PC - health.jpg

SEMENYIH, SELANGOR – 19 FEBRUARI 2019: Parti Sosialis Malaysia (PSM) membangkitkan isu skim insurans kesihatan mySalam yang sebenarnya hanya menguntungkan syarikat korporat dan mengancam kesihatan awam negara kita, dalam satu sidang akhbar khas yang diadakan pada hari ini di Semenyih bersempena kempen Pilihanraya Kecil (PRK) kawasan DUN Semenyih.

Dr. Jeyakumar Devaraj, Ahli Jawatankuasa Pusat PSM, mempertikaikan skim insurans kesihatan mySalam yang diperkenalkan oleh kerajaan baru-baru ini, kerana ia hanya menguntungkan syarikat insurans swasta dan tidak dapat melindungi golongan berpendapatan secara berkesan, malah boleh mendatangkan ancaman kemusnahan kepada sistem kesihatan awam di negara kita.

Dr. Jeyakumar juga mengatakan bahawa syarikat insurans swasta akan mendapat butir-butir peribadi lebih 3 juta keluarga B40 yang boleh digunakan untuk memasarkan polisi insurans yang lain kepada mereka.

Skim Perlindungan Nasional B40 ataupun Skim mySalam dilancarkan oleh Perdana Menteri Mahathir Mohamad pada 24 Januari 2019, kononnya akan memberi perlindungan takaful kepada isi rumah berpendapatan terendah 40% (B40). Dana untuk skim ini datang daripada “sumbangan” syarikat insurans Great Eastern yang berjumlah RM 2 bilion. Syarikat Great Eastern telah diberi kelonggaran dalam mematuhi syarat syarikat pelaburan asing perlu memberikan milik saham sebanyak 30% kepada pemegang saham tempatan kerana sumbangan RM 2 bilion kepada mySalam ini, dan syarikat insurans swasta ini juga diberi tanggungjawab untuk menguruskan skim insurans kesihatan ini, maknanya wang sumbangan yang diberikan oleh syarikat Great Eastern akhirnya kembali ke dalam poket syarikat Great Eastern juga. “Ini satu derma atau satu skandal?” Dr. Jeyakumar bertanya.

Dr. Jeyakumar mengatakan bahawa PSM tidak berpuas hati dengan kerajaan dalam isu ini kerana kerajaan yang dipertanggungjawabkan untuk memastikan rakyat menikmati perlindungan kesihatan awam tidak mengadakan perundingan dengan pihak-pihak berkepentingan seperti Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) sebelum melaksanakan skim ini. Dr. Jeyakumar juga mengecam Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang bersikap angkuh dan enggan berjumpa untuk berdialog tentang isu ini.

Sementara itu, Nik Aziz Afiq, calon PSM untuk PRK Semenyih, mengatakan bahawa salah satu isu utama yang dibawa dalam Manifesto PSM untuk PRK Semenyih ialah menaiktarafkan Klinik Kesihatan Semenyih kepada Hospital Semenyih untuk memenuhi keperluan lebih 300,000 penduduk di kawasan Semenyih.

Nik Aziz berkata, “Kita perlukan sistem kesihatan awam kita dipertingkatkan. Sudah sampai masanya untuk rakyat Semenyih tak perlu lagi pergi ke Hospital Kajang, tak perlu lagi pergi ke Hospital Serdang, tak perlu lagi pergi ke Hospital Seremban. Rakyat Semenyih seharusnya mempunyai Hospital Semenyih di Semenyih itu sendiri. Dan ini bukannya kata saya seorang, kerana ramai yang meminta perkara ini dibuat.”

One thought on “Sumbangan dana RM2 bilion Great Eastern kepada Skim mySalam itu derma atau skandal?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *