Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) telah menerima kes yang dibawa oleh Afrika Selatan di hadapannya dan mengarahkan Israel untuk mencegah tenteranya daripada melakukan genosid terhadap rakyat Palestin dalam satu keputusan interim bersejarah yang disampaikan pada 26 Januari 2024. Keputusan ini merupakan satu tamparan hebat kepada rejim Zionis Israel yang sedang menzalimi rakyat Palestin dengan keganasan ketenteraan, tetapi masih tidak mencukupi untuk menghentikan serta-merta keganasan tentera Israel yang masih berterusan terhadap rakyat Palestin. Rakyat Palestin di Gaza masih terus dibunuh oleh rejim Zionis Israel yang jelasnya sedang melakukan jenayah genosid secara terang-terangan.
Pada 29 Disember 2023, kerajaan Afrika Selatan telah memfailkan permohonan untuk memulakan prosiding terhadap Israel di ICJ selaku organ utama kehakiman Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang beribu pejabat di Den Haag, Belanda, berhubung dakwaan bahawa tindakan ketenteraan Israel di Gaza telah melanggar Konvensyen Genosid PBB 1948. Pendengaran awam berkenaan permintaan Afrika Selatan untuk langkah-langkah perlindungan sementara telah diadakan pada 11 dan 12 Januari 2024. ICJ kemudiannya mengeluarkan perintah pada 26 Januari 2024 yang mengarahkan Israel supaya mengambil langkah-langkah untuk mencegah sebarang tindakan yang boleh dianggap sebagai genosid mengikut Konvensyen Genosid 1948.
Semasa menyampaikan keputusan ICJ, hakim Joan Donoghue selaku Presiden ICJ mengatakan bahawa pihak mahkamah ICJ amat menyedari tentang tahap tragedi kemanusiaan yang sedang berlaku di Gaza, dan amat prihatin pada kehilangan nyawa dan penderitaan manusia yang berterusan. Hakim Donoghue berkata bahawa mahkamah mendapati wujudnya asas yang mencukupi untuk Afrika Selatan memfailkan aduannya di mahkamah.
“Pada pandangan Mahkamah, sekurang-kurangnya sesetengah tindakan dan peninggalan yang didakwa oleh Afrika Selatan telah dilakukan oleh Israel di Gaza nampaknya boleh jatuh dalam peruntukan Konvensyen,” kata hakim Donoghue. ICJ juga menegaskan bahawa hak rakyat Palestin di Gaza untuk dilindungi daripada tindakan genosid harus ditegakkan. Oleh itu, ICJ merumuskan bahawa perlunya langkah-langkah untuk melindungi hak rakyat Palestin di Gaza sementara menunggu keputusan akhir mengenai kes yang dibawa oleh Afrika Selatan ini.
Dengan undian 15-2, ICJ mengarahkan Israel untuk mengambil semua langkah dalam bidang kuasanya untuk mencegah semua tindakan yang melanggar Konvensyen Genosid. Dengan undian 16-1, ICJ mengarahkan Israel untuk mengambil semua langkah dalam bidang kuasanya dalam mencegah dan menghukum sebarang hasutan untuk melakukan genosid terhadap rakyat Palestin di Semenanjung Gaza. Dengan undian 16-1, ICJ mengarahkan Israel untuk mengambil langkah-langkah segera dan berkesan dalam membolehkan penyediaan perkhidmatan asas dan bantuan kemanusiaan yang amat diperlukan demi menangani keadaan hidup yang buruk yang sedang dihadapi oleh rakyat Palestin di Semenanjung Gaza.
Selain itu, ICJ juga mengarahkan Israel untuk mengemukakan laporan kepadanya dalam tempoh sebulan mengenai semua langkah yang diambil untuk melaksanakan perintah ICJ.
Namun, perintah ICJ tidak mengemukakan arahan yang jelas untuk gencatan senjata serta-merta di Gaza seperti yang dituntut oleh pelbagai pihak dalam masyarakat antarabangsa.
Walau bagaimanapun, keputusan ICJ ini merupakan satu kekalahan undang-undang yang besar bagi Israel dan penyokong utamanya, Amerika Syarikat (AS) dan Jerman. Perintah yang dikeluarkan oleh ICJ merupakan satu langkah penting dalam menyedarkan dunia tentang kezaliman yang sedang berlaku di Gaza demi menghentikan pembunuhan beramai-ramai serta penderitaan yang sedang dihadapi oleh 2.3 juta rakyat Palestin di Semenanjung Gaza.
Persoalan sekarang adalah sama ada perintah ini dapat dikuatkuasakan, dan sama ada AS akan membelakangkan undang-undang antarabangsa dalam usahanya bersekongkol dengan Israel yang melakukan jenayah kemanusiaan terhadap rakyat Palestin.
Rejim Zionis Israel telah melancarkan serangan ketenteraan besar-besaran terhadap rakyat Palestin di Semenanjung Gaza berikutan “Operasi Taufan al-Aqsa” pada 7 Oktober 2023. Setakat ICJ mengeluarkan perintah mengenai kes yang dibawa oleh Afrika Selatan terhadap Israel, sudah lebih 26,000 orang warga Palestin dibunuh di Semenanjung Gaza, dengan 10,000 orang yang terbunuh adalah kanak-kanak, sementara lebih 64,000 orang cedera. Lebih 1.9 juta orang rakyat Palestin kehilangan tempat tinggal di Semenanjung Gaza. Di Tebing Barat pula, sekurang-kurangnya 360 orang dibunuh oleh rejim Zionis Israel dalam tempoh masa yang sama.
Pembantaian terbaru terhadap rakyat Palestin oleh rejim Zionis Israel ini merupakan lanjutan daripada pendudukan rejim Zionis dan apartheid yang diamalkannya di bumi Palestin selama lebih 75 tahun. Rejim Zionis Israel berniat untuk mengusir keluar rakyat Palestin dari bumi Palestin, dengan menggunakan serangan ketenteraan yang berterusan, di samping mempersenjatakan kelaparan dan menyekat penyampaian bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.
Rakyat Palestin tidak sepatutnya terus menanggung penderitaan ini. Semua negara di dunia, khususnya negara-negara kuasa besar yang masih memberikan sokongan kepada Israel, harus melakukan apa yang boleh untuk memastikan wujudnya gencatan senjata yang segera dan berkekalan, di samping menegakkan hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri dengan menamatkan pendudukan oleh rejim Zionis Israel ke atas wilayah Palestin.
3 thoughts on “ICJ arahkan Israel untuk henti bunuh rakyat Palestin di Gaza tapi masih tidak cukup untuk hentikan kezaliman rejim Zionis Israel”