(foto: Gina Ferazzi / Los Angeles Times)

Gelombang protes tercetus di Amerika Syarikat (AS) sejak beberapa bulan kebelakangan ini untuk menentang tindakan kerajaan AS yang menangkap dan mengusir imigran tidak berdokumen, dengan Los Angeles, bandar terbesar di negeri California, menjadi tumpuan terkini.   

Sejak 6 Jun 2025, protes besar-besaran tercetus di bandar Los Angeles untuk menyuarakan bantahan terhadap serbuan dan tangkapan besar-besaran yang dilakukan oleh agensi Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam AS (ICE). Ejen-ejen daripada agensi persekutuan itu yang berkelengkapan ketenteraan telah menyerbu beberapa buah tempat kerja dan menangkap puluhan orang yang dituduh sebagai “pendatang haram”. Serbuan yang diperhebatkan oleh pihak berkuasa itu diadakan pada ketika kerajaan AS pimpinan Presiden Donald Trump berusaha untuk memenuhi kuota pengusiran imigran yang ditetapkannya.  

Aksi-aksi protes yang menuntut pemberhentian serbuan ICE itu menghadapi penindasan yang berterusan daripada pihak berkuasa. Berlakunya pertempuran antara golongan demonstran dengan polis Los Angeles dan penguat kuasa ICE. Presiden Donald Trump juga mengerahkan Pengawal Kebangsaan AS untuk mematahkan protes itu. Puluhan orang demonstran ditangkap.

Walau bagaimanapun, aksi-aksi protes masih berterusan. Bantahan orang ramai di Los Angeles terhadap operasi ICE itu mencerminkan ketidakpuasan hati yang semakin meningkat dalam kalangan rakyat AS terhadap dasar imigrasi Trump yang penuh rasis itu. Ramai orang mengkritik tindakan kerajaan yang menggunakan pendekatan keganasan ketenteraan sebagai respon kepada aksi-aksi protes.

David Huerta, Kesatuan Antarabangsa Pekerja-pekerja Perkhidmatan (SEIU) California, merupakan salah seorang aktivis yang ditangkap oleh pihak berkuasa semasa perhimpunan membantah serbuan ICE pada 6 Jun 2025. Huerta dicederakan semasa penangkapan dan ditahan sehingga 9 Jun 2025. Huerta dibebaskan selepas SEIU dan kesatuan-kesatuan sekerja lain mengadakan demonstrasi di bandar-bandar seperti Chicago, Bandar Raya New York, Washington DC dan Seattle, dengan tuntutan membebaskan Huerta dan menamatkan serbuan ICE.

“Apa yang berlaku pada saya bukannya tentang saya; ini adalah tentang sesuatu yang lebih besar,” begitu katanya David Huerta dalam satu kenyataan yang dibuat berikutan penangkapannya. “Ini adalah tentang bagaimana kita sebagai sebuah komuniti berdiri bersama dan menentang ketidakadilan yang berlaku. Rakyat yang bekerja keras, dan anggota keluarga kita dan komuniti kita, telah dilayan seperti penjenayah. Kita semua secara bersama harus membantah kegilaan ini kerana ini bukannya keadilan. Ini adalah ketidakadilan. Dan kita semua harus berdiri di pihak keadilan yang betul.”

(foto: Rebecca Ellis / Los Angeles Times)

Pada 8 Jun 2025, lebih 10,000 orang demonstran berarak di pusat bandar Los Angeles dengan tuntutan untuk membantah pengerahan Pengawal Kebangsaan, mengecam peningkatan penindasan terhadap demonstran dan menggesa supaya serbuan ICE diberhentikan. Protes solidariti juga diadakan di bandar-bandar lain.

Selepas Donald Trump mengangkat sumpah sebagai Presiden AS buat kali kedua pada bulan Januari 2025, dia mula melaksanakan penguatkuasaan imigresen yang lebih ketat dengan ICE mengadakan operasi penangkapan besar-besaran di bandar-bandar utama di AS. Serbuan ICE yang telah dijalankan di bandar-bandar seperti Atlanta, Boston, Denver, Miami, Bandar Raya New York, Newark, Philadelphia, Seattle dan Washington DC. Puluhan ribu orang telah ditangkap, ditahan dan dihantar pulang ke negara asal.

Sejak penghujung bulan Januari 2025, protes membantah serbuan ICE tercetus di banyak tempat, termasuk Albertville, Atlanta, Aurora, Charleston, Dallas, Chicago, Indianapolis, Minneapolis, Los Angeles, Philadelphia, San Diego dan sebagainya. Adanya demonstran yang melaungkan slogan “tiada sesiapa pun yang haram di tanah yang dicuri” (nobody is illegal on stolen land). Aksi protes di Los Angeles pada bulan Jun 2025, merupakan kemuncak baharu penentangan rakyat AS berbilang kaum terhadap dasar rasis kerajaan pimpinan Trump.

(foto: Jason Armond / Los Angeles Times)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *