Setelah sejarah tercipta dalam Pilihanraya Kecil (PRK) kawasan Parlimen Cameron Highlands dengan menyaksikan debat antara calon yang disiarkan secara langsung di saluran TV perdana untuk kali pertama, PRK kawasan DUN Semenyih nampaknya tidak akan dapat menyambung sejarah ini, sebaliknya melangkah ke belakang, apabila calon-calon daripada dua parti gergasi enggan menyertai debat antara calon pilihanraya yang dianjurkan oleh pihak berkecuali.
Calon Barisan Nasional (BN) Zakaria Haji Hanafi dan calon Pakatan Harapan (PH) Muhammad Aiman Zainali, telah menolak jemputan daripada BERSIH 2.0 untuk menghadiri debat calon yang dijadualkan pada 25 Februari 2019 di kampus Universiti Nottingham Malaysia. Calon BN memberi alasan bahawa dia hanya akan menggunakan tempoh 14 hari berkempen bagi bertemu pengundi, sementera calon PH tidak memberi apa-apa alasan lagi.
Setakat ini, hanya Nik Aziz Afiq, calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), menyatakan kesediaannya untuk menyertai debat antara calon PRK Semenyih. Nik Aziz Afiq telah memberitahu kepada wartawan dalam sidang akhbar pengisytiharan harta calon PSM pada 17 Februari 2019, bahawa beliau sudah sedia sepenuhnya untuk berdebat dan beliau rasa kita perlukan debat sebegini. “Kami mengharapkan rakyat lebih mengenali siapa orang yang akan dipilih mereka,” begitu katanya Nik Aziz dalam sidang akhbar tersebut.
Seorang lagi calon bebas Kuan Chee Heng yang juga juga dikenali sebagai “Uncle Kentang” juga menyatakan bahawa akan menyertai debat calon, menurut laporan The Star.
Dalam berita yang dilaporkan oleh Malaysiakini, penganjur debat calon, iaitu BERSIH 2.0, menyatakan kekecewaanya terhadap tindakan kedua-dua calon BN dan PH yang menolak jemputan untuk menghadiri debat calon yang dicadangkan oleh gabungan badan-badan bukan kerajaan yang mendukung pembaharuan sistem pilihanraya itu. Pengerusi BERSIH 2.0 Thomas Fann mengatakan bahawa calon-calon pilihanraya sepatutnya menggunakan pentas debat calon untuk menjelaskan perancangan dan visi mereka untuk kawasan yang ditandingi mereka.
BERSIH 2.0 juga nampaknya berkemungkinan besar akan membatalkan debat calon yang dirancang ini sekiranya hanya seorang dua sahaja yang bersedia untuk berdebat. Jika ini berlaku, maka bermakna satu langkah ke belakang untuk proses demokrasi kita ini. Ruang demokrasi sudah wujud dengan lebih luas sedikit, tetapi parti-parti politik aliran utama gagal menggunakan ruang ini untuk membawa proses pembaharuan demokrasi ke depan lagi!
A. Sivarajan, Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), menyatakan kekecewaannya terhadap PH berkenaan ini dalam satu tulisannya di twitter bahawa calon PH telah menjarakkan dirinya daripada perjuangan berpanjangan dan susah yang pernah dilalui BERSIH dan ratusan ribu orang yang menyertai perhimpunan menuntut demokrasi sebelum ini. “Pengundi mempunyai hak untuk mendengar daripada orang yang akan dipilih mereka,” tegas Sivarajan.
Pengarah Jentera Kempen PSM untuk PRK Semenyih, S. Arutchelvan, turut melahirkan rasa kekecewaannya kerana keengganan calon-calon daripada BN dan PH untuk menyertai debat calon. Arutchelvan berkata, “Sebelum menjadi Kerajaan Persekutuan, Pakatan Harapan percaya bahawa debat adalah salah satu budaya yang harus digalakkan dan semua calon yang bertanding dalam pilihanraya harus meraih keyakinan pengundi dengan membentangkan idea melalui debat yang terbuka dan amalan ini adalah salah satu langkah ke arah demokrasi. Adakah ini telah berubah sejak menjadi Kerajaan Persekutuan?”
Arutchelvan mengatakan bahawa PSM masih berharap calon-calon daripada BN dan Pakatan Harapan akan berubah fikiran dan menerima jemputan ke debat calon.
Di bawah sebuah demokrasi yang sihat, debat antara calon-calon pilihanraya adalah sesuatu yang menjadi kebiasaan tetapi penting sebagai satu saluran untuk pengundi-pengundi menilai calon yang akan dipilih mereka. Sekiranya seseorang calon itu tidak sanggup berdebat dengan calon lain semasa pilihanraya, bagaimana dia dapat berdebat dengan wakil rakyat yang lain dalam Dewan Undangan Negeri atau Parlimen sekiranya terpilih? Jika wakil rakyat tidak dapat membahaskan usul-usul atau rang undang-undang, kenapa kita patut pilih mereka menjadi wakil rakyat kita?
Sebagai seorang calon pilihanraya, mengelakkan diri daripada debat calon adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab. Enggan melibatkan diri dalam debat calon bermakna calon itu takut ataupun langsung tiada keikhlasan untuk dinilai oleh pengundi-pengundinya.
Pentas debat calon yang dianjurkan oleh pihak berkecuali, merupakan satu ruang yang penting untuk calon-calon menjelaskan pandangan politik mereka dan menerangkan rancangan atau visi mereka supaya pengundi-pengundi tahu apa jenis wakil rakyat yang akan dipilih oleh mereka melalui pengundian.
Debat calon bukannya pertandingan siapa lebih hensem atau cantik, maka calon tidak patut berasa malu-malu menampilkan dirinya di khalayak ramai bersama-sama dengan calon lain. Debat calon juga bukan pertandingan debat sekolah yang menilai siapa mempunyai kemahiran bercakap atau berdebat yang lebih hebat. Seseorang itu tidak pandai bercakap pun, tetapi jika dia dapat menyampaikan idea-ideanya dan membincangkan isu-isu rakyat dengan jelas kepada pengundi-pengundinya (walaupun dalam bahasa pasar), sudah pastinya akan memberi keyakinan kepada para pengundi bahawa dia mampu membahaskan isu-isu penting rakyat dalam dewan.
Calon PSM bersedia untuk berdebat tetapi calon daripada parti gergasi enggan berdebat. Ini merupakan sesuatu yang tidak masuk akal. Lebih-lebih lagi, calon PH datang daripada sebuah parti yang ketua sayap pemudanya pernah dianugerahkan pendebat terbaik Asia. Sebagai calon daripada parti gergasi yang memerintah ataupun yang pernah menjadi kerajaan, sepatutnya mempunyai keyakinan untuk menyertai debat calon. Takkan calon-calon daripada parti gergasi ini takut pada seorang calon daripada PSM yang selalu disindir sebagai “parti nyamuk”?
2 thoughts on “Kenapa calon BN dan PH tak berani berdebat dengan calon PSM?”