
oleh Amanda Shweeta Louis
Minggu lepas, Malaysia digemparkan dengan beberapa insiden keganasan terhadap wanita serta kanak-kanak perempuan. Dari tragedi rogol di sebuah sekolah menengah di Melaka, hingga kes pembunuhan pelajar di Bandar Utama. Ketika negara sedang berduka, kita mesti mula mengakui hakikat keganasan ini: femisid, iaitu pembunuhan yang dilakukan dengan sengaja terhadap wanita atau kanak-kanak perempuan kerana jantina mereka.
Pada tahun 2024, All Women’s Action Society (AWAM) telah merekodkan 80 kes femisid di Malaysia. Walaupun dengan angka sebegitu, Malaysia masih belum lagi mempunyai definisi undang-undang femisid walaupun beberapa negara lain telah mengiktiraf dalam usaha untuk memahami dan mengatasi isu ini dengan lebih berkesan. Sebagai contoh, Kanun Keseksaan Argentina telah mengiktiraf femisid sebagai bentuk pembunuhan yang berat dan boleh dihukum dengan penjara seumur hidup.
Apabila kita enggan menamakan jenayah ini, bermakna kita juga enggan untuk menanganinya dan kita mahu terus kekal dalam zon selesa. Mengiktiraf femisid dalam undang-undang negara adalah langkah penting untuk memastikan kerajaan supaya boleh memantau corak kejadian, mengeluarkan data rasmi serta memperuntukkan dana yang sewajarnya untuk mencegah kes sebegini dan melindungi orang ramai daripada keganasan berasaskan jantina.
Satu trend yang merisaukan dalam kes-kes kebelakangan ini adalah bagaimana sekolah yang sepatutnya merupakan sebuah tempat yang selamat bagi anak-anak untuk menimba ilmu, kini menjadi ruang jenayah untuk melakukan keganasan terhadap pelajar perempuan. Kes rogol secara berkumpulan, pembunuhan, serangan seksual dan sebagainya semakin bertambah sementara usia pelaku pula semakin muda. Di mana silapnya kita? Mengapakah anak-anak lelaki kita berasa perbuatan sebegini boleh diterima? Adakah kita gagal menerapkan sifat kemanusiaan dan empati dalam diri mereka? Mungkinkah sistem pendidikan kita yang terlalu mementingkan pencapaian akademik telah gagal melahirkan manusia yang berbelas kasihan dan saling hormat-menghormati?
Malaysia sedang diselubungi bayangan pengaruh baharu, iaitu manosphere.
Bagaimana sebenarnya kita boleh memantau penggunaan media sosial anak-anak dengan berkesan? Adakah larangan menyeluruh terhadap media sosial atau telefon pintar mampu menyelesaikan masalah ini?
Kita sedang membesarkan generasi anak lelaki dalam sistem yang gagal melindungi semua orang. Mengapa ibu bapa yang sudah pun terpaksa bekerja untuk masa panjang, dipertanggungjawabkan sendiri untuk memantau dunia maya yang penuh bahaya? Sementara itu, kita terus saling menuding jari, anak-anak lelaki kita sedang diracuni oleh pengaruh digital manosphere seperti Andrew Tate, individu yang sering menyebarkan kebencian dan keganasan terhadap wanita. Malah, Ahli Parlimen kita sendiri pernah tanpa segan silu mengeluarkan kenyataan seksis yang menormalkan kebencian terhadap wanita dan apa berlaku kepada mereka? Tiada tindakan atau hukuman dikenakan ke atas mereka. Paling teruk, mereka tidak sedar akan unsur-unsur keganasan dalam percakapan mereka.
Jadi, mengapa pula kita terkejut apabila lelaki dewasa dan anak-anak lelaki menyerap mesej-mesej seperti ini?
Pada bulan Mac 2025, Parti Sosialis Malaysia (PSM) bersama beberapa buah badan bukan kerajaan telah menyerahkan sebuah memorandum kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) berkenaan isu keganasan dalam hubungan intim yang berulang serta mencadangkan solusi untuk menangani isu ini. Kami juga telah memberi amaran yang jelas tentang bahayanya budaya misogini yang semakin parah di laman media sosial dan kaitannya dengan keganasan yang berlaku secara realiti, termasuklah menamakan individu pempengaruh dari Amerika dan negara barat yang lain. Namun, seruan kami untuk menuntut tindakan awal disambut dengan kebisuan dan tiada tindakan susulan. Hari ini, kita dapat menyaksikan bagaimana kegagalan untuk bertindak itu telah membawa kepada akibat yang tragis.
Kami terus menuntut agar:
- Kerajaan segera mengiktiraf femisid dalam sistem perundangan Malaysia dan memperluas perlindungan kepada semua wanita, termasuklah pasangan intim.
- Melaksanakan Pendidikan Seksualiti Menyeluruh (CSE) dan Pengajian Gender di sekolah.
- Melaksanakan audit keselamatan di sekolah dan mewajibkan latihan kepada guru untuk menangani kes kecemasan yang berkaitan jantina.
- Mengeluarkan data rasmi berkaitan femisid dan keganasan dalam hubungan intim.
- Meningkatkan kesedaran tentang bahayanya ucapan kebencian misogini yang dilakukan di dalam talian dan kehidupan seharian.
==========
Amanda Shweeta Louis ialah Pengerusi Pemuda Sosialis PSM.
