Tahun 1919, merupakan salah satu tahun yang penuh dengan peristiwa kebangkitan rakyat, seperti tahun 1848, 1968, 1989 atau 2011.
100 tahun dahulu, pada tahun 1919, hampir seluruh dunia dilanda gelombang revolusi dan kebangkitan rakyat. Pada ketika itu, Perang Dunia I baru tamat dengan kehancuran yang teruk khususnya di negara-negara Eropah. Sementara di negara yang dijajah oleh kuasa imperialis, munculnya kebangkitan kesedaran nasionalis yang membawa kepada kebangkitan rakyat yang menentang kuasa imperialis dan susunan masyarakat lama.
Gelombang revolusi yang hebat telah melanda pada tahun 1917-1923, dengan gerakan kelas pekerja dan rakyat bawahan memperjuangkan perubahan sosial yang radikal. Revolusi Bolshevik di Rusia pada tahun 1917 menjadi perintis kepada gelombang revolusi pada tempoh tersebut, dan semangat kebangkitan rakyat menular ke seluruh dunia. Kelas kapitalis yang memerintah pula bertindakbalas dengan menggunakan segala cara yang boleh untuk menyekat dan menghancurkan kebangkitan kelas pekerja. Tahun 1919, ialah salah satu tahun yang penuh dengan perjuangan kelas yang sengit.
Marilah kita imbas kembali secara sepintas lalu sebahagian peristiwa-peristiwa penting yang berlaku dalam tahun 1919:
1 Januari
Republis Sosialis Soviet Belarusia ditubuhkan.
5-12 Januari
Pemberontakan Spartacus (Spartakusaufstand): Pemberontakan revolusioner oleh golongan kiri yang radikal di Jerman, melibatkan mogok pekerja, tetapi ditindas secara ganas oleh kerajaan Jerman.
7 Januari
Kesatuan Pekerja Perindustrian dan Komersial (ICU) Afrika Selatan ditubuhkan dan dipimpin oleh Clements Kadalie, pemimpin kesatuan berkulit hitam yang pertama di negara itu, untuk hak pekerja dan membantah undang-undang buruh yang tidak adil. Pemberontakan anarkis di Buenos Aires, Argentina, tetapi dilenyapkan oleh kerajaan.
10 Januari
Republik Soviet Bremen ditubuhkan tetapi hanya bertahan untuk 25 hari.
15 Januari
Pemimpin utama untuk Parti Komunis Jerman yang baru ditubuhkan pada masa itu, Karl Liebknecht dan Rosa Luxemburg, telah dibunuh secara kejam oleh pasukan Freikorps atas arahan kerajaan.
18 Januari
Persidangan Damai Paris mula berlangsung, dengan kelas pemerintah di negara-negara Pihak Bersekutu yang menang dalam Perang Dunia I cuba membahagikan wilayah penguasaan imperialis.
21 Januari
Sinn Fein, parti nasionalis yang militan di Ireland, menubuhkan parlimen Ireland sendiri di Dublin dan mengisytihar kemerdekaan Ireland daripada Britain, maka mencetuskan Perang Kemerdekaan Ireland yang berlarutan selama 2 tahun.
25 Januari
Liga Bangsa ditubuhkan di Paris.
3-9 Februari
Persidangan parti-parti demokratik sosial di Berne, Switzerland, sebagai usaha menubuhkan semula Internasional Kedua yang berpecah ketika Perang Dunia I.
5 Februari
Mogok La Canadiense: Mogok pekerja di Catalonia, Sepanyol, yang berlarutan untuk 44 hari, dengan penyertaan 100,000 orang pekerja, sehingga melumpuhkan seluruh bandar Barcelona dan 70% kawasan Catalonia. Mogok tersebut memaksa kerajaan Sepanyol menggubal undang-undang pertama di negara itu yang menghadkan masa kerja kepada 8 jam sehari.
6-11 Februari
Mogok Umum Seattle: Lebih 65,000 orang pekerja bermogok menuntut kenaikan gaji dan perubahan politik yang radikal.
14 Februari
Perang Poland-Soviet tercetus, dan berlarutan sehingga tahun 1921.
16 Februari
Wanita dibenarkan untuk mengundi di Austria dalam pilihanraya untuk kali pertamanya.
1 Mac
Gerakan 1 Mac: Demonstrasi besar-besaran di Seoul menandakan kebangkitan rakyat Korea menentang penjajahan Jepun di Semenanjung Korea, dan menjadi pemangkin kepada Gerakan Kemerdekaan Korea.
2-6 Mac
Kongres penubuhan Komunis Internasional (Comintern) berlangsung di Moscow, Republik Sosialis Persekutuan Soviet Rusia.
4-11 Mac
Parti Komunis Jerman melancarkan mogok umum tetapi dihancurkan oleh kerajaan Jerman.
8 Mac
Revolusi Mesir 1919: Penahanan pemimpin nasionalis Saad Zaghlul mencetuskan kebangkitan rakyat secara besar-besaran, yang kemudiannya memaksa kerajaan British mengisytihar kemerdekaan Mesir tetapi masih mengekalkan pendudukan tentera British.
17 Mac
Pekerja-pekerja keluli di Belanda bermogok untuk menuntut kerja 8 jam sehari dan gaji minimum.
21 Mac
Republik Soviet Hungary ditubuhkan, tetapi hanya bertahan sehingga 1 Ogos 1919.
31 Mac
Mogok besar-besaran di Ruhr, Jerman.
