3 orang aktivis Singapura yang didakwa kerana menganjurkan aksi bersolidariti bersama Palestin telah dibebaskan daripada pertuduhan oleh Mahkamah Singapura pada 21 Oktober 2025. Ini merupakan satu kemenangan yang amat bermakna bagi gerakan solidariti bersama Palestin di Singapura.

Annamalai Kokila Parvathi, Siti Amirah Mohamed Asrori dan Mossammad Sobikun Nahar telah didakwa di mahkamah pada 27 Jun 2024 kerana menganjurkan aksi bersolidariti bersama Palestin pada 2 Februari 2024 yang melibatkan perarakan kira-kira 70 orang yang berjalan kaki ke Istana Singapura untuk menyerahkan surat tuntutan mereka kepada Perdana Menteri Singapura. Mereka didakwa di bawah Akta Ketenteraman Awam, dan perbicaraan kes mereka mula berlangsung pada 1 Julai 2025.

Hakim yang membicarakan kes ini menyatakan bahawa ketiga-tiga orang yang dituduh tidak mengetahui tentang laluan perjalanan yang diambil oleh mereka itu dilarang di bawah Akta Ketenteraman Awam, kerana ia merupakan laluan pejalan kaki yang kerap diambil oleh orang awam. Hakim juga menjelaskan bahawa mereka tidak didakwa kerana menyokong sesuatu perjuangan (solidariti bersama Palestin) atau menghantar surat bagi menyokong perjuangan tersebut, sebaliknya, mereka didakwa kerana menganjurkan perarakan di sekeliling Istana Singapura yang merupakan kawasan larangan.

“Tiadanya papan tanda atau notis yang menunjukkan atau memaklumkan pengguna-pengguna bahawa laluan orang awam itu merupakan sebahagian daripada kawasan larangan,” begitu katanya hakim yang berpandangan bahawa tiga orang yang didakwa itu tidak tahu tentang laluan yang diambil oleh mereka ialah kawasan larangan.

Walau bagaimanapun, pihak pendakwa raya berkata bahawa ia akan memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah ini.

Negara Singapura mempunyai undang-undang zalim yang menyekat kebebasan rakyat untuk berhimpun dan bersuara. Namun, ia tidak menghalang rakyat Singapura yang prihatin pada nasib rakyat Palestin untuk menyuarakan solidariti mereka bersama Palestin dan mengecam tindakan kerajaan Singapura yang bersubahat dalam jenayah genosid yang dilakukan oleh rejim Zionis Israel. Gerakan solidariti bersama Palestin di Singapura yang diterajui oleh golongan anak muda telah mendesak kerajaan Singapura untuk menghentikan intimidasi terhadap aktivis-aktivis yang bersolidariti bersama Palestin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *