Dunia terus dibelenggu pelbagai krisis sepanjang tahun 2025, dari kemelut ekonomi global dan krisis iklim, hinggalah genosid terhadap rakyat Palestin, konflik peperangan yang tidak kehabis-habisan (seperti perang di Ukraine, konflik di sempadan Kemboja-Thailand dan konflik India-Pakistan) dan ancaman perang di merata tempat. Krisis mendalam di dunia kita timbul kerana percanggahan serius yang wujud dalam sistem kapitalis global. Persaingan antara kuasa-kuasa besar dunia menimbulkan pergolakan geopolitik yang semakin mengancam keamanan sedunia. Golongan pelampau kanan di merata tempat juga mempergunakan krisis yang melanda masyarakat dunia untuk mengapi-apikan sentimen kebencian, rasisme, xenofobia, homofobia, misogini dan sebagainya demi memajukan agenda politik yang melindungi kepentingan segelintir kecil elit pemerintah.

Walau bagaimanapun, rakyat di merata tempat di seluruh dunia meneruskan perjuangan demi mencari jalan keluar daripada krisis yang mendalam ini. Kita dapat menyaksikan kebangkitan generasi muda, “Gen Z”, di beberapa buah negara untuk mencabar kekuasaan yang sedia ada dan memperjuangkan perubahan masyarakat yang bermakna. Ini merupakan lanjutan perjuangan rakyat di seluruh dunia demi pembebasan, demokrasi dan keadilan sosial. Selagi kapitalisme masih mengganas di dunia, perjuangan rakyat tidak akan berhenti…

Marilah kita imbas kembali sebahagian daripada peristiwa pergolakan politik dan perjuangan rakyat yang penting di peringkat antarabangsa sepanjang tahun 2025:

Palestin dan Timur Tengah: Kezaliman rejim Zionis Israel berterusan

Rejim Zionis Israel meneruskan jenayah genosid terhadap rakyat Palestin di Gaza. Selepas persetujuan gencatan senjata yang dicapai pada bulan Januari 2025 terbatal pada bulan Mac 2025 apabila tentera Israel melancarkan semula serangan ke atas Gaza, satu lagi persetujuan gencatan senjata dicapai pada bulan Oktober 2025 apabila Hamas dan Israel bersetuju dengan pelaksanaan fasa pertama “rancangan pendamaian Gaza” yang dibawa oleh kerajaan Amerika Syarikat (AS). Namun, “rancangan pendamaian” terbaru itu hanya mengekalkan ketidakadilan dan penindasan di bawah rejim Zionis Israel. Rejim Zionis Israel yang mendapat sokongan penuh daripada kuasa imperialis AS juga mengganas di rantau Timur Tengah, dengan melancarkan serangan ketenteraan terhadap Iran pada bulan Jun 2025 dan menduduki bahagian barat daya Syria. Genosid terhadap rakyat Palestin terus mendapat tentangan hebat daripada gerakan protes rakyat di seluruh dunia, antaranya aksi pelayaran Flotila Sumud Global yang cuba memecahkan sekatan terhadap Gaza dan mogok pekerja secara besar-besaran di Itali.

Indonesia: Anak muda bangkit lawan kezaliman dan kepincangan rejim Prabowo

Gelombang protes besar-besaran yang diterajui oleh golongan anak muda tercetus di Indonesia untuk mencabar kekuasaan pemerintahan Presiden Prabowo Subianto yang memburukkan ketidakadilan sosial dan menghakis ruang demokrasi. Pelanggaran mati seorang anak muda yang bernama Affan Kurniawan oleh kenderaan polis pada 28 Ogos 2025 meningkatkan lagi kemarahan rakyat. Ramai orang demonstran ditangkap, ditahan dan didakwa.  

Nepal: Protes Gen Z paksa PM letak jawatan

Golongan anak muda “Gen Z” di Nepal berprotes untuk membantah kerajaan yang gagal menangani masalah korupsi dan sebaliknya mengenakan larangan terhadap media sosial. Selepas kira-kira 76 orang mati terkorban dalam protes, K. P. Sharma Oli meletak jawatannya sebagai Perdana Menteri Nepal. Dewan Perwakilan dibubarkan dan pilihan raya umum dijadualkan untuk diadakan pada bulan Mac 2026.

Venezuela dan Amerika Latin: Ancaman imperialis AS berterusan

Republik Bolivar Venezuela menghadapi ancaman serangan ketenteraan daripada kuasa imperialis AS apabila kerajaan AS mengerahkan jentera ketenteraannya ke Laut Caribbean atas alasan membanteras kegiatan penyeludupan dadah tetap niat sebenarnya jelas adalah hendak menjatuhkan kerajaan Venezuela pimpinan Nicolás Maduro. Gerakan politik berhaluan kiri di Amerika Latin juga mengalami tamparan teruk, dengan parti berhaluan kiri kehilangan kuasa di Bolivia di mana Movimiento al Socialismo (MAS) yang menang dalam semua pilihan raya sejak tahun 2005 kalah teruk dalam pilihan raya umum, sementara calon daripada parti pemerintah berhaluan kiri tewas dalam pilihan raya umum selepas kerajaan AS mengancam untuk menggantungkan bantuan kewangan kepada Honduras jika calon berhaluan kanan yang disokongnya tidak menang.

AS: Protes menentang dasar Trump dan kemenangan Mamdani di New York

Gelombang protes tercetus di AS untuk menentang dasar pemerintahan Donald Trump yang semakin menghakis ruang demokrasi di negara itu. Rakyat AS juga berprotes untuk membantah tindakan pihak berkuasa imigresen yang menangkap dan mengusir golongan migran secara besar-besaran. Ketidakpuasan hati rakyat AS menjelma ke dalam kemenangan Zohran Mamdani yang berjaya menewaskan calon-calon pilihan golongan berkuasa semasa pilihan raya Datuk Bandar New York.

Madagaskar: Protes anak muda jatuhkan kerajaan

Kemarahan rakyat terhadap masalah gangguan bekalan elektrik dan air yang menyusahkan hidup mereka telah mencetuskan gelombang protes besar-besaran yang diterajui oleh golongan anak muda pada 25 September 2025. Presiden Andry Rajoelina pada awalnya cuba meredakan keadaan dengan membubarkan kerajaan, tetapi dengan aksi protes memuncak, Angkatan Tentera Madagaskar melancarkan rampasan kuasa pada 13 Oktober 2025 untuk menjatuhkan pemerintahan Andry Rajoelina.

Timor-Leste: Anak muda bangkit lawan korupsi dan ketidaksaksamaan

Gelombang protes yang diterajui oleh golongan anak muda selama tiga hari pada bulan September 2025 berjaya memaksa Parlimen Kebangsaan Timor-Leste untuk membatalkan rancangan pembelian kereta mewah baharu bagi semua ahli parlimen.

Maghribi: Gen Z berprotes untuk kesihatan, pendidikan dan kehidupan bermaruah

Golongan anak muda “Gen Z” di Maghribi berprotes untuk menuntut penambahbaikan terhadap pendidikan dan kesihatan awam, sementara mempertikaikan pembaziran wang kerajaan dalam projek-projek mega. Merespon kepada gelombang protes ini, kerajaan Maghribi memperkenalkan beberapa pembaharuan untuk menggalakkan penyertaan politik orang awam dan meningkatkan perkhidmatan sosial.

India: 250 juta pekerja dan petani mogok bantah dasar anti-pekerja

Lebih 250 juta orang pekerja dan petani daripada pelbagai sektor menyertai aksi mogok sehari yang diadakan di seluruh negara India pada 9 Julai 2025, dengan jutaan orang berprotes di jalanan, untuk membantah dasar-dasar anti-pekerja yang diamalkan oleh kerajaan pimpinan Narendra Modi.

Filipina: Rakyat berprotes bantah korupsi

Skandal korupsi dan penyelewengan yang melibatkan projek-projek pengurusan banjir yang dibiayai oleh kerajaan di bawah pentadbiran Presiden Bongbong Marcos, mencetuskan gelombang protes di Filipina pada bulan September 2025 dan berterusan hingga bulan Disember 2025.

Maldives: Rakyat berprotes untuk pertahankan kebebasan akhbar dan lawan korupsi

Penggubalan rang undang-undang yang mengawal media mencetuskan protes pada bulan September 2025. Mereka yang berprotes juga menyuarakan bantahan mereka terhadap korupsi dan kegagalan kerajaan pimpinan Presiden Mohamed Muizzu dalam menangani masalah ekonomi.

Mongolia: Protes anti-korupsi paksa PM letak jawatan

Hantaran media sosial yang mendedahkan kehidupan mewah dan perbelanjaan boros anak Perdana Menteri Luvsannamsrain Oyun-Erdene, mencetuskan gelombang protes yang diterajui oleh golongan anak muda di Mongolia, untuk menyuarakan ketidakpuasan hati rakyat terhadap masalah korupsi, inflasi, ketidaksamarataan ekonomi dan kegagalan pentadbiran. Oyun-Erdene meletak jawatannya sebagai Perdana Menteri pada 3 Jun 2025 selepas tidak dapat melepasi undian tidak percaya di Parlimen Mongolia.

Peru: Rakyat marah dengan korupsi dan jenayah

Gelombang protes tercetus di Peru pada bulan September 2025 kerana kemarahan rakyat terhadap masalah korupsi dan jenayah yang berterusan. Presiden Dina Boluarte yang semakin tidak popular dilucutkan jawatannya oleh Kongres Peru dalam usaha golongan elit pemerintah untuk menyusun semula kekuasaan mereka supaya terus memerintah.

Paraguay: Gen Z tuntut perubahan

Mendapat inspirasi daripada protes di Peru, golongan anak muda Gen Z di Paraguay mengadakan aksi protes mulai bulan September 2025 untuk menentang kerajaan pimpinan Presiden Santiago Peña.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *