180 orang pekerja migran di Nilai, Negeri Sembilan, telah diberhentikan kerja mereka hanya kerana mereka menuntut hak pekerjaan yang adil dan persekitaran kerja yang selamat. Pihak majikan, MediCeram Sdn Bhd, malah mengugut untuk menghantar pekerja-pekerja migran dari Bangladesh itu balik ke negara asal mereka.

MediCeram Sdn Bhd ialah sebuah syarikat pengeluar acuan sarung tangan untuk dibekalkan kepada syarikat-syarikat besar seperti Ansell, Top Glove dan YTY. Terdapat banyak dakwaan tentang eksploitasi terhadap pekerja-pekerja migran oleh syarikat MediCeram.

Kira-kira 90 orang pekerja dari Bangladesh yang diupah oleh syarikat MediCeram tidak diberikan visa yang sah selama hampir 2-3 tahun, menyebabkan mereka berada dalam keadaan tidak sah dan sangat tidak selamat. Baru-baru ini, seramai 180 orang pekerja diberhentikan kerja, dan syarikat sedang mengambil langkah untuk menghantar mereka pulang ke Bangladesh secara paksa. Para pekerja telah memohon agar diberikan peluang untuk berpindah ke syarikat lain dan tidak dihantar pulang buat masa ini.

Pekerja-pekerja di kilang MediCeram telah lama menanggung penganiayaan, layanan buruk dan keadaan kerja yang tidak selamat di dalam syarikat tersebut. Beberapa orang pekerja telah dengan sengaja diisytiharkan “tidak layak” semasa pemeriksaan perubatan bagi tujuan memberhentikan mereka daripada pekerjaan. Mereka yang telah dihantar pulang ke Bangladesh secara paksaan tidak menerima bayaran balik penuh bagi yuran pengambilan pekerja yang telah dibayar oleh pekerja sendiri. Pekerja-pekerja sering diugut, ditakut-takutkan dan hidup dalam ketakutan akibat tindakan pihak pengurusan syarikat. Beberapa orang pekerja telah dihantar pulang secara paksaan walaupun mereka masih dalam status pekerjaan rasmi.

Ramai pekerja migran yang diupah oleh MediCeram telah diberhentikan kerja secara tidak adil tanpa alasan yang munasabah atau tanpa melalui proses yang sewajarnya. Seorang pekerja telah mengalami kemalangan di tempat kerja, namun pihak syarikat gagal memberikan rawatan perubatan atau membayar gaji yang sepatut diterimanya. Seorang lagi pekerja telah meninggal dunia akibat serangan jantung, dipercayai berpunca daripada tekanan akibat kelewatan dan ketidaktentuan pembayaran gaji. Syarikat tidak memberikan sebarang bantuan kewangan atau logistik untuk menghantar pulang jenazahnya ke Bangladesh.

Oleh sebab ketiadaan visa yang sah, 4 orang pekerja telah ditangkap oleh pihak imigresen di tempat penginapan mereka, dipenjarakan selama tiga bulan, dan kemudiannya dihantar pulang ke Bangladesh. Seorang pekerja yang cuba membuat aduan mengenai masalah pekerja telah dibatalkan visanya secara tiba-tiba sebagai tindakan balas daripada pihak syarikat.

Pekerja-pekerja di MediCeram juga menghadapi masalah penginapan yang serius — sehingga 6 orang pekerja terpaksa tinggal bersama di dalam satu bilik kecil tanpa ruang dan kemudahan yang mencukupi.

“Pekerja-pekerja migran di syarikat ini telah dianiayai oleh majikan mereka dan banyak isu yang dihadapi oleh mereka,” begitu katanya Tinagaran Subramaniam, aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) Negeri Sembilan yang tampil membantu pekerja-pekerja migran tersebut. “Kami telah pun mengadu masalah ini kepada pihak Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP) dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) untuk tindakan susulan. Kami berharap pihak Kementerian Sumber Manusia akan mencampur tangan untuk menyelesaikan masalah mereka!”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *