KUALA LUMPUR – 25 JANUARI 2025: Kira-kira 200 orang menyertai aksi protes “Himpunan Rakyat Benci Rasuah” yang diadakan pada hari ini di Kuala Lumpur untuk menggesa pada kerajaan supaya menangani isu rasuah dengan lebih tegas, telus dan berkesan. Peserta-peserta aksi menyuarakan ketidakpuasan hati rakyat terhadap isu-isu seperti amalan korupsi yang masih berleluasa di negara kita, pelantikan jawatan awam yang diragui dan tindakan kerajaan yang melepaskan sesetengah pemimpin politik tinggi daripada pertuduhan atau hukuman yang berkaitan dengan kes rasuah.

Peserta-peserta aksi Himpunan Rakyat Benci Rasuah yang terdiri daripada kebanyakannya golongan anak muda dan berbaju hitam, berhimpum pada pukul 2.30 petang di hadapan Pasar Raya SOGO Kuala Lumpur, kemudiannya berarak ke Dataran Merdeka. Aksi protes ini diadakan dengan penuh aman tetapi bersemangat untuk menyuarakan kemarahan rakyat terhadap isu rasuah yang masih menghantui negara kita.

Sebelum ini, pihak berkuasa cuba menghalang pihak penganjur, Sekretariat Rakyat Benci Rasuah, daripada mengadakan aksi ini, dengan alasan perlu mendapatkan kebenaran daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menggunakan Dataran Merdeka, peringatan untuk mematuhi Akta Perhimpunan Aman dan sebagainya. Namun, ketegasan Sekretariat Rakyat Benci Rasuah dan tekanan daripada masyarakat sivil telah memaksa pihak berkuasa supaya tidak menghalang aksi protes ini dengan cara yang keras.

Sekretariat Rakyat Benci Rasuah mengemukakan tiga tuntutan utama untuk membanteras masalah rasuah, iaitu:

  1. Memisahkan Pejabat Peguam Negara daripada Pejabat Perdana Menteri;
  2. Menjadikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai institusi yang bebas daripada pengaruh politik;
  3. Memperkenalkan Akta Pendanaan Politik.

“Rasuah adalah barah yang menghancurkan negara,” begitu tulisnya satu hantaran instagram Sekretariat Rakyat Benci Rasuah pada 23 Januari 2025. “Kami, rakyat Malaysia menuntut tindakan tegas dan segera daripada Kerajaan Madani untuk membanteras rasuah dan amalan korupsi demi kesejahteraan masa depan Malaysia!”

Pakatan Harapan (PH) yang merupakan sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan hari ini dan Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri kini, mendapat sokongan rakyat untuk membentuk kerajaan hasil daripada retorik mereka yang melawan rasuah dan kleptokrasi. Namun, amalan korupsi yang tidak berkesudahan, kegagalan kerajaan bertanggungjawab terhadap isu-isu rasuah, malah adanya pemimpin politik yang terlibat dalam skandal rasuah dapat dilepaskan daripada pertuduhan atau dikurangkan hukuman selepas disabitkan kesalahan penyelewengan kuasa, telah menjejaskan keyakinan rakyat terhadap institusi negara kita. Janji-janji reformasi institusi yang dibawa oleh Anwar Ibrahim dan komponen Kerajaan Perpaduan hari ini nampaknya telah dimungkiri. Tambahan pula, gabungan parti pembangkang utama dalam Parlimen juga gagal menawarkan alternatif yang lebih baik, sebaliknya terus mempermainkan isu-isu yang memecah-belahkan rakyat tanpa menangani isu-isu asas rakyat.

Aksi protes Himpunan Rakyat Benci Rasuah merupakan satu respon daripada golongan anak muda terhadap kegagalan kerajaan kini dalam melaksanakan reformasi institusi yang bermakna untuk menangani isu rasuah. Zaim Zulkifli daripada Sekretariat Rakyat Benci Rasuah berkata dalam sidang akhbar yang diadakan selepas aksi protes ini bahawa perhimpunan ini merupakan permulaan dalam membina gelombang baharu untuk melawan korupsi di negara kita.

Turut hadir bersolidariti dalam aksi Himpunan Rakyat Benci Rasuah ialah Fahmi Reza yang merupakan seorang aktivis sosial terkenal, Sevan Doraisamy selaku Pengarah Eksekutif Suara Rakyat Malaysia (PSM), S. Arutchelvan selaku Timbalan Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM), Soh Sook Hwa selaku Bendahari Nasional PSM, Bawani KS selaku Timbalan Setiausaha Agung PSM, Nik Aziz Afiq Bin Abdul selaku Ahli Jawatankuasa Pusat PSM dan ramai lagi.

One thought on “Aksi protes sampaikan suara rakyat benci rasuah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *