oleh Sivaranjani Manickam

Sehaluan dengan laungan Jawatankuasa 1 Mei 2022 “Jamin Perlindungan Sosial Pekerja”, Parti Sosialis Malaysia (PSM) mendesak Kerajaan Ismail Sabri untuk memberikan keutamaan kepada perlindungan sosial pekerja sempena Hari Pekerja 2022 ini.

PSM ingin membawa perhatian Kerajaan terhadap perkara-perkara berikut: 

1.  Walaupun PSM mengalu-alukan penetapan Gaji Minimum baharu pada kadar RM1,500 sebulan oleh Putrajaya, tetapi kami juga kecewa apabila majikan yang mempunyai pekerja 4 orang dan ke bawah diberi kelonggaran sehingga tahun 2023. Kami juga khuathir sejauh mana pelaksanaan gaji minimum RM1,500 akan dipantau di peringkat akar umbi. Jabatan Tenaga Kerja di seluruh negara harus bersedia untuk membuat pemantauan supaya majikan tidak memanupulasi pengiraan gaji pekerja untuk mengelakkan kenaikkan gaji minimum.

2. Pasca era Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) COVID-19, kita masih menerima rungutan tentang kehilangan kerja, pemotongan gaji dan elaun, dan peningkatan kadar pengangguran. Peralihan kepada pemulihan ekonomi mengambil masa. Sementara itu, kami di PSM menyarankan Kerajaan supaya menyalurkan bantuan Jaminan Pendapatan Asas sebanyak RM1,000 sebulan per keluarga kepada mereka yang berada dalam sektor tidak formal, peniaga persendirian kecil dan peniaga bersifat mikro yang kehilangan punca pendapatan akibat pandemik COVID-19. Kami menganggarkan bahawa peruntukan yang diperlukan jika skim ini dipanjangkan kepada 700,000 keluarga (10%) ialah RM8.4 bilion setahun. Ini pasti akan membantu keluarga-keluarga ini dalam memenuhi keperluan harian seperti makanan dan persekolahan, sekaligus menjana pemulihan ekonomi tempatan.

3. Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) perlu penambahbaikan segera agar ianya benar-benar menyediakan perlindungan sosial untuk warga pekerja. PSM mencadangkan penambahbaikan seperti berikut:

  • Liputan bantuan bencana PERKESO harus diperluaskan kepada 24 jam dari skop sekarang yang terikat kepada waktu kerja dan masa pergi balik tempat kerja. Ianya harus meliputi waktu kerja fleksibel dan norma baharu “kerja dari rumah” (work from home) yang dipraktikkan sekarang.
  • Skop liputan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) harus diperluaskan supaya merangkumi pekerja kontrak tetap dan juga pekerja yang memfailkan kes untuk mencabar pembuangan kerja tidak sah di Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP) atau tuntutan pemberhentian kerja di Jabatan Tenaga Kerja (JTK).
  • Perluaskan perlindungan PERKESO supaya ia meliputi semua pekerja dalam sektor pertanian komoditi, petani, pesawah, nelayan, penjaja dan peniaga kecil sektor tidak formal agar mereka mendapat manfaat bantuan bencana kerja dan Skim Pembayaran Pencen Ilat. 

4. PSM juga menyarankan bahawa hak pekerja gig harus diberi kepentingan serius. Golongan pekerja ini semakin meningkat bilangannya. Walaupun hubungan kerja adalah sama seperti majikan-pekerja, tetapi mereka dianiayai dengan klasifikasi mereka sebagai “rakan kongsi perniagaa”” (partners) atau “kontraktor bebas” oleh syarikat platform ekonomi gig.

PSM menyeru pada Kerajaan supaya mengiktiraf pekerja ekonomi gig ini sebagai pekerja yang dilindungi oleh Akta Kerja dan menikmati segala bentuk hak serta perlindungan asas seperti caruman KWSP, PERKESO, SIP dan sebagainya.

5. Statistik jangka hayat rakyat Malaysia adalah sekitar 75 tahun untuk lelaki dan 80 tahun untuk perempuan. Ini mewujudkan satu kerisauan besar bagaimana golongan pesara ini akan menyara hidup selepas bersara pada umur 60 tahun nanti. KWSP memaklumkan bahawa sebahagian besar pencarum hanya ada simpanan menanggung kelangsungan hidup untuk 5 tahun sahaja selepas persaraan. Kerajaan ada tanggungjawab untuk memastikan golongan warga emas yang telah menyumbang kepada ekonomi negara terus hidup dengan bermaruah dan bukan dalam kemiskinan. PSM menyarankan satu Skim Pencen Warga Emas (melebihi umur 65 tahun) sebanyak RM500 sebulan bagi setiap orang pesara (tidak termasuk bekas penjawat awam yang menerima pencen tetap atau mana-mana pencen lain).

6. Sistem kontrak yang merupakan hasil daripada dasar penswastaan perkhidmatan asas kerajaan sejak pertengahan tahun 1990-an harus dihentikan segera kerana ianya jelas merampas jaminan pekerjaan pekerja kontrak ini. Pekerja-pekerja pembersihan, tukang kebun dan pengawal keselamatan di bangunan premis kerajaan harus diserap segera sebagai pekerja tetap. Sistem kontrak hanya menghisap darah pekerja untuk menguntungkan kroni politik pemerintah.

7. Selaras dengan semangat penyatuan perjuangan pekerja sedunia, PSM mendesak agar pekerja migran dan pelarian yang menyumbangkan tenaga kerja yang signifikan kepada negara kita harus dilindungi dan dijamin hak mereka yang saksama. Kerajaan perlu mempertimbangkan dasar komprehensif yang disarankan oleh “Right to Redress Coalition” untuk menanggani isu pekerja migran dan pelarian. Mereka yang ditahan di dalam kem tahanan untuk penghantaran balik secara paksaan harus dibebaskan.  

Kita tidak harus lupa tentang sejarah Hari 1 Mei di mana ramai pekerja telah mengorbankan nyawa mereka untuk manfaat yang kita nikmati hari ini seperti kerja 8 jam sehari, satu hari rehat seminggu dan lain-lain lagi. Jangan kita menggadaikan pengorbanan itu. Kita harus terus mara ke depan untuk memperjuangkan hak pekerja yang semakin hari semakin merosot.   

Dengan semangat dan laungan 7 tuntutan ini, PSM memobilisasi pekerja di tiga negeri hari ini – Perak, Pulau Pinang dan Johor – untuk menunjukkan suara pekerja kepada Kerajaan.

==========

Sivaranjani Manickam ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap Ketua Biro Pekerja PSM.

One thought on “PSM saran 7 tuntutan perlindungan sosial bagi pekerja

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *