(foto: ANI)

Gelombang protes besar-besaran yang diterajui oleh golongan anak muda tercetus di Nepal pada 8 September 2025, untuk membantah kerajaan yang gagal menangani masalah korupsi dan sebaliknya mengenakan larangan terhadap media sosial. Pihak berkuasa Nepal telah bertindak ganas untuk mematahkan protes jalanan dan membunuh 19 orang demonstran dalam sehari, tetapi tindakan itu hanya menyemarakkan lagi api kemarahan rakyat. Sehari selepas peristiwa pertumpahan darah di jalanan, di bawah desakan yang hebat daripada golongan demonstran, K. P. Sharma Oli meletak jawatannya sebagai Perdana Menteri Nepal pada 9 September 2025.

Gelombang kebangkitan rakyat terbaru di Nepal yang dikenali sebagai “protes Gen Z” ini hanya merupakan manifestasi krisis politik dan sosioekonomi di Nepal yang gagal ditangani oleh kerajaan campuran semasa. Pencetus untuk gelombang protes terbaru ini ialah tindakan kerajaan Nepal yang mengarahkan untuk menutup akses kepada 26 platform media sosial pada 4 September 2025. Platform media sosial yang terkesan termasuk Facebook, X, YouTube, LinkedIn, Reddit, Signal dan Snapchat. Larangan media sosial itu dibuat pada ketika wujudnya trend dalam media sosial di Nepal yang mengkritik amalan korupsi dan nepotisme golongan elit politik, termasuk keistimewaan yang dinikmati oleh keluarga pemimpin politik yang berpengaruh di negara itu. Ramai orang marah kerana kerajaan bukan sahaja mengamalkan nepotisme, malah cuba mematahkan kritikan terhadap korupsi dan nepotisme dengan menyekat saluran bersuara.

Puluhan ribu orang, terutamanya anak muda yang merupakan golongan “Generasi Z” (iaitu mereka yang lahir pada penghujung tahun 1990-an dan awal 2000-an), turun berprotes di jalanan Kathmandu, ibu negara Nepal, pada 8 September 2025 untuk membantah tindakan kerajaan yang menyekat akses media sosial. Namun, kemarahan rakyat yang berprotes di jalanan adalah jauh lebih daripada ketidakpuasan hati terhadap penutupan media sosial, tetapi juga protes terhadap korupsi dan nepotisme dalam kerajaan yang memerintah, serta kegagalan kerajaan dalam membangunkan ekonomi masyarakat yang menjamin kesejahteraan rakyat. Terdapat demonstran yang membawa plakad yang tertulis slogan seperti “larang rasuah, bukan media sosial” dan “anak muda melawan korupsi”. Sesetengah demonstran muda mendapat ilham daripada aksi protes anak muda di Indonesia baru-baru ini.

Apabila golongan demonstran cuba memasuki bangunan Parlimen Nepal pada 8 September 2025, pasukan keselamatan bertindak ganas dengan melepaskan tembakan gas pemedih mata, meriam air, peluru getah dan malah peluru hidup. Dilaporkan sekurang-kurangnya 19 orang terbunuh dan lebih 300 orang cedera.

Dengan gelombang protes semakin besar, kerajaan Nepal membatalkan larangan terhadap platform media sosial yang berkuat kuasa beberapa hari sebelum itu. Selepas belasan demonstran terbunuh, Ramesh Lekhak, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Nepal, meletak jawatannya sebagai tindakan mengambil tanggungjawab moral terhadap keganasan yang berlaku. Namun, tindakan kerajaan tersebut sudah terlambat untuk meredakan keadaan.

Protes besar-besaran berterusan pada 9 September 2025, dengan rumah kediaman Presiden Ram Chandra Poudel dan Perdana Menteri K. P. Sharma Oli diserbu demonstran. Rumah kediaman beberapa orang pemimpin politik yang berpengaruh juga dijadikan sasaran demonstran. Golongan demonstran mendesak peletakan jawatan K. P. Sharma Oli sebagai Perdana Menteri, sementara beberapa orang lagi menteri dalam kerajaannya telah meletak jawatan dan menjauhkan diri mereka daripada kerajaan.

Kerajaan Nepal mengenakan perintah kurung di beberapa buah bandar termasuk Kathmandu, Birgunj, Bhairahawa, Butwal, Pokhara, Itahari dan Damak. Pihak polis cuba menghalang demonstrasi, tetapi tidak lagi menggunakan keganasan yang seteruk sehari sebelum itu.

Dengan semakin ramai menteri dalam kabinetnya meletak jawatan, Sharma Oli juga meletak jawatannya sebagai Perdana Menteri pada 9 September 2025. Politik Nepal berada di satu lagi persimpangan sejarah baharu yang tidak menentu arahnya.

Kerajaan campuran terbaru yang dipimpin oleh K. P. Sharma Oli dibentuk pada 14 Julai 2024 selepas Perdana Menteri sebelumnya, Pushpa Kamal Dahal (yang juga lebih dikenali sebagai Prachanda) gagal melepasi undian kepercayaan di Parlimen. Kerajaan pimpinan Sharma Oli merupakan sebuah gabungan yang terdiri daripada Parti Komunis Nepal (Marxis-Leninis Bersatu) [CPN(UML)], Kongres Nepal (NC), Parti Sosialis Rakyat (PSP), Parti Loktantrik Samajwadi (LSP) dan Parti Kebebasan Rakyat (NUP). Sharma Oli juga pernah menjadi Perdana Menteri pada tahun 2015-2016 dan 2018-2021.

Dalam pilihan raya umum Nepal pada tahun 2022, CPN(UML) yang dipimpin oleh Sharma Oli hanya memenangi 78 daripada 275 kerusi Dewan Perwakilan, dan menjadi parti kedua besar dalam parlimen walaupun memperoleh undian senarai parti yang terbanyak (26.95%). NC yang memenangi 89 kerusi menjadi parti terbesar dalam parlimen, sementara Parti Komunis Nepal (Pusat Maois) [CPN(MC)] yang dipimpin oleh Prachanda menjadi parti ketiga besar dengan 32 kerusi. Walaupun hanya menduduki tangga ketiga dari segi jumlah kerusi dalam Dewan Perwakilan, Prachanda mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Nepal pada 26 Disember 2022 dengan sokongan daripada CPN(UML), PSP, NUP, Parti Rastriya Swatantra (RSP), Parti Rastriya Prajatantra (RPP) dan Parti Janamat.

CPN(UML) pernah menarik diri daripada kerajaan campuran pada bulan Mac 2023 selepas Prachanda menyokong calon NC sebagai Presiden Nepal, tetapi bekerjasama semula dengan Prachanda pada bulan Mac 2024. Oleh sebab terdapat banyak perbezaan pendapat dengan Prachanda dalam persoalan belanjawan, CPN(UML) menarik diri sekali lagi daripada kerajaan campuran pimpinan Prachanda dan bergabung dengan NC untuk menjatuhkan kerajaan Prachanda pada bulan Julai 2024. Dalam erti kata mudah, politik Nepal dipenuhi dengan sandiwara pertelingkahan antara pemimpin-pemimpin politik yang sering bertukar pihak dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

CPN(MC) dan CPN(UML) merupakan dua buah parti berhaluan kiri yang pernah memainkan peranan penting dalam perjuangan peralihan demokratik daripada sistem pemerintahan monarki kepada republik di Nepal. Parti Komunis Nepal (Maois), yang kemudiannya dikenali sebagai CPN(MC), pernah melancarkan Perang Rakyat selama 10 tahun (1996-2006) untuk menentang pemerintahan monarki Dinasti Gorkha. CPN(UML) pula menerajui gerakan demokrasi yang membawa kepada Revolusi Nepal 2006 yang menewaskan rampasan kuasa Raja Gyanendra Shah pada masa itu dan memulihkan demokrasi berparlimen. Kejayaan Revolusi Nepal 2006 membolehkan pencapaian perjanjian damai dengan tentera pemberontak Parti Komunis Nepal (Maois) dan peralihan sistem politik kepada republik. Parti Komunis Nepal (Maois) yang dipimpin oleh Prachanda muncul sebagai parti terbesar dalam Perhimpunan Perlembagaan Nepal selepas pilihan raya pada tahun 2008, dan Perhimpunan Perlembagaan Nepal meluluskan usul untuk memansuhkan pemerintahan monarki di Nepal dengan undi sokong yang amat besar.

Mana-mana parti berhaluan kiri yang mengambil alih kuasa pentadbiran di negara dikelilingi daratan di rantau Asia Selatan itu sudah pasti menghadapi cabaran hebat untuk membangunkan ekonomi negara itu dengan tujuan mengagihkan kekayaan masyarakat secara saksama dan menjamin kehidupan rakyat yang bermaruah. Namun, selepas mengambil alih kuasa berikutan pemansuhan monarki dan pembentukan republik, parti-parti komunis daripada pelbagai aliran di Nepal terjebak dalam perbalahan sesama sendiri yang berterusan. Perbalahan itu bukan sekadar berkisar pada persoalan ideologi bagaimana membawa masyarakat Nepal maju ke hadapan, tetapi juga berkaitan dengan pertembungan peribadi pemimpin yang mempunyai kepentingan mereka sendiri. Ini telah mewujudkan ketidakstabilan politik yang berterusan sehingga menjejaskan sebarang usaha untuk membangunkan dasar sosioekonomi yang koheren. Kadar pengangguran dalam kalangan anak muda masih sangat tinggi dengan ramai pekerja Nepal terpaksa merantau ke luar negara untuk mencari nafkah.

Tambahan pula dengan masalah korupsi yang wujud apabila pemimpin-pemimpin yang berkuasa itu tidak disemak secara berkesan, rakyat sudah pasti kehilangan keyakinan terhadap sistem politik yang sedia ada. Ketidakpuasan hati rakyat Nepal yang disebabkan oleh kegagalan kerajaan dalam mewujudkan kestabilan politik dan menangani masalah sosioekonomi secara berkesan, telah dipergunakan oleh golongan monarkis yang berhaluan kanan untuk memajukan agenda politik mereka, iaitu memulihkan sistem pemerintahan monarki. Berlakunya siri demonstrasi yang dianjurkan oleh golongan monarkis pada tahun 2025, dengan seruan mengembalikan sistem pemerintahan monarki dan memulihkan status negara Hindu. Apabila apa yang sepatutnya menjadi alternatif selepas menjatuhkan pemerintahan monarki pada tahun 2008 gagal membawa perubahan yang menjamin kesejahteraan masyarakat, kini adanya pihak berkepentingan yang cuba menawarkan alternatif “baharu” yang kembali kepada susunan lama.

Dengan keadaan politik yang tidak menentu selepas kejatuhan kerajaan pimpinan K. P. Sharma Oli, negara Nepal sedang berhadapan dengan kemelut pertarungan kuasa antara puak-puak yang berbeza kepentingan kelas. Sekali lagi, rakyat Nepal perlu berjuang bersungguh-sungguh untuk menentukan nasib mereka…

One thought on “Nepal: PM letak jawatan kerana protes rakyat hebat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *