oleh Rani Rasiah

Permintaan kerajaan Bangladesh kepada kerajaan Malaysia untuk menangkap dan mengekstradisi dua ornag individu yang didakwa terlibat dalam pengubahan wang haram, peras ugut dan pemerdagangan pekerja-pekerja migran, serta berhenti menggunakan perisian daripada syarikat Bestinet Sdn Bhd, merupakan sinaran harapan yang dialu-alukan. Kita berharap bahawa penjenayah-penjenayah di sebalik penipuan kuota pengambilan pekerja migran yang mengakibatkan penderitaan hebat kepada ratusan ribu orang pekerja Bangladesh akan akhirnya dibawa untuk menghadap pengadilan. Kita juga berharap bahawa tindakan dan jenayah pelanggaran hak asasi manusia yang begitu teruk ini tidak akan terlepas pandang.

Salah seorang daripada dua orang individu itu ialah Aminul Islam, yang lahir di Bangladesh dan sekarang ini sudah menjadi warganegara Malaysia, dan juga pengasas kepada Bestinet Sdn Bhd, sebuah syarikat teknologi maklumat (IT) yang memegang kontrak dengan pulangan lumayan untuk pengambilan dan pengurusan pekerja-pekerja migran. Bestinet telah mewujudkan perisian FWCMS (Foreign Workers Centralised Management System), sebuah sistem pengambilan tenaga kerja migran dalam talian yang digubakan oleh Jabatan Imigresen untuk mengambil pekerja-pekerja migran. Rakan kongsi Aminul Islam, Ruhul Amin dari Bangladesh ialah seorang individu lagi yang terlibat.

Kejadian rasuah, peras ugut dan pemerdagangan manusia yang berkaitan dengan migrasi buruh bukannya sesuatu yang baharu di Malaysia. Apa yang menjadikan skandal penipuan kuota tahun 2022-2024 ini menonjol adalah skalanya dan ketebalan muka si pelaku. Lebih 400,000 orang warga Bangladesh telah diperdagangkan ke Malaysia atas janji pekerjaan yang tidak wujud berasaskan kuota palsu untuk pekerja-pekerja bagi syarikat-syarikat yang direka-rekakan. Dalang di sebaliknya ialah sindiket yang terdiri daripada ahli-ahli politik, ahli-ahli perniagaan dan pegawai-pegawai kerajaan di peringkat atasan di kedua-dua negara yang menyalahgunakan sistem pengambilan pekerja migran di Malaysia. Satu topeng kerasmian dan kesahan – dalam bentuk kuota yang diluluskan secara rasmi untuk pekerja-pekerja, penawaran dan kontrak pekerjaan individu – telah digunakan untuk memperoleh jumlah yang sangat besar para purata RM20,000 sebagai yuran pengambilan dan pengupahan warga Bangladesh yang tidak sedar tentang penipuan ini.

Penderitaan yang menyusul bagi pekerja-pekerja yang tiada kerja dan terdesak dalam jumlah yang besar ini di Malaysia, adalah mereka hidup dalam keadaan yang amat terus di tempat-tempat berlainan di negara ini, yang boleh dianggap sebagai satu krisis kemanusiaan. Lebih setahun selepas sampai di sini, sesetengah pekerja cukup bernasib baik untuk ditempatkan dalam pekerjaan formal. Namun, ramai telah melarikan diri daripada majikan-majikan yang mengkontrakkan mereka, untuk mencari pekerjaan dan pendapatan supaya dikirim balik ke kampung halaman kepada keluarga-keluarga mereka yang sedang bergelut demi kehidupan dan peminjam-peminjam wang yang sentiasa mendesak mereka. Dengan berbuat demikian, mereka kehilangan dokuman sah di sisi undang-undang bagi mereka, dan meletakkan mereka di bawah budi bicara majikan-majikan yang eksploitatif dan menghadapi risiko ditangkap oleh pegawai-pegawai penguatkuasa.

Walaupun keadaan yang begitu dahsyat, nampaknya tiada orang yang dipertanggungjawabkan. Mereka yang bertanggungjawab ke atas kesengsaraan dan eksploitasi begitu banyak orang, dan mereka yang menipu dua buah kerajaan, masih bebas berkeliaran dengan pakaian sut mereka, dan tidak menunjukkan sedikit rasa malu pun.

Yang ironiknya, dengan keadaan semakin teruk untuk pekerja-pekerja, dan langkah-langkah pembetulan masih jauh sukar dicapai, Malaysia telah mendapat peningkatan yang menakjubkan ke Tahap 2 dalam Laporan Pemerdagangan Orang (TIP) 2024 yang dikeluarkan oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat. Organisasi-organisasi masyarakat sivil berasa hairan kenapa dalam tempoh yang begitu gelap untuk sejarah migrasi buruh di negara kita boleh membawa Malaysia kepada kenaikan pangkat sebegini. Namun, orang bersikap sinis yang selalu mempersoalkan kelayakan badan penarafan itu kurang terganggu. Malah lebih banyak lagi akan datang. Pada bulan yang sama, pada bulan Jun 2024, kerajaan Malaysia melanjutkan kontrak dengan Bestinet selama tiga tahun lagi! Ini boleh terjadi, walaupun skandal penipuan kuota yang begitu besar sehingga memalukan Malaysia di peringkat antarabangsa berlaku di bawah pengawasan mereka, dan walaupun terdapat penyelewengan serius dalam operasi mereka, seperti yang didedahkan sebulan kemudian oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara.

Seruan oleh masyarakat sivil kepada Kementerian Sumber Manusia supaya memainkan peranan utama dalam membolehkan pembelaan bagi mangsa-mangsa, dengan menyelaraskan satu saluran yang selamat dan berkesan melalui rangkaian seluruh negara mereka, masih belum diterima pakai. Sebaliknya, Kementerian mahu pekerja-pekerja yang terkesan untuk menggunakan tatacara pengendalian piawai (SOP) yang sedia ada dalam memfailkan kes secara individu di pejabat tenaga kerja yang paling dekat. Pendekatan ini tidak realistik dan tidak boleh dilaksanakan sama sekali. Bagaimana seorang pekerja migran yang mempunyai begitu banyak kekangan – tanpa pasport dan wang, di samping bergantung pada majikan untuk tempat tinggal dan makanan – boleh dijangka akan memfailkan aduan terhadap majikannya?

Walaupun cadangan ini tidak praktikal, ia diambil oleh organisasi-organisasi masyarakat sivil, termasuk Parti Sosialis Malaysia (PSM), yang membantu pekerja-pekerja untuk memfailkan tuntutan berkenaan gaji, pekerjaan dan pemulangan yuran pengambilan (kerana yuran pengambilan sepatutnya ditanggung oleh majikan) di pejabat tenaga kerja. Cubaan ini penuh dengan cabaran, kekecewaan dan sakit hati. Sebaik sahaja aduan difailkan dan aduan polis dibuat untuk mendapat balik pasport mereka, pihak majikan bertindak balas. Majikan menghasut satu pergaduhan antara pekerja-pekerja, dan kemudiannya memanggil polis yang dengan pantasnya menangkap dan menahan reman beberapa orang pekerja yang tampil ke hadapan untuk membuat aduan pada awalnya. Pekerja-pekerja ini kemudiannya diusir keluar dari asrama pekerja. Selepas kes buruh itu bermula, kira-kira 60 orang pengadu itu dibawa dengan bas oleh majikan ke mahkamah buruh untuk menarik balik tuntutan mereka. Ini menyebabkan hanya 5 orang pekerja yang meneruskan kes buruh mereka, iaitu 5 orang pekerja yang telah diusir dan tiada lagi hubungan kebergantungan dengan majikan. 5 daripada lebih 400 orang mangsa yang meneruskan kes adalah satu penghinaan kepada hak untuk pembelaan!

Selain itu, PSM yang membantu pekerja-pekerja itu turut dikenakan saman fitnah oleh pihak majikan. Adalah jelas bahawa hanya Kementerian Sumber Manusia mempunyai kuasa dan sumber untuk membolehkan 400 orang pekerja dan sememangnya semua pekerja lain yang telah ditipu dalam skandal penipuan pengambilan pekerja migran ini untuk meneruskan tuntutan mereka tanpa ketakutan pada campur tangan majikan.

Memandangkan ketidakadilan yang berterusan terhadap pekerja-pekerja ini, dan pelaku-pelakunya masih bebas daripada sebarang tindakan undang-undang, keputusan kerajaan Bangladesh untuk menangani punca skandal ini memang merupakan satu perkembangan yang positif. Menangkap dan mengektradisi pengasas Bestinet itu mungkin tidak mudah, kerana dia dikatakan mempunyai hubungan yang kuat dengan golongan elit politik dan kerabat diraja. Namun, adalah penting bagi sesiapa yang mengambil berat tentang tadbir urus yang baik di negara ini untuk bekerjasama. Ini merupakan satu peluang untuk mempertanggungjawabkan orang di sebalik penipuan yang berdasarkan pada amalan mengaut keuntungan daripada golongan termiskin dengan menyeleweng sistem yang sedia ada dan melakukan jenayah pecah amanah.

==========

Rani Rasiah ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *