oleh K. Kunasekaran

Selepas 68 tahun kemerdekaan dan pada ketika menyambut Hari Malaysia pada 16 September 2025, rakyat negara kita masih dipecah-belahkan dengan perkauman, sungguhpun masih menghadapi pelbagai masalah asas dalam kehidupan.

Di sebalik slogan perpaduan, keadilan sosial, dan pembangunan seimbang, realiti tanah di Malaysia mendedahkan corak berulang: rakyat biasa — India, Cina, dan Melayu — dilabelkan sebagai penceroboh walaupun telah berpuluh-puluh tahun mendiami dan mengusahakan tanah. Pada masa yang sama, entiti pemodal dan berkuasa diberi hak milik serta keistimewaan penuh atas nama “undang-undang” dan “kemajuan”.

Apabila sesuatu isu yang timbul melibatkan sesuatu kaum, ia diviralkan, rakyat Malaysia sendiri menyerang komuniti terbabit dengan kata-kata seperti “penceroboh haram, “duduk tanah orang, “tak malukah”, malah seorang agamawan juga turut menghina komuniti India di Malaysia. Naratif ini memecah-belahkan rakyat, sedangkan masalah sebenar ialah ketidakadilan sistemik dalam pengurusan tanah.

Tiga kes — sebuah kuil di ibu negara, kawasan pertanian di Chemor, Perak, yang bersebelahan Kampung Baru-Kanthan, dan sebuah kampung tradisi di Kuala Lumpur — menyingkap bagaimana sistem tanah di negara ini berfungsi bukan untuk rakyat, tetapi untuk segelintir golongan yang berselindung di sebalik kuasa politik dan ekonomi.

1. Kuil Sri Pathrakaliamman, Jalan Masjid India, Kuala Lumpur

Kuil ini bukan dibina semalam. Ia telah lama wujud di tengah-tengah pusat bandar Kuala Lumpur, menjadi sebahagian daripada warisan budaya dan sejarah komuniti India di situ. Namun, selepas tanah tersebut dijual, tekanan dikenakan ke atas kuil itu supaya dikosongkan.

Apabila bantahan timbul pada bulan Mac 2025, suara-suara yang kononnya mempertahankan kepenghunian sah segera melabel kuil itu sebagai penceroboh, tanpa mengambil kira akar sejarahnya. Rakyat Malaysia sendiri menghina mereka — soalnya, mana perginya nilai-nilai kemanusiaan, silaturahim, dan hormat terhadap agama kaum lain?

2. Kawasan pertanian di Chemor, Perak (bersebelahan Kampung Baru Kanthan)

Puluhan keluarga petani telah mengusahakan tanah kerajaan di Chemor sejak zaman sebelum merdeka. Tanah itu subur bukan kerana asalnya begitu, tetapi kerana mereka mencurahkan tenaga dan masa, menjadikannya produktif untuk masyarakat dan negara.

Namun, pada tahun 2013, tanah itu diberikan kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP). Para petani, walaupun sudah mengusahakan tanah itu selama bertahun-tahun, terus dilabel sebagai penceroboh. Pihak berkuasa hadir dengan jentolak, bukan untuk berbincang, tetapi untuk menghalau, sehingga mengakibatkan kecederaan dan ada orang yang ditahan polis. Kawasan pertanian ini pula terletak di kawasan Parlimen Tambun, dengan wakil rakyatnya Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Tenaga dan jasa mereka dihancurkan begitu sahaja. Tanaman mereka dan mata pencarian mereka dimusnahkan. Petani kecil tidak punya tempat dalam ekonomi kapitalis yang rakus. Mereka juga dilabel sebagai Cina duduk secara haram dan memperkayakan diri”.

3. Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur

Sebuah kampung Melayu yang telah wujud sejak awal abad ke-20, dengan status di bawah Malay Agricultural Settlement Act — sebuah perundangan yang sepatutnya melindungi tanah Melayu luar bandar.

Namun, pada 11 September 2025, sebanyak 15 rumah di Kampung Sungai Baru dirobohkan secara kekerasan, walaupun penduduk masih menunggu pengurusan kes rayuan di Mahkamah Rayuan pada 10 November 2025. Mereka yang tinggal sejak turun-temurun tiba-tiba dituduh sebagai penceroboh. Mengapa perobohan dilakukan secara ganas dengan bantuan agensi kerajaan?

