20190520 - SM-Mohamed-Idris-portrait.jpgTokoh aktivis sosial yang terkenal di Pulau Pinang, S. M. Mohamed Idris, meninggal dunia pada 17 Mei 2019, pada usia 93 tahun.

Allahyarham S. M. Mohamed Idris merupakan seorang pemimpin masyarakat sivil yang mendedikasikan hidupnya kepada usaha untuk memperjuangkan keadilan sosial dan perlindungan alam sekitar.

S. M. Mohamed Idris pernah menjadi Ahli Majlis Perbandaran Georgetown pada tahun 1950-an ketika masih wujudnya pilihanraya tempatan. Beliau merupakan perintis dalam penganjuran Pesta Pulau Pinang yang menjadi salah satu tarikan pelancong, pada asalnya diadakan di Padang Kota Lama dan kemudian berpindah ke tapak di Sungai Nibong Sekarang. Beliau juga pernah menjadi Pengerusi Perpustakaan Pulau Pinang. Untuk selama 5 dekad yang lalu, S. M. Mohamed Idris terkenal dengan penglibatannya dalam gerakan pengguna dan perlindungan alam sekitar.

Selaku perintis gerakan pengguna di negara kita, S. M. Mohamed Idris mengasaskan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) pada tahun 1969 dan merupakan Presiden CAP sejak itu. CAP ialah sebuah organisasi yang mempromosi kesedaran tentang kepenggunaan yang mampan dan beretika, di samping mencabar model pengeluaran yang tidak mampan dan corak kepenggunaan yang membazir. Selama ini, sebagai organisasi pengguna yang utama dalam negara kita, CAP telah memainkan peranan yang penting dalam mendedahkan praktik bisnes yang tidak beretika dalam pelbagai sektor seperti barangan kimia, makanan, ubat-ubatan, kesihatan dan sebagainya. Terbitan CAP, Utusan Konsumer, mendedahkan isu-isu penting berkaitan dengan kesedaran pengguna, perlindungan alam sekitar dan keadilan sosial kepada orang awam. Usaha CAP telah membawa kepada penambahbaikan dari segi dasar dan undang-undang untuk melindungi kepentingan pengguna serta alam sekitar.

Selain CAP, S. M. Mohamed Idris juga memimpin organisasi seperti Sahabat Alam Malaysia (SAM), Third World Network dan Citizens International. S. M. Mohamed Idris ialah seorang pencinta alam yang peka pada isu-isu alam sekitar seperti pencemaran, ancaman racun perosak, kemusnahan hutan, tambakan laut, perubahan iklim dan sebagainya. Beliau juga tegas dalam memperjuangkan keadilan sosial, termasuk solidariti untuk rakyat Palestin dan Patani, mencabar susunan ekonomi global yang tidak adil serta menentang perjanjian perdagangan bebas yang menggadai hak rakyat.

Walaupun meninggalkan kita, semangat Allahyarham S. M. Mohamed Idris dalam memperjuangkan keadilan sosial dan perlindungan alam sekitar tetap akan bersemadi dalam hati sesiapa yang sanggup berusaha untuk membina sebuah dunia yang lebih baik.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *