Picture8.jpgHari ini, 30 April 2019, menandakan ulangtahun ke-21 penubuhan Parti Sosialis Malaysia (PSM).

30 April 1998 menandakan hari lahirnya Parti Sosialis Malaysia (PSM) apabila pendaftaran untuk PSM dikemukakan kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada hari itu. PSM telah mengambil masa 10 tahun untuk berjuang mendapatkan pendaftarannya.

PSM merupakan sebuah parti politik yang lahir daripada perjuangan rakyat marhaen.

Pada tahun 1990-an, aktivis-aktivis daripada kumpulan masyarakat seperti Suara Warga Pertiwi (SWP), Alaigal dan Pusat Pembangunan Masyarakat (CDC), yang telah terlibat dalam perjuangan masyarakat ladang dan peneroka bandar bertahun-tahun lamanya, telah mengambil inisiatif untuk membentuk satu jaringan gerakan rakyat dan menganjurkan aksi sambutan Hari Pekerja pada tahun 1994. Sambutan Hari Pekerja pada tahun 1994 merupakan satu detik bersejarah, kerana untuk pertama kalinya selepas dua dekad ketika itu, satu aksi jalanan diadakan untuk menyambut hari yang bersejarah untuk perjuangan pekerja antarabangsa ini.

Jaringan gerakan rakyat yang terbentuk daripada Jawatankuasa Mei Satu pada tahun 1994 kemudiannya terus berkembang dan aktivis-aktivis yang menjadi penggerak utamanya telah berputus untuk menubuhkan PSM, sebuah parti politik yang memperjuangkan kepentingan kelas pekerja dan rakyat marhaen.

Proses untuk mendaftarkan PSM sendiri adalah satu proses perjuangan yang mengambil masa selama 10 tahun. Walaupun tidak dibenarkan untuk didaftarkan pada awalnya, aktivis-aktivis PSM tidak berputus asa dalam memperjuangkan pendaftaran parti di samping meneruskan usaha memperjuangkan isu-isu rakyat.

PSM merupakan parti politik pertama di Malaysia mencabar Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia dalam mahkamah kerana dinafikan pendaftaran. Hasil daripada kempen menuntut kebebasan berpersatuan yang mendapat sokongan hebat dari dalam dan luar negera, PSM akhirnya didaftarkan pada tahun 2008.

Selama 21 tahun ini, PSM telah terlibat dalam pelbagai perjuangan rakyat untuk menegakkan keadilan sosial dan pembebasan masyarakat. PSM telah bersama dengan masyarakat akar umbi dalam pelbagai perjuangan di peringkat kawasan, seperti perjuangan melawan pengusiran paksa. PSM telah menerajui kempen-kempen rakyat penting seperti Kempen Gaji Minimum, Kempen Penubuhan Tabung Pemberhentian Kerja, Gabungan Membantah Penswastaan Perkhidmatan Kesihatan, Gabungan Bantah TPPA, Gerakan Menuntut Pendidikan Percuma, Kempen Membantah GST dan sebagainya.

Penglibatan PSM dalam memperjuangkan isu-isu rakyat ini, bertujuan bukan sahaja mempertahankan hak dan kesejahteraan rakyat daripada ancaman kerakusan golongan atasan, tetapi juga untuk memperkasakan rakyat bawahan supaya rakyat itu sendiri dapat memperjuangkan kepentingan bersama masyarakat dan membawa perubahan yang sebenar.

PSM berkomited untuk terus membina kuasa rakyat dari bawah untuk perubahan sebenar yang menjamin kesejahteraan rakyat terbanyak.

may_day_rally0105a.jpg

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *