20191113 - 9839d9ab10c36f4c95f32c9e827924a1bacf38c8aab4b6f46fb3b3948d923467

Sepanyol mengadakan pilihanraya umumnya yang kedua dalam tahun ini pada 11 November 2019, dengan keputusannya parti pemerintah berhaluan kiri-tengah, Parti Pekerja Sosialis Sepanyol (PSOE) pimpinan penyandang jawatan Perdana Menteri Pedro Sánchez, kekal sebagai parti terbesar dalam Parlimen tetapi jumlah kerusi sudah berkurang, sementara parti pelampau kanan Vox menunjukkan peningkatan yang hebat dari segi sokongan undi.

Pilihanraya Umum Sepanyol yang terbaru ini diadakan selepas PSOE pimpinan Pedro Sánchez gagal membentuk kerajaan campuran berhaluan kiri yang berkemungkinan dengan Unidas Podemos berikutan Pilihanraya Umum pada 28 April 2019. Bagi PSOE, pilihanraya ini sebenarnya tidak patut dipanggil langsung, kerana pencapaian PSOE tidak banyak berbeza, sebaliknya memberi peluang golongan pelampau kanan yang merindukan zaman kediktatoran Francisco Franco untuk memperluaskan pengaruh politik sehingga menjadi kuasa politik utama di arena elektoral.

20191113 - _109604972_fc3f7eeb-a719-46ad-ba67-3bfd680dff36
Pedro Sánchez

PSOE berjaya meraih undi sebanyak 28.00%, jatuh 0.67 titik peratusan berbanding pilihanraya pada bulan April 2019, dan memenangi sebanyak 120 daripada 350 kerusi dalam Kongres Perwakilan, kurang 3 kerusi berbanding pilihanraya yang lalu. PSOE masih kekal sebagai parti terbesar dalam Parlimen, tetapi masih perlukan lagi 56 kerusi untuk membentuk kerajaan.

Parti Rakyat (PP) yang berhaluan kanan yang mendapat kekalahan yang paling teruk dalam pilihanraya bulan April 2019, telah “bangkit semula” dengan perolehan undi sebanyak 20.82% (meningkat 4.13 titik peratusan) dan memenangi sebanyak 88 kerusi (tambah 22 kerusi). Parti Rakyat menyaksikan penurunan perolehan undi sebanyak 15.88 titik peratusan dalam pilihanraya yang lalu. Parti Rakyat kekal sebagai parti kedua besar dengan kerusi yang lebih banyak berbanding pilihanraya sebelum ini.

Vox, parti pelampau kanan yang ditubuhkan oleh bekas anggota PP dan membawa politik perkauman yang sempit, telah muncul sebagai “pemenang terbesar” dalam pilihanraya ini, dengan mendapat 15.09% undi, meningkat sebanyak 4.83 titik peratusan berbanding April 2019, menjadi parti ketiga besar dalam Parlimen. Kerusi yang diperoleh Vox telah berlipat ganda daripada 24 kepada 52, iaitu bertambah sebanyak 28 kerusi.

Unidas Podemos yang dipimpin oleh Pablo Iglesias, sebuah pakatan parti politik berhaluan kiri yang terbentuk daripada gerakan rakyat menentang dasar penjimatan beberapa tahun dahulu, menyaksikan trend pengurangan sokongan yang membimbangkan. Unidas Podemos hanya mendapat 12.84% undi (merosot 1.48 titik peratusan) dan menang 35 kerusi (kurang sebanyak 7 kerusi), menjadikannya kekal sebagai blok keempat besar dalam Parlimen dengan kerusi yang semakin berkurangan.

Más País, gabungan politik yang ditubuhkan oleh salah seorang pengasas Unidas Podemos, Íñigo Errejó, yang berpecah dengan Podemos kerana tidak berpuas hati dengan kegagalan rundingan PSOE dan Unidas Podemos untuk membentuk kerajaan campuran sebelum ini, telah memenangi 3 kerusi. Más País ialah perluasan platform Más Madrid yang mendapat pencapaian yang menggalakkan dalam pilihanraya tempatan di Madrid pada bulan Mei 2019.

Gabungan Parti Kiri Republikan Catalonia (ERC) dengan Sobiranistes, satu gabungan parti pro-kemerdekaan Catalonia yang berhaluan kiri, mendapat 13 kerusi dengan 3.63% undi, menjadikannya blok kelima besar dalam Parlimen. Satu lagi kuasa pro-kemerdekaan Catalonia, Junts per Catalunya (JxCat–Junts) berjaya menang 8 kerusi. Sementara itu, gabungan parti radikal kiri yang pro-kemerdekaan Catalonia, Candidatura d’Unitat PopularCrida Constituent (CUP-CC), mendapat pencapaian yang menggalakkan dalam cubaannya yang pertama kali untuk bertanding dalam pilihanraya nasional, dengan memenangi 2 kerusi. Hukuman berat yang dijatuhkan ke atas pemimpin pro-kemerdekaan Catalonia baru-baru ini dan protes rakyat Catalonia terhadap kezaliman kerajaan pusat Madrid, telah memberi rangsangan sokongan kepada parti-parti yang pro-kemerdekaan di Catalonia.

Parti Ciudadanos (Cs), parti ultra-liberal yang berhaluan kanan yang merupakan parti ketiga besar dalam Parlimen sebelum ini, menemui kekalahan yang teruk, dengan perolehan undinya menjunam sebanyak 9.07 titik peratusan kepada 6.79%, dan mendapat 10 kerusi sahaja (merosot sebanyak 47 kerusi). Barangkali undi kepada Cs telah beralih kepada dua parti berhaluan kanan utama yang lain, iaitu PP dan Vox.

20191113 - 1573562718_041862_1573567762_sumario_normal
Pedro Sánchez (kiri) dan Pablo Iglesias (kanan) mencapai persetujuan untuk membentuk kerajaan campuran antara PSOE dan Unidas Podemos.

Dengan keputusan pilihanraya yang nampaknya mewujudkan keadaan politik yang lebih tidak stabil, penyandang jawatan Perdana Menteri Pedro Sánchez daripada PSOE telah menolak pembentukan kerajaan campuran dengan PP. Pedro Sánchez telah menyatakan bahawa PSOE akan membentuk kerajaan campuran dengan Unidas Podemos, satu cubaan yang telah digagalkannya dalam 6 bulan kebelakangan ini, tetapi masih memerlukan sokongan daripada parti-parti serantau yang lain. PSOE telah cuba mengelak daripada membentuk kerajaan campuran dengan Unidas Podemos sebelum ini, walaupun program bersama yang dikemukakan bukannya sesuatu yang revolusioner, kerana ia tidak mahu kuasa politik kiri radikal itu menampilkan diri sebagai sebuah parti yang mampu mentadbir negara, malah boleh menggantikan kedudukan PSOE sebagai parti pemerintah. Namun, dengan kuasa pelampau kanan yang semakin berpengaruh, Sánchez dan PSOE tiada pilihan lain jika mahu teruskan pentadbirannya.

Daripada keputusan pilihanraya kali ini, Vox sedang memperluaskan pengaruhnya di seluruh negara Sepanyol. Namun, Vox gagal mendapat sokongan yang banyak di wilayah utara seperti Galicia, Negeri Basque, Navarra dan Catalonia, yang mempunyai sentimen atau gerakan yang menjauhkan diri daripada kekuasan kerajaan pusat Madrid. Vox yang dipimpin oleh Santiago Abascal, telah menyeru untuk “menawan semula” Sepanyol dan membina sebuah “tembok yang tidak boleh ditembusi” sekitar enklaf Sepanyol di Afrika (Ceuta dan Melilla). Vox yang mempermainkan sentimen rasis dan nasionalis sempit, sentiasa menyerang apa yang dianggapnya sebagai hegemoni pembaikan politik (political correctness) dan mahu memansuhkan undang-undang mengenai keganasan berasaskan gender. Vox telah dianggap oleh golongan pelampau kanan di Sepanyol sebagai penyambung warisan Francisco Franco, diktator yang memerintah Sepanyol dari tahun 1936 hingga 1975. Abascal telah menyifatkan keputusan pilihanraya ini sebagai pencapaian penting untuk Vox dalam perang budayanya terhadap golongan kiri yang progresif. Amat jelas sekali, Vox sedang menghidupkan kembali roh Franco yang reaksioner.

Dalam senario politik Sepanyol yang berpecah-belah dan tidak menentu, kerajaan baru yang bakal dibentuk akan menghadapi cabaran hebat untuk kekal berkuasa, di samping perlu menghadapi ancaman golongan pelampau kanan.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s