Lebih penting, kes berkaitan Kampung Sungai Baru kini masih berjalan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Pada tahun 2021, tanah kepunyaan 17 orang penduduk yang merupakan pemilik asal diambil alih oleh pihak berkuasa negeri dan kemudian didaftarkan atas nama Ritzy Gloss Sdn. Bhd. (kini KL City Gateway Sdn. Bhd.). Penduduk/plaintif menegaskan bahawa tanah itu terletak dalam kawasan Malay Agricultural Settlement (M.A.S.), yang menurut undang-undang hanya boleh dimiliki oleh orang Melayu dan sebarang pengambilan mesti mendapat kelulusan Ruler in Council.

Pada 13 November 2024, 17 orang penduduk telah memulakan suatu tindakan sivil di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dengan menuduh pihak berkuasa, iaitu Pengarah Tanah Negeri dan Pendaftar Hakmilik Negeri, cuai kerana gagal mencatat sekatan kepentingan M.A.S. dalam hak milik, menyebabkan tanah dipindahkan secara tidak sah kepada syarikat bukan Melayu. Mereka kini menuntut deklarasi bahawa pengambilan tanah itu terbatal, hak milik dipulangkan, dan ganti rugi diberikan.

Defendan-defendan (PTG dan Pendaftar Hakmilik Negeri) telah membuat satu permohonan untuk membatalkan kes penduduk, tetapi ia ditolak pada 29 Julai 2025. Pengurusan kes ditetapkan pada 19 September 2025.

Persoalan penting: Adanya penduduk yang terkilan telah membuat rayuan di Mahkamah Rayuan dan juga memfailkan satu tindakan baharu terhadap PTG Negeri dan Pendaftar Hakmilik, maka mengapa rumah mereka dirobohkan dengan menggunakan agensi kerajaan?

Dalam kes Monatech (M) Sdn Bhd v Jasa Keramat Sdn Bhd [2002] 4 CLJ 401, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa “sekalipun tiada injunksi untuk menjaga kepentingan subjek perkara sesuatu tindakan sehingga perbicaraan, pemusnahan sewenang-wenangnya subjek perkara tersebut dengan tujuan menghalang perbicaraan yang adil dan berkesan adalah penghinaan mahkamah.” Kalau begitu, mengapa rumah mereka dimusnahkan, sedangkan rayuan mereka  di Mahkamah Rayuan dan kes baharu di Mahkamah Tinggi masih belum diputuskan?

Siapa penceroboh sebenar?

Ketiga-tiga komuniti — India, Cina, dan Melayu — berhadapan naratif yang sama: sesiapa yang tidak memiliki geran tidak layak kekal, walaupun sejarah, sumbangan, dan kelangsungan komuniti mereka terbina di atas tanah itu. Yang ada geran pun, boleh dirampas dengan menggunakan Akta Pengambilan Tanah!

Penceroboh sebenar bukan rakyat yang membanting tulang di tanah itu. Penceroboh sebenar ialah sistem kapitalis yang menafikan nilai manusia, sejarah, dan keadilan — demi kepentingan keuntungan segelintir.

Kapitalis bersatu, rakyat dipecahbelahkan

Ironinya, ketika rakyat bergaduh sesama sendiri — menyalahkan kaum lain kerana “menceroboh” atau “tidak patuh undang-undang” — kapitalis dan elit politik daripada semua kaum bersatu membolot peluang.

Rakyat sering dialihkan perhatian dengan persoalan perkauman, sedangkan yang kehilangan tanah, rumah dan tempat ibadat bukan hanya satu kaum, tetapi semua golongan bawahan yang tidak mempunyai kuasa.

Keadilan bukan sekadar milikan atas kertas

Selagi undang-undang dan dasar hanya mengiktiraf hak milik atas kertas tanpa melihat realiti sejarah, warisan, dan sumbangan komuniti, selagi itulah rakyat biasa akan terus menjadi mangsa.

Hari ini rumah mereka diroboh, tanah mereka dirampas, tempat ibadat mereka dipinggirkan. Esok, mungkin giliran kita semua.

Kesimpulan

Fahamilah siapa musuh sebenar kita. Bukan jiran kita yang berbeza kaum, bangsa atau agama, tetapi sistem kapitalis rakus yang merampas tanah, rumah, dan hak rakyat biasa. Selagi rakyat dibiarkan berpecah dengan politik perkauman, selagi itulah kita akan terus ditindas.

Rakyat biasa — tanpa mengira kaum, bangsa atau agama — mesti bersatu melawan penindasan dan mempertahankan hak hidup yang adil. Jangan terpedaya dengan naratif sempit yang hanya menguntungkan segelintir yang berkuasa dan pemodal besar.

==========

K. Kunasekaran ialah Ahli Jawatankuasa Parti Sosialis Malaysia (PSM) Negeri Perak merangkap Penyelaras PSM Parlimen Batu Gajah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *