Parti Pekerja Sosialis Sepanyol (PSOE) yang dipimpin oleh penyandang jawatan Perdana Menteri Sepanyol Pedro Sánchez, sebuah parti berhaluan kiri-tengah yang sudah lama wujud, telah muncul sebagai parti yang terbesar dalam Parlimen Sepanyol, berikutan pilihanraya umum yang diadakan pada 28 April 2019, dengan peroleh undi dan kerusi yang lebih banyak berbanding 3 tahun dahulu. Parti Rakyat (PP), parti berhaluan kanan yang utama di Sepanyol, mengalami kekalahan yang paling teruk dalam sejarahnya sejak ditubuhkan pada tahun 1989. Walaupun munculnya parti pelampau kanan yang mendapat kerusi dalam parlimen untuk pertama kalinya selepas transisi negara Sepanyol kepada demokrasi sejak tahun 1975, tetapi puak berhaluan kanan secara keseluruhannya dikalahkan, apabila rakyat memobilisasi secara beramai-ramai ke pusat mengundi untuk menghalang parti-parti berhaluan kanan untuk membentuk kerajaan.
PSOE membentuk kerajaan minoriti pada bulan Jun 2018 dengan Pedro Sánchez sebagai Perdana Menteri dengan sokongan daripada parti berhaluan kiri Unidos Podemos dan parti-parti kecil lain, selepas Kerajaan PP pimpinan Mariano Rajoy disingkirkan dalam undian ketidakpercayaan dalam Parlimen Sepanyol kerana terlibat dalam skandal korupsi. Namun, Pedro Sánchez memanggil untuk pilihanraya awal selepas belanjawan negara yang dibentangnya ditolak dalam Parlimen pada bulan Februari 2019.
Peratusan keluar mengundi di Sepanyol kali ini agak tinggi, iaitu sebanyak 75.75%, peningkatan lebih 9 titik peratusan berbanding pilihanraya umum pada tahun 2016, dengan pertambahan lebih 2 juta undi. Ini merupakan peratusan keluar mengundi yang tertinggi sejak tahun 1996 (77.4% pada masa itu).
Parti Pekerja Sosialis Sepanyol (PSOE) berjaya meraih sebanyak 7,480,755 undi, bersamaan 28.68% daripada jumlah undi yang sah, membolehkannya menguasai sebanyak 123 kerusi daripada sejumlah 350 kerusi dalam Kongres Perwakilan Sepanyol. Ini merupakan pencapaian terbaik untuk PSOE sejak tahun 2008 (di mana PSOE mendapat sebanyak 11,289,335 undi ataupun 43.87% undi dalam pilihanraya tahun tersebut). Peratusan undi yang diperoleh PSOE meningkat sebanyak 6.05 titik peratusan, dengan pertambahan sebanyak 38 kerusi berbanding pilihanraya lalu. Namun, berbanding dengan pencapaian kemuncaknya pada tahun 2008, undi yang diperoleh PSOE masih kurang sebanyak 3.8 juta!
PSOE kalah kepada parti berhaluan kanan PP dalam pilihanraya 2011 kerana melaksanakan dasar “penjimatan” (austerity) yang melibatkan pemotongan perbelanjaan sosial yang memberi impak besar kepada rakyat bawahan ketika berlaku krisis ekonomi. Dasar penjimatan PSOE kemudian diteruskan oleh kerajaan PP yang menggantikannya pada tahun 2011.
Walaupun PSOE mendapat kerusi hampir dua kali ganda berbanding pesaing terdekatnya, tetapi masih tidak mencukupi untuk membentuk kerajaan. PSOE akan diberi mandat untuk membentuk kerajaan, sama ada menubuhkan kerajaan campuran dengan parti-parti lain ataupun mewujudkan kerajaan minoriti yang mendapat kepercayaan majoriti dalam Parlimen.
Parti Rakyat (PP), parti berhaluan kanan yang utama di Sepanyol, telah mengalami kekalahan paling teruk dalam sejarahnya, dengan hanya mendapat sebanyak 4,356,023 undi (bersamaan 16.70%), merosot sebanyak 15.87 titik peratusan. Kerusi yang diperoleh PP berkurang sebanyak 69 kerusi, menjadikannya hanya menguasai 66 kerusi dalam Kongres Perwakilan, walaupun masih kekal sebagai parti kedua besar.
Parti Ciudadanos (Cs), sebuah parti ultra-liberal yang berhaluan kanan, mendapat sebanyak 15.86% undi, menjadikannya sebagai parti ketiga besar dalam Kongres Perwakilan dengan 57 kerusi.
Unidas Podemos, sebuah pakatan berhaluan kiri yang membantah dasar penjimatan, hanya mendapat mendapat sebanyak 3,732,929 undi (bersamaan 14.31%), dengan penurunan sokongan sebanyak 6.84 titik peratusan berbanding pilihanraya lalu, dan menguasai sebanyak 42 kerusi (kurang sebanyak 29 kerusi) sebagai parti keempat besar.
Parti Vox, sebuah parti pelampau kanan yang ditubuhkan oleh bekas anggota PP, muncul sebagai parti kelima besar dengan perolehan undi sebanyak 10.26% dan menguasai 24 kerusi dalam Kongres Perwakilan.
Polarisasi politik yang semakin hebat
Vox, sebuah parti pelampau kanan yang ditubuhkan pada tahun 2013, telah mengapi-apikan sentimen misogini (membenci perempuan) dan xenofobia (membenci migran) untuk meraih sokongan, di samping membangkitkan perasaan nostalgia terhadap zaman pemerintahan diktator Franco. Vox merupakan penjelmaan gelombang politik pelampau kanan di peringkat antarabangsa sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dengan sokongan daripada pemimpin pelampau kanan antarabangsa seperti Donald Trump, Steve Bannon, Marine Le Pen dan Matteo Salvini.
Vox hanya memperoleh undi sebanyak 0.2% dalam pilihanraya sebelum ini, satu peratusan yang begitu tidak signifikan. Namun, Vox mula menunjukkan perluasan pengaruhnya yang hebat apabila memenangi 12 kerusi dalam pilihanraya wilayah Andalusia pada bulan Disember 2018 dan membolehkan pembentukan kerajaan campuran berhaluan kanan PP-Cs-Vox di wilayah tersebut. Vox turut menunggang gelombang nasionalis sempit yang tepu dengan sentimen anti-Catalonia di kebanyakan tempat di Sepanyol untuk meraih sokongan. Kemunculan pengaruh sebuah parti pelampau kanan yang begitu hebat sejak tamatnya pemerintahan diktator Franco lebih 4 dekad dahulu telah menimbulkan kebimbangan ramai orang dan mendorong peningkatan peratusan keluar mengundi untuk mengalahkan usaha pembentukan sebuah kerajaan campuran berhaluan kanan yang disertai ataupun disokong oleh parti pelampau kanan Vox.
Kebimbangan terhadap pembentukan kerajaan campuran berhaluan kanan di peringkat pusat yang terdiri daripada PP, Cs dan Vox, telah mendorong lapisan pengundi berkecenderungan ke haluan kiri yang kecewa dan tidak mengundi sebelum ini untuk keluar mengundi, sehingga menghasilkan kemenangan kepada PSOE. Pimpinan PSOE berjaya membangkitkan semula memori sejarah orang ramai terhadap pemerintahan kediktatoran Franco dalam mobilisasi undi.
Dalam gambaran yang lebih besar, sokongan kepada blok kiri (yang terdiri daripada PSOE dan Unidas Podemos) adalah sebanyak 11.21 juta undi (berbanding 10.53 juta undi pada tahun 2016); sementara blok kanan (yang terdiri daripada PP, Cs dan Vox) mendapat 11.17 juta untuk (berbanding 11.13 juta undi pada tahun 2016). Perbezaan undi antara dua blok agak dekat, tetapi penambahan undi kepada blok kiri lebih banyak. Polarisasi dari segi sokongan kepada politik kiri dan kanan agak jelas dan ketara.
PP sebagai parti berhaluan kanan telah hilang hampir 3.6 juta undi, di mana undi tersebut telah pergi kepada Vox (pertambahan sebanyak 2.6 juta undi) dan Cs (pertambahan sebanyak 1 juta undi). Jelas sekali pengundi yang terpengaruh oleh politik berhaluan kanan yang berasaskan nasionalisme sempit semakin menghala ke kanan lagi kepada politik pelampau yang dibawa oleh Vox. Setelah hilang kuasa dalam Parlimen pada tahun 2018 berikutan undi ketidakpercayaan terhadap Perdana Menteri daripada PP Mariano Rajoy pada masa itu, kepimpinan PP baru beralih ke lebih ke kanan lagi untuk bersaing dengan Vox tetapi nampaknya hanya menguntungkan Vox. Pentadbiran Rajoy memainkan peranan dalam mengapi-apikan sentimen nasionalis sempit ketika tercetusnya krisis di Catalonia. Blok kanan telah memobilisasi sokongan untuk agenda nasionalis sempitnya di luar Catalonia, dan memberi nafas baru kepada puak pelampau kanan yang bangkit semula dari kubur diktator Francisco Franco.
Undi kepada Vox yang bersifat pelampau kanan kebanyakannya datang daripada undi kepada PP sebelum ini, dengan Vox mendapat keputusan terbaiknya di kawasan kelas atasan yang berhaluan kanan, sementara prestasinya paling teruk di kawasan kelas pekerja yang berhaluan kiri.
Blok kanan amat lemah di Negeri Basque dan Catalonia, yang mempunyai gerakan pemisahan yang kuat. Di Negeri Basque, PP kehilangan 2 kerusi yang dipegangnya sebelum ini, sementara Vox hanya mendapat 2% undi. Di Catalonia pula, kerusi yang dikuasai PP merosot daripada 6 kepada 1 sahaja sekarang ini, sementara Vox hanya mendapat 3.6%, walaupun Cs mendapat lebih kerusi.
Cabaran hebat untuk politik kiri
Unidas Podemos, sebuah gabungan pilihanraya yang dibentuk antara parti-parti berhaluan kiri seperti Podemos, Izquierda Unida, Equo dan sebagainya, telah hilang sebanyak 1.35 juta undi dengan kebanyakannya beralih kepada PSOE. Ini merupakan satu tamparan hebat kepada Unidas Podemos sebagai alternatif kiri yang berwibawa akibat daripada sokongannya yang tidak berbelah bagi kepada kerajaan PSOE pimpinan Pedro Sánchez.
Podemos di bawah pimpinan Pablo Iglesias, ditubuhkan pada tahun 2014 oleh golongan kiri yang terlibat dalam kebangkitan Gerakan Indignados (ataupun dikenali sebagai Gerakan 15-M) yang tercetus daripada protes besar-besaran membantah dasar penjimatan kerajaan pusat Sepanyol (yang diterajui PSOE) pada tahun 2011. Penubuhan Podemos juga dianggap sebagai alternatif kiri kepada PSOE yang gagal mempertahankan kepentingan kelas pekerja dan rakyat terbanyak. Kemuncak pencapaian Podemos dan Unidas Podemos adalah pada tahun 2015 dan 2016, dengan meraih undi melebihi 5 juta, apabila kuasa politik kiri baru ini mencabar kepimpinan PSOE dalam blok kiri.
Pada bulan Jun tahun lepas, Podemos telah menerajui usaha mengemukakan usul ketidakpercayaan untuk menyingkirkan kerajaan berhaluan kanan pimpinan Rajoy, dan mengundi untuk Pedro Sánchez sebagai Perdana Menteri. Podemos mempunyai peluang untuk untuk mendesak Pedro Sánchez supaya melaksanakan program yang lebih radikal dan menyekat pengurangan perbelanjaan sosial secara berkesan. Ini boleh dilakukan dengan menggabungkan tekanan dalam parlimen dengan mobilisasi di jalanan, tetapi Podemos gagal melakukannya, sebaliknya kebanyakan pemimpin Podemos menyederhanakan bahasa mereka yang radikal sebelum ini dan mengurangkan mobilisasi jalanan mereka. Podemos tidak dapat menunjukkan perbezaan yang jelas dari segi program berbanding PSOE, yang mampu menyakinkan rakyat untuk terus menyokongnya. Walaupun Pablo Iglesias mengemukakan dasar-dasar berhaluan kiri ketika kempen pilihanraya, tetapi sudahpun terlalu lewat dan tidak mencukupi, kerana tindakannya untuk beberapa bulan sebelum ini dalam menyokong kerajaan Sánchez tidak sepadan dengan retoriknya. Oleh itu, sebahagian daripada pengundi blok kiri yang menyokong Unidas Podemos sebelum ini telah mengalihkan sokongan mereka kepada PSOE yang dianggap sebagai cara yang lebih selamat untuk menyekat kemaraan puak pelampau kanan.
Selain strategi politik Podemos yang gagal meningkatkan sokongan kepadanya, sebenarnya Podemos menghadapi serangan yang hebat daripada kelas pemerintah sejak penubuhannya 5 tahun dahulu. Sokongan hebat daripada rakyat biasa yang diterima oleh Podemos pada awalnya memang digeruni kelas pemerintah Sepanyol dan Eropah, sehingga beberapa tahun kebelakangan ini banyak usaha dilakukan untuk menyerang dan memburuk-burukkan nama Podemos. Sejak penubuhannya, Podemos telah dituduh sebagai boneka Kerajaan Republik Bolivar Venezuela, termasuk tuduhan liar bahawa mendiang Hugo Chávez ialah pengasas sebenar parti tersebut dengan pakar-pakar berpangkat tinggi dari Venezuela merancang organisasinya secara terperinci. Ini seperti tayangan semula tuduhan terhadap parti berhaluan kiri di negara dunia ketiga sebagai pengintip Rusia ketika Perang Dingin. Krisis di Catalonia juga meletakkan Podemos dalam kedudukan yang agak sukar dalam politik nasional Sepanyol.
Prospek yang tidak menentu
Walaupun PSOE telah menang dalam pilihanraya dan blok kiri menguasai kelebihan berbanding blok kanan dalam suasana politik dengan polarisasi yang hebat, pemimpin PSOE Pedro Sánchez sebenarnya ialah calon Perdana Menteri pilihan yang boleh dipercayai oleh kelas pemerintah di dalam negara Sepanyol dan di peringkat antarabangsa. Majalah yang menjadi lidah kapitalis global seperti Financial Times, The Economist dan New York Times, semuanya telah memuji Sánchez atas sikapnya yang moderat dan pendekatannya untuk berkompromi dengan modal besar. Pedro Sánchez boleh mendapat majoriti yang jelas dalam parlimen dengan membentuk pakatan dengan Cs yang turut disokong kelas pemerintah sebagai pengganti kepada PP yang semakin kehilangan sokongan. Namun, pemimpin Cs Albert Rivera telah mengatakan dengan jelasnya bahawa dia tidak mahu bersekutu dengan PSOE kerana hasrat Cs adalah menjadi parti yang paling utama dalam blok kanan untuk menggantikan PP, dan kerjasama dengan PSOE akan menghalangnya untuk mencapai matlamat ini. Lebih-lebih lagi, penyokong PSOE di peringkat akar umbi juga menyatakan dengan jelasnya bahawa mereka tidak akan menerima pembentukan pakatan dengan mana-mana parti daripada blok kanan.
Pedro Sánchez menghadapi tekanan daripada penyokongnya untuk membentuk kerajaan campuran dengan Unidas Podemos, tetapi jumlah kerusi kedua-dua parti ini masih tidak mencukupi untuk menguasai majoriti dalam parlimen dan memerlukan sokongan daripada parti-parti yang lebih kecil. Tekanan daripada kelas pemerintah pula adalah membentuk kerajaaan campuran dengan Cs, walaupun pastinya akan ditentang hebat oleh penyokong PSOE di peringkat akar umbi.
Dengan pilihanraya perbandaran, wilayah dan Parlimen Eropah akan berlangsung secara serentak di Sepanyol pada 26 Mei ini, rundingan untuk pembentukan kerajaan campuran baru akan ditangguhkan sehingga itu.
Walau apapun, dengan kemelesetan ekonomi yang baru semakin menghampiri, kerajaan campuran baru yang dikuasai PSOE berkemungkinan besar akan melaksanakan lebih banyak lagi langkah “penjimatan” (iaitu pengurangan perbelanjaan kebajikan sosial) untuk melindungi kepentingan kelas pemerintah kapitalis. Pedro Sánchez mungkin akan melakukan sedikit perubahan secara kosmetik untuk menenangkan hati penyokongnya dalam blok kiri, tetapi tidak melakukan apa-apa perubahan dasar yang bakal mencabar kepentingan kelas pemerintah dalam Kesatuan Eropah. Perjuangan di jalanan akan berterusan sekiranya kerajaan PSOE mengulangi apa yang dilakukannya 10 tahun dahulu.
Cabaran untuk kuasa kiri seperti Unidas Podemos adalah mengimbangi strategi parlimen dengan mobilisasi jalanan untuk memperjuangkan isu-isu rakyat seperti perumahan, perlindungan sosial, hak pekerja dan ruang demokrasi yang lebih luas, untuk mencabar PSOE dan memastikan kerajaan yang diterajui PSOE tidak mengkhianati kelas pekerja, di samping menyekat kemaraan politik pelampau kanan.
One thought on “Pilihanraya Sepanyol: Polarisasi kiri-kanan yang ketara”