6 April
Republik Soviet Bavaria ditubuhkan, tetapi hanya bertahan sehingga 3 Mei 1919 akibat serangan daripada tentera Jerman.
10 April
Pemimpin Revolusi Mexico Emiliano Zapata ditembak mati dalam satu serangan hendap oleh tentera anti-revolusi di Morelos.
12 April
Parlimen Britain meluluskan undang-undang untuk kerja 48 jam seminggu dengan gaji minimum.
13 April
Pembunuhan beramai-ramai di Jallianwala Bagh, Amritsar, Punjab, oleh tentera British terhadap orang awam yang berdemonstrasi membantah penahanan pemimpin nasionalis India.
19 April
Parlimen Perancis meluluskan kerja 8 jam sehari.
1 Mei
Penubuhan Parti Komunis Amerika Syarikat. Rusuhan di Cleveland, Ohio, Amerika Syarikat, semasa aksi sambutan Hari Buruh. Demonstrasi besar-besaran oleh golongan kiri di Perancis dan berlaku konfontrasi dengan polis.
4 Mei
Gerakan 4 Mei: Demontrasi besar-besaran oleh pelajar di Beijing menentang penyerahan wilayah Shandong kepada Jepun dalam Persidangan Damai Paris, mencetuskan gelombang anti-imperialis yang hebat di seluruh negara China.
8 Mei
Perhimpunan Perlembagaan Luxembourg memperluaskan hak mengundi kepada semua warganegara berumur 21 dan ke atas tanpa mengira seks.
15 Mei
Mogok Umum Winnipeg: Pekerja-pekerja di Winnipeg, Kanada, melancarkan mogok untuk menuntut gaji dan keadaan kerja yang lebih baik.
19 Mei
Mustafa Kemal Atatürk mendarat di bandar pelabuhan Samsun, menandakan bermulanya Perang Kemerdekaan Turki yang berlarutan selama lebih 4 tahun.
24 Mei
Wanita di Sweden mendapat hak untuk mengundi.
7 Jun
Peristiwa “Sette Giugno” (7 Jun), di mana tentera British melepaskan tembakan ke atas rakyat Malta yang memprotes terhadap penjajahan British, dan membunuh 4 orang.
9 Jun
Mogok pekerja-pekerja keluli di Perancis.
25 Jun
Pemberontakan Liga Spartacus di Hamburg, Jerman.
28 Jun
Perjanjian Versailles ditandatangani, menandakan tamatnya Perang Dunia I secara rasmi.
20-21 Julai
Mogok umum di Itali bersolidariti dengan Revolusi Rusia. Sebahagian daripada aksi semasa “Biennio Rosso” (Dua Tahun Merah yang menyaksikan kebangkitan revolusioner pekejera Itali).
27 Julai
Rusuhan kaum di Chicago, AS.
31 Julai
Mogok polis di London dan Liverpool, UK, dengan tuntutan pengiktirafan untuk Kesatuan Nasional Polis dan Pegawai Penjara.
1-6 Ogos
Mogok pekerja-pekerja tram di Los Angeles, California, Amerika Syarikat, untuk menuntut hak kesatuan sekerja di samping kenaikan gaji dan pengurangan jam kerja.
1 Ogos
Perlembagaan Weimar berkuatkuasa di Jerman, dengan wanita diberi hak untuk mengundi.
16-26 Ogos
Pembunuhan terhadap 10 orang warga Silesia di lombong Mysłowice pada 15 Ogos 1919, mencetuskan protes besar-besaran oleh pekerja-pekerja Silesia, dengan aksi mogok yang melibatkan seramai 140,000 orang pekerja, sehingga mencetuskan Pemberontakan Silesia Pertama yang menentang penguasaan Jerman di Silesia Hulu.
9 September
Mogok polis di Boston, AS.
18 September
Wanita di Belanda diberi hak untuk mengundi.
22 September (hingga 8 Januari 1920)
Mogok Pekerja Keluli Amerika Syarikat: Lebih 350,000 orang pekerja bermogok secara besar-besaran, menuntut gaji lebih tinggi, kerja 8 jam sehari dan pengiktirafan kesatuan sekerja.
26 September
Mogok pekerja-pekerja di United Kingdom yang berlarutan sehingga 5 Oktober 1919.
29 Oktober
Persidangan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) yang pertama diadakan di Washington DC, Amerika Syarikat, dan meluluskan 6 konvensyen ILO yang pertama (termasuk had jam kerja, pengangguran, perlindungan kepada wanita bersalin, kerja malam untuk wanita, umur minimum dan kerja maalam untuk orang muda), menandakan kelahiran ILO.
1 November
400,000 orang pekerja lombong batu arang bermogok di Amerika Syarikat.
7 November
Polis New York menyerbu ibupejabat Kesatuan Pekerja-pekerja Rusia, sebahagian daripada penindasan terhadap penyokong Bolshevisme dan Anarkis dalam gelombang “Ketakutan Merah Pertama”. Serbuan yang serupa berlaku di lebih 23 buah bandar di Amerika Syarikat bersempena ulangtahun ke-2 Revolusi Bolshevik, dengan lebih 10,000 orang yang disyaki komunis dan anarkis ditangkap.
17 Disember
Parlimen Austria meluluskan kerja 8 jam sehari.
22 Disember
Kerajaan Amerika Syarikat mendeportasi 250 orang warga asing yang radikal, termasuk anarkis terkenal Emma Goldman.