oleh Rani Rasiah

Parti Sosialis Malaysia (PSM) menyokong rancangan Kementerian Sumber Manusia untuk menghapuskan orang tengah dalam proses pengambilan pekerja migran dengan cara pengambilan pekerja secara langsung.

Perolehan tenaga buruh rentas sempadan secara G2G (Kerajaan-ke-Kerajaan) yang menghapuskan peranan orang tengah, dan sebuah dasar yang komprehensif mengenai migrasi buruh – idea-idea ini merupakan sebahagian daripada Rancangan Malaysia ke-11 (2016-2020) – tidak pernah dilaksanakan lagi sebelum ini. Memandangkan kebergantungan negara kita terhadap pekerja-pekerja migran, dan reputasi negara kita sebagai sebuah negara penerima pekerja migran telah merosot ke tahap terendah, sekarang adalah masanya untuk memperkenalkan pembaharuan.

Namun, siapakah orang tengah yang dimaksudkan oleh Menteri Sumber Manusia untuk disingkirkan daripada proses pengambilan pekerja migran? Jika inisiatif ini hendak membawa perubahan sebenar, orang tengah itu merangkumi bukan sahaja ejen-ejen kecil tetapi mereka yang mempunyai hubungan politik kuat yang merupakan punca kepada kerosakan sistem migrasi buruh di negara kita.

Setelah sekian lama mengaut keuntungan daripada kedudukan lemah golongan termiskin, menyingkirkan orang tengah yang benar-benar berpengaruh itu bukannya perkara yang mudah. Kementerian Sumber Manusia perlukan kesungguhan politik yang teguh dan sokongan Kabinet serta Perdana Menteri untuk menjayakan usaha ini.

Walau bagaimanapun, adalah penting juga untuk menyedari bahawa ketiadaan orang tengah dalam pengambilan pekerja itu sendiri tidak menjamin kebebasan daripada eksploitasi bagi pekerja-pekerja migran. Terdapat majikan sendiri mengambil bahagian dalam sindiket yang menipu pekerja, seperti yang jelas berlaku dalam skandal penipuan kuota pada tahun 2023/2024. Walaupun dimaklumkan sepenuhnya, agensi-agensi Kementerian Sumber Manusia nampaknya tidak berdaya untuk mencampur tangan bagi pihak pekerja-pekerja yang dimangsakan. Oleh itu, dalam sistem yang sedang dibangunkan oleh Kementerian Sumber Manusia, perlunya peruntukan untuk membimbing pekerja dan menyediakan saluran yang berkesan untuk mengadu supaya dapat melindungi hak-hak mereka.

Migrasi buruh di Malaysia telah lama dibelenggu dengan rasuah, eksploitasi dan penyelewengan. Banyak perkara perlu dilakukan untuk membersihkannya, bermula dengan langkah-langkah untuk mengembalikannya kepada tujuan asalnya, iaitu menangani masalah kekurangan tenaga kerja tempatan, sebagai pelengkap dan bukannya pesaing bagi tenaga kerja tempatan. Satu langkah penting ialah memasukkan pekerja-pekerja tidak berdokumen dan pelarian-pelarian – mereka yang bekerja dan menyumbang kepada ekonomi – dalam pengiraan jumlah tenaga kerja migran yang aktif di negara kita. Pembekalan berlebihan pekerja migran tidak harus dijadikan sebagai alat untuk melemahkan kuasa tawar-menawar semua pekerja.

Pengambilan pekerja migran secara langsung sememangnya satu langkah menuju ke arah yang betul, tetapi ia perlu diiringi dengan dasar menyeluruh mengenai migrasi buruh, peruntukan yang mencukupi untuk penguatkuasaan, dan sebuah mekanisme hak untuk pembelaan yang berkesan bagi semua pekerja.

==========

Rani Rasiah ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap Penyelaras Meja Migran PSM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *