahakaya di seluruh dunia bersidang dalam Forum Ekonomi Dunia yang diadakan di Davos, sebuah tempat peranginan di Switzerland, dari 20 hingga 24 Januari 2025. Tinjauan Oxfam terhadap harta-harta bilionair di dunia ini tepat pada masanya dengan Donald Trump mengangkat sumpah sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS). Trump telah menjadikan beberapa orang bilionair sebagai penasihat yang rapat dengannya, seperti Elon Musk, orang terkaya di dunia yang merupakan ketua pegawai eksekutif bagi syarikat Tesla dan SpaceX. Pentadbiran Trump dijangka akan menawarkan lebih banyak pelepasan cukai kepada warga AS yang paling kaya, maka melebarkan lagi jurang kekayaan, bukan sahaja di dalam negara AS, malah di seluruh dunia.

(grafik: Oxfam)

Laporan Oxfam menjangkakan bahawa 5 orang trilionair (orang yang memiliki kekayaan mencecah AS$1,000,000,000,000) akan wujud dalam tempoh masa satu dekad jika trend pengagihan kekayaan dunia sekarang berterusan. Sementara itu, krisis ekonomi, krisis iklim dan konflik peperangan menyebabkan jumlah orang yang hidup dalam kemiskinan hampir tidak berubah sejak tahun 1990. Jangkaan Oxfam pada tahun lepas (2024) tentang kemunculan trilionair dalam tempoh satu dekad hanyalah seorang sahaja.

Kebanyakan kekayaan bilionair itu diambil, bukannya diperoleh dengan usaha – 60% datang daripada sama ada pewarisan harta, kronisme dan korupsi atau kuasa monopoli,” laporan Oxfam mendedahkan hakikat ini. “Dunia kita yang amat tidak sama rata ini mempunyai sejarah dominasi kolonial yang berpanjangan yang telah banyak memanfaatkan orang terkaya. Golongan yang paling miskin, orang yang dipengaruhi oleh perkauman, wanita dan kumpulan-kumpulan terpinggir telah dan terus dieksploitasi secara sistematik dengan kos manusia yang besar. Dunia hari ini kekal kolonial dalam pelbagai cara. Warga Belgium secara puratanya mempunyai kuasa mengundi 180 kali ganda lebih besar dalam Bank Dunia berbanding warga Ethiopia secara puratanya. Sistem ini masih mengekstrak kekayaan dari Selatan Global kepada golongan mahakaya 1% di Utara Global pada kadar AS$30 juta sejam. Ini harus diterbalikkan. Pampasan harus diberikan kepada mereka yang telah diperhambakan dan dijajah secara zalim. Sistem ekonomi kolonial moden kita harus dijadikan lebih sama rata secara radikal untuk menghapuskan kemiskinan. Kosnya harus ditanggung oleh orang terkaya yang paling banyak mendapat manfaat.”

(grafik: Oxfam)

Beberapa fakta penting yang didedahkan dalam laporan Oxfam terbaru:

  • Jumlah kekayaan bilionair meningkat sebanyak AS$2 trilion pada tahun 2024 bersamaan dengan purata AS$5.5 bilion sehari.
  • Sebanyak 204 orang bilionair yang baharu muncul pada tahun 2024, bersamaan dengan purata hampir 4 orang bilionair baharu setiap minggu.
  • Kekayaan setiap orang bilionair meningkat sebanyak AS$2 juta sehari secara purata. Bagi 10 orang bilionair yang paling kaya, kekayaan mereka meningkat sebanyak AS$100 juta sehari secara purata (bersamaan lebih AS$1,157 setiap saat!). Ini bermakna golongan bilionair yang terkaya itu boleh mendapat beribu-ribu dolar setiap kali mereka menarik dan menghembus nafas mereka!
  • Jika anda mula menabung AS$1,000 sehari sejak kewujudan manusia pertama pada 315,000 tahun dahulu pun, anda masih tidak akan dapat mengumpulkan wang yang sebanyak apa yang dimiliki oleh salah seorang daripada 10 bilionair terkaya di dunia.
  • Jika mana-mana daripada 10 orang bilionair terkaya itu hilang 99% kekayaan mereka, mereka masih seorang bilionair.
  • 60% kekayaan bilionair datang daripada sama ada pewarisan harta, kronisme dan korupsi atau kuasa monopoli. Pada tahun 2023, untuk kali pertamanya lebih banyak bilionair diwujudkan melalui perwarisan harta berbanding keusahawanan.
  • Daripada sejumlah AS$64.82 trilion yang diekstrak oleh Britain dari India selama seabad penjajahan, AS$33.8 trilion pergi kepada golongan terkaya 10%; di mana jumlah ini cukup untuk menutupi permukaan seluruh London dengan wang kertas £50 hampir 4 kali.
  • Walaupun kadar kemiskinan telah menurun di seluruh dunia, bilangan orang yang hidup di bawah garis kemiskinan Bank Dunia AS$6.83 (pariti kuasa beli) pada hari ini masih sama seperti tahun 1990, iaitu hampir 3.6 bilion orang, bersamaan dengan 44% jumlah penduduk dunia.
  • Seorang dalam setiap 10 orang wanita di dunia hidup dalam kemiskinan tegar (di bawah AS$2.15 sehari mengikut pariti kuasa beli).
  • Golongan terkaya 1% memiliki 45% daripada semua kekayaan dunia.

Oxfam memberi amaran bahawa kemajuan dalam mengurangkan kemiskinan telah terhenti, dan kemiskinan tegar boleh dihapuskan pada kadar tiga kali ganda lebih cepat jika ketidaksamarataan global pada hari ini dikurangkan. Oxfam menyeru pada kerajaan-kerajaan di dunia untuk berani melaksanakan solusi yang mengurangkan ketidaksamarataan secara radikal dan mewujudkan keadilan dalam ekonomi kita.

Oxfam menyeru untuk menyahjajahkan ekonomi kita dan menyingkirkan golongan mahakaya. “Perjuangan menentang kolonialisme zaman moden mencapai detik kritikal pada tahun 2025. Ia menandakan 70 tahun sejak Persidangan Bandung, di mana negara-negara Selatan Global berusaha untuk mewujudkan Susunan Ekonomi Antarabangsa Baharu (NIEO),” begitu tulisnya Oxfam dalam laporannya. Oxfam mencadangkan pendekatan-pendekatan berikut untuk membawa perubahan sistem yang bermakna:

  • Menetapkan sasaran global dan kebangsaan untuk mengurangkan ketidaksamarataan secara radikal, termasuk menghentikan pengumpulan kekayaan yang melampau, mengurangkan ketidaksamarataan antara Utara Global dan Selatan Global (misalnya pendapatan golongan terkaya 10% tidak boleh lebih tinggi daripada golongan termiskin 40% di dunia);
  • Kerajaan-kerajaan bekas penjajah harus mengakui jenayah mereka yang dilakukan di bawah kolonialisme dan membayar ganti rugi kepada negara-negara yang dijajah dengan kosnya ditanggung oleh golongan yang terkaya di negara-negara bekas penjajah;
  • Menghapuskan sistem kolonialisme zaman moden, dengan menamatkan dominasi Utara Global dalam tadbir urus institusi global, menamatkan dominasi negara-negara kaya serta korporat dalam ekonomi dunia, membatalkan dasar-dasar perdagangan bebas yang tidak sama rata, dan mewujudkan sistem baharu yang mendukung kedaulatan ekonomi negara-negara Selatan Global di samping membolehkan semua pekerja mendapat gaji yang adil serta perlindungan hak.
  • Mencukai golongan terkaya untuk menghapuskan pengumpulan kekayaan yang melampau.
  • Menggalakkan kerjasama dan solidariti Selatan-Selatan yang mengutamakan pertukaran yang adil dan saling bermanfaat.
  • Menamatkan kolonialisme formal dalam segala bentuk.

Baca laporan penuh “Takers not Makers: The unjust poverty and unearned wealth from colonialism” di sini. (Rumusan eksekutif di sini.)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *