oleh Amanda Shweeta Louis

(diterjemahkan oleh Muhammad Yazid Mohammad Naim)

Konsep Malaysia MADANI yang membayangkan masyarakat berakar umbi dalam kemampanan, kemakmuran, inovasi, rasa hormat, amanah dan belas kasihan, telah diutarakan oleh kerajaan sebagai rangka kerja panduan untuk kemajuan negara. Pada dasarnya, ia adalah aspirasi yang dikongsi oleh ramai rakyat Malaysia.

Walau bagaimanapun, semasa menyambut Hari Wanita Antarabangsa 2026, menjadi tanggungjawab kita untuk memeriksa sama ada visi ini diterjemahkan kepada realiti nyata untuk semua wanita dan gadis di seluruh negara. Kita mesti bertanya soalan yang sering dielakkan oleh dokumen dasar dan ucapan rasmi:

MADANI untuk siapa?

Tahun ini, kita dilengkapi bukan sahaja dengan pengalaman hidup wanita di lapangan, tetapi dengan data rasmi yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM). Indeks Jurang Jantina Malaysia (MGGI) bagi tahun 2024 merekodkan skor kebangsaan 0.708. Sebagai konteks, skor 1.0 mewakili pariti penuh antara lelaki dan wanita. Pada skor 0.708, Malaysia telah menutup kira-kira 71% daripada jurang jantinanya.

Kerajaan mungkin akan meraikan hal ini sebagai kemajuan. Mereka akan tunjuk kepada fakta wanita memegang 39.4% jawatan tertinggi sektor awam dan melabel perkara itu sebagai kejayaan. Tetapi kita mesti memahami lebih dalam kerana purata kebangsaan 0.708 memberitahu kita bahawa hampir 30% daripada jurang jantina kekal dan bagi wanita kelas pekerja, wanita migran dan gadis muda di kawasan luar bandar, jurang itu jauh lebih luas.

Di manakah rasa “hormat” ketika patriarki masih membunuh kita?

MGGI kerajaan mengukur penyertaan ekonomi, pendidikan, kesihatan, dan pemerkasaan politik. Ia berfungsi sebagai selimut keselesaan birokrasi semata-mata. Mari kita bincangkan tentang perkara yang diabaikan oleh risalah MADANI.

  1. Pada 11 Februari 2026, seorang lelaki menikam isterinya hingga mati sebelum membunuh dirinya sendiri di Kepong. Seorang lagi wanita menambah jumlah pembunuhan wanita yang senyap di negara ini. Satu lagi peringatan bahawa bagi wanita, tempat paling berbahaya di Malaysia selalunya adalah rumah mereka sendiri.
  2. Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution, baru-baru ini mendedahkan di Parlimen bahawa antara tahun 2015 dan 2025, purata lima kes rogol dilaporkan setiap hari. Lima orang wanita dan gadis setiap hari, selama sepuluh tahun, tampil ke hadapan untuk melaporkan bahawa mereka telah dirogol. Bayangkan – 17,609 orang anak perempuan, kakak, ibu, dan kawan. Dan daripada jumlah ini, hanya 7,090 kes sahaja berakhir dengan pertuduhan, dengan kurang daripada separuh daripada kes rogol yang dilaporkan telah dibawa ke mahkamah.
  3. Dalam tempoh tiga bulan terakhir untuk tahun 2025 sahaja, Jabatan Kebajikan Masyarakat merekodkan 1,575 kes penderaan kanak-kanak secara fizikal, seksual, dan emosi. Kita bercakap tentang kanak-kanak. Anak-anak kita didera di negara yang mendakwa menghargai belas kasihan.
  4. Kenyataan seksis di Dewan Rakyat dianggap sebagai jenaka. Wakil rakyat dan Speaker Dewan membuat ulasan tentang penampilan wanita, tempat wanita dam badan wanita. Reaksi dewan hanyalah ketawa dan ini masih menunjukkan bahawa di tempat yang dihormati, wanita masih tidak dihormati.

Inilah Malaysia yang tidak diukur oleh MGGI.

Kerajaan boleh mempunyai 39.4% wanita dalam jawatan sektor awam teratas dan mereka boleh meraikan kepelbagaian anggota lembaga pengarah. Tetapi jika lima orang wanita dirogol setiap hari, jika jumlah kanak-kanak didera sehingga beribu-ribu, jika seorang lelaki boleh menikam isterinya dan cerita itu dilupakan menjelang petang hari yang sama, maka kerajaan tidak mempunyai MADANI.

Di manakah “belas kasihan” untuk 42,000 orang remaja perempuan?

Antara tahun 2020 dan 2024, hampir 42,000 orang kanak-kanak perempuan berumur 19 tahun ke bawah direkodkan hamil di kemudahan kesihatan kerajaan. Daripada jumlah ini, lebih 16,000 orang belum berkahwin pada masa ia direkodkan.

MGGI memantau pencapaian pendidikan dan meraikan bahawa kanak-kanak perempuan mendaftar di universiti pada kadar yang lebih tinggi daripada lelaki. Tetapi apa gunanya statistik itu apabila seorang remaja perempuan terpaksa meninggalkan sekolah kerana kehamilan yang tidak pernah diajar kepadanya untuk dicegah?

Masyarakat yang benar-benar penyayang tidak akan tunggu sehingga seorang kanak-kanak mengandung untuk mendidiknya. Masyarakat yang penuh belas kasihan menyediakan pendidikan kesihatan reproduktif yang komprehensif, bersesuaian dengan umur dan berasaskan sains kepada semua golongan muda, tanpa mengira jantina. Masyarakat yang penuh belas kasihan memastikan gadis yang hamil disokong, bukan dibuang.

Pada masa ini, keutamaan sistem pendidikan kita, mengikut rangka kerja PEKERTI, mengajar pendidikan abstinens moralistik berbanding pendidikan kesihatan seksual dan reproduktif yang komprehensif. Hal ini telah mewujudkan kelompangan pengetahuan. Kelompangan ini mempunyai akibat yang nyata dan akibat tersebut ditanggung hampir keseluruhannya oleh gadis muda daripada kelas pekerja dan latar belakang yang terdedah.

Di manakah “kemakmuran” untuk wanita kelas pekerja dan migran?

MGGI sedar bahawa kini terdapat lebih ramai wanita dalam tenaga kerja dan lebih ramai wanita memegang jawatan pengurusan. Kita tidak nafikan bahawa perwakilan itu penting. Tetapi kemakmuran yang berhenti di pintu bilik mesyuarat lembaga pengarah bukanlah kemakmuran, ia adalah keistimewaan.

Bagaimana pula dengan ibu tunggal mendapat gaji minimum yang hampir tidak mampu menampung sewa dan penjagaan anak di bandar? Pertimbangkan pekerja domestik asing. Dia membersihkan rumah keluarga Malaysia, membesarkan anak-anak kita, memasak makanan Malaysia. Namun dia secara jelas dikecualikan daripada Akta Pekerjaan 1955. Dia tidak mempunyai had berkanun untuk waktu bekerja. Tiada gaji minimum. Tiada akses kepada KWSP. Apa yang lebih keterlaluan adalah apabila Lim Guan Eng secara terbuka mencadangkan wanita migran tidak layak menerima gaji minimum atau caruman KWSP, dia secara tidak sengaja mendedahkan kebenaran kasar tentang sistem ekonomi kita: bahawa sesetengah buruh wanita dianggap pakai buang.

Jadi, benarkah Malaysia “MADANI” untuk wanita?

Tidak, belum lagi. Tidak apabila statistik kerajaan sendiri mendedahkan bahawa negara yang masih dibahagikan mengikut jantina dan kelas. Tidak apabila kita meraikan purata kebangsaan MGGI 0.708 sambil mengabaikan wanita yang jatuh selepas ditimpa malang. Kepada kerajaan: Wawasan MADANI anda akan kekal kosong sehingga ia diuji oleh mereka yang paling terpinggir.

Kami, Pemuda Sosialis, menuntut Malaysia yang lebih baik, negara yang dibina di atas kesaksamaan yang tulen, hak yang menyeluruh, dan pembebasan untuk semua wanita, bukan hanya segelintir manusia yang mempunyai keistimewaan yang kemajuannya meningkatkan purata negara. Kami akan terus memerhati, mengatur dan menjadi hati nurani yang anda tidak boleh diamkan sehingga Malaysia benar-benar MADANI untuk setiap gadis dan wanita.

Selamat Hari Wanita Antarabangsa! Perjuangan tetap diteruskan.

==========

Amanda Shweeta Louis ialah Pengerusi Pemuda Sosialis PSM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *