oleh Arveent Kathirtchelvan
Belanjawan 2025 yang dibentangkan oleh Anwar Ibrahim selaku Menteri Kewangan serta Perdana Menteri pada hari Jumaat lepas menggambarkan sifat Kerajaan MADANI yang kapitalis. Retorik pro-marhaen yang digunakannya tidak diterjemah ke dalam dasar kerajaan ini yang hanya akan terus menghamba-abdikan rakyat biasa serta mengkayakan golongan mahakaya. Parti Sosialis Malaysia (PSM) menyimpulkan pandangan kami terhadap belanjawan ini seperti berikut:
1. Pengagungan sektor swasta serta agenda penswastaan yang menebal
Belanjawan ini mendedahkan Kerajaan MADANI sebagai agen kapitalis. Pertama, kerajaan ini bergantung hebat kepada pihak swasta melalui Kerjasama Awam-Swasta (Public-Private Partnership, PPP) untuk peluang pekerjaan. Jelas, kebergantungan pada pihak korporat swasta kian meningkat.
Punca utama gaji dan kemudahan pekerja Malaysia amat kurang adalah pemilikan swasta. Ini dapat dilihat dengan peningkatan gaji yang tidak seimbang dengan peningkatan KDNK. Gaji purata pekerja kilang hanya meningkat 1.4 kali ganda dari tahun 1970 manakala KDNK telah meningkat sebanyak 24 kali ganda. Ini menunjukkan bahawa kekayaan yang dihasilkan daripada keringat pekerja dirampas oleh golongan majikan dan dikumpul dalam tangan golongan kapitalis.
Bukan itu sahaja, kebergantungan kepada sektor swasta kini untuk mewujudkan peluang pekerjaan menjadikannya sukar untuk meningkatkan cukai terhadap mereka. Sebab itulah kadar cukai korporat telah menurun daripada 40% pada tahun 1970 hingga ke 24% sekarang. Dalam erti kata lain, bukan sahaja golongan mahakaya melahap hasil usaha pekerja kita dan membalasnya dengan gaji yang kurang, sistem yang sedia ada pun tidak dapat mengambil balik kekayaan ini melalui percukaian progresif untuk diagihkan semula kepada rakyat marhaen.
Dengan ini, adakah wajar untuk terus meningkatkan kebergantungan ini? Tambahan pula, PPP juga menjadi asas kepada projek pembangunan dengan mengambil kira elemen “pengguna yang bayar”. Kemungkinan kemudahan awam yang sepatutnya tanggungjawab kerajaan akan dikenakan bayaran. Ini adalah penswastaan pintu belakang (backdoor privatisation).
Sepatutnya, kerajaan perlu lebih berani untuk mengurangkan kuasa sektor swasta dalam ekonomi. Peluang pekerjaan perlu dijana melalui Skim Jaminan Kerja kerajaan yang dapat bersaing dengan sektor swasta. Dengan ini, pengaruh sektor swasta dapat dikurangkan ke tahap di mana pencukaian dapat dilakukan dengan risiko pelarian modal lebih rendah atas sebab adanya kerajaan sebagai majikan. Selain itu, kerajaan perlulah menggalas tanggungjawabnya sebagai pencipta kemudahan awam, bukannya bergantung pada pihak swasta dalam projek pembangunan.
2. Menidakkan perumahan sebagai hak dan meningkatkan hutang rakyat
Seperti kerajaan-kerajaan lampau, Kerajaan MADANI masih menggunakan idea lapuk dalam Belanjawan 2025 dengan memfokus pada melebarkan akses kepada pinjaman perumahan. Ini tidak dapat menyelesaikan isu pokok perumahan, iaitu harga rumah yang terlalu tinggi. Malah ia hanya akan meninggikan keyakinan pihak pemaju untuk terus meningkatkan harga rumah atas sebab ia lebih senang untuk rakyat mendapat pinjaman. Rakyat pula terus dibelenggu dengan hutang yang amat tinggi.
Perumahan, seperti keperluan asas lain, adalah hak rakyat. Akan tetapi, ia diibaratkan barangan jual-beli yang digunakan untuk mengaut keuntungan. Ini mengakibatkan harga rumah terus melambung tinggi untuk meningkatkan kadar keuntungan ini. Kerajaan yang berjiwa rakyat akan mengambil langkah untuk membendung isu ini dengan pelbagai cara. Kerajaan ini pula nampaknya tidak kisah akan hutang yang ditanggung rakyat, selagi pihak pemaju dapat jual rumah.
Mujurnya, PSM telah mengedepankan beberapa strategi untuk membendung kemelut ini. Antaranya, rumah pertama perlu dikeluarkan daripada pasaran. Sebuah badan yang bukan berasaskan keuntungan harus menyediakan rumah kos rendah yang dibina dengan pembiayaan kerajaan sepenuhnya dan menjualkannya kepada rakyat Malaysia yang ingin membeli rumah pertama. Rumah-rumah ini perlu dijual dengan syarat terikat bahawa ia tidak boleh dijual kepada sesiapa selain pihak berkuasa perumahan berkenaan demi memastikan rumah-rumah ini digunakan sebagai kediaman dan bukannya hanya dibeli sebagai pelaburan.
Akan tetapi, Kerajaan MADANI hanya mewujudkan skim seperti Step-Up Financing yang mungkin menawarkan kemudahan bayar balik pinjaman lebih rendah bagi 5 tahun pertama, tetapi akan mengikat pembeli rumah dengan pembayaran balik yang lebih tinggi bagi 30 tahun seterusnya, sekali gus meningkatkan keuntungan si pemaju.
Selain itu, suatu cukai progresif ke atas pemilik rumah mahal, rumah kedua dan sebagainya serta serta cukai nilai tanah primer dan keuntungan modal ke atas penjual hartanah primer dapat dikenakan untuk disalurkan ke pembinaan perumahan mampu milik. Cukai ke atas hartanah yang tidak berpenghuni sebahagian atau penuh (under-occupancy and vacant tax) dapat mengurangkan spekulasi perumahan, sekali gus menurunkan harga rumah.
3. Tidak serius terhadap kebajikan pekerja dan rakyat biasa
Kita sudah maklum bahawa Kerajaan MADANI hanya meningkatkan gaji minimum daripada RM1,500 ke RM1,700 sebulan. Ini jauh lebih rendah daripada RM3,000 yang digesa oleh Perdana Menteri sendiri kepada syarikat-syarikat swasta. Mengikut formula Majlis Perundingan Gaji Negara, gaji minimum yang sepatutnya adalah RM2,444. Bank Negara Malaysia pula mengatakan bahawa gaji bermaruah bagi seorang bujang yang tinggal di Kuala Lumpur pada tahun 2018 ialah RM2,700, apatah lagi 6 tahun kemudiannya.
PSM sedang menuntut RM2,000 sebagai gaji minimum, dan kami akan terus mendesak kerajaan ini untuk meningkatkan gaji minimum sehingga mencapai kadar ini. Sebenarnya, peningkatan gaji minimum akan dilambatkan sebanyak 35 bulan menjelang bulan Januari 2025, jika kita mengambil kira semua kelambatan pelaksanaan kadar gaji minimum baharu sejak tahun 2013. Seorang pekerja Malaysia bergaji minimum akan hilang gaji ke belakang yang sepatutnya sebanyak RM5,000 (kiraan mengikut gaji minimum 2025 RM1,700 sebulan) – RM7,100 (kiraan gaji minimum 2025 RM2,000 sebulan). Adakah ini dipanggil adil?
Kerajaan ini pula tergamak menyelitkan galakkan gaji lebih tinggi untuk siswazah kepada pihak swasta. Kononnya, kerajaan menyediakan penanda aras gaji bagi para siswazah untuk rujukan pihak swasta. Apakah logiknya majikan mengikut penanda aras ini tanpa paksaan kerajaan melalui undang-undang yang nyata? Dasar Gaji Progresif ini hanyalah mimpi terhasil daripada minda yang tidak terpijak di bumi yang nyata dan adalah suatu hinaan kepada golongan pekerja.
Satu lagi dasar karut adalah pemindahan simpanan KWSP antara generasi sebagai cara menangani masyarakat menua. Sepanjang 2 tahun kebelakangan ini, PSM berjuang untuk mendapatkan satu Skim Pencen Warga Emas atas sebab kekurangan simpanan dalam akaun KWSP warga emas serta anak-anak mereka yang sukar untuk menampung perbelanjaan mereka. Pemindahan antara generasi pula sebenarnya hanya memindahkan keperitan kemiskinan antara individu, bukannya menyelesaikan isu pokok.
Daripada analisis di atas, PSM ingin menyeru pada Kerajaan MADANI supaya bertindak sebagai kerajaan yang benar-benar untuk rakyat, bukannya kroni orang kaya. Rakyat biasa di Malaysia memerlukan dasar yang bernas serta efektif, bukannya air liur curahan politikus licik yang seringkali mempergunakan isu rakyat susah untuk mendapatkan undi. Nampaknya dasar sebegini tiada dalam minda Kerajaan MADANI, dan hanya wujud dalam organisasi marhaen seperti kami. Rakyat jelata di luar sana pula perlulah tepuk dada, tanya selera, siapakah layak mendapat sokongan anda?
==========
Arveent Kathirtchelvan ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM).