
Kongres Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang ke-27 telah berjaya diadakan pada 25-27 Julai 2025 di Kuala Kangsar, Perak. Kongres Nasional yang bersidang selama 3 hari ini, telah disertai oleh kira-kira 150 orang perwakilan dan pemerhati.
Kira-kira 200 orang ahli PSM dan jemputan luar telah memenuhi dewan persidangan pada 25 Julai 2025 semasa majlis pembukaan Kongres Nasional PSM ke-27. Turut hadir bersama semasa majlis pembukaan Kongres ialah Radamés Jesús Gómez Azuaje selaku Duta Venezuela ke Malaysia, pemimpin-pemimpin parti politik, aktivis-aktivis masyarakat sivil dan penyokong-penyokong akar umbi daripada pelbagai komuniti.
“Kongres Nasional merupakan tempat yang penting untuk ahli-ahli PSM berbincang dan membuat keputusan, termasuk keputusan menyertai apa-apa gabungan politik,” kata S. Arutchelvan, Timbalan Pengerusi Nasional PSM, semasa menyampaikan ucapan aluannya. “PSM ialah sebuah parti yang berorganisasi dari bawah, bukannya sebuah parti di mana hanya pemimpin di atas membuat keputusan untuk ahli di bawah. Kongres kali ini agak berbeza kerana inilah kali pertamanya dianjurkan di bawah kepimpinan seorang Setiausaha Agung wanita (iaitu Sivaranjani yang dipilih semasa Kongres Nasional ke-26).”

“Golongan sosialis tidak mudah ditewaskan. Golongan sosialis akan terus wujud selagi masih ada penindasan,” tambah S. Arutchelvan. “Di mana adanya perjuangan rakyat, di mana adanya isu rumah rakyat dirobohkan, di mana adanya pekerja ditindas, PSM akan sentiasa berdiri bersama kumpulan-kumpulan rakyat yang tertindas. PSM membela rakyat tanpa mengira kaum, agama dan sebagainya.”
Seperti tahun-tahun yang lepas, Kongres Nasional PSM tahun ini juga menerima mesej solidariti daripada pelbagai organisasi kiri di peringkat antarabangsa. Antara organisasi-organisasi yang mengirimkan mesej solidariti kepada Kongres Nasional PSM termasuk Socialist Alliance dari Australia, Partido Lakas ng Masa (PLM) dari Filipina, Parti Komunis India (Marxis-Leninis) Pembebasan, Perserikatan Sosialis dari Indonesia, Parti Komunis Nepal (Sosialis Bersatu), Die Linke dari Jerman, Nouveau Parti anticapitaliste – L’Anticapitaliste (NPA-A) dari Perancis, Parti Kesatuan Demokratik (PYD) dari Syria, Socialist Workers Thailand dan Perhimpunan Rakyat Antarabangsa (IPA).
“Kami amat menghormati PSM dan ahli-ahlinya serta kerja yang anda lakukan,” kata Sam Wainwright, Penyelaras Bersama Socialist Alliance dari Australia dalam mesejnya kepada Kongres Nasional PSM. “Anda menonjol sebagai teladan perjuangan berprinsip dan tanpa mengerti kepenatan dalam menyokong rakyat pekerja dan golongan yang tertindas di Malaysia, sesuatu yang saya telah berpeluang untuk menyaksikan dengan mata sendiri. Anda menggabungkan perjuangan di lapangan dengan kajian sejarah dan teori yang serius tetapi tidak dogmatik, kerana dalam perjuangan ini, kita memerlukan sebuah kompas, sebuah peta jalan dan sebuah rancangan, bersama dengan tindakan perjuangan. Anda menyatukan kedua-dua perkara ini. Anda juga menunjukkan hubungan yang bersifat kerjasama dan membina dengan kuasa-kuasa sosialis yang lain di rantau ini, membina dan mencari titik perpaduan serta tindakan bersama, yang mana ia sangat penting.”

Dalam ucapan dasar yang disampaikannya, Dr. Jeyakumar Devaraj, Pengerusi Nasional PSM, menyeru ahli-ahli PSM supaya menggunakan kesempatan Kongres untuk berbincang secara lebih mendalam bagaimana menarik lebih ramai orang untuk menyertai sebuah gabungan politik yang progresif dan membinanya.
“Dalam dua hingga tiga tahun kebelakangan ini, semakin ramai rakyat menyedari bahawa pembaharuan tidak berlaku dengan sekadar perubahan kerajaan. Kita adanya perubahan kerajaan, tetapi dasar-dasar tidak berubah. Dasar kerajaan masih bergantung pada usaha menarik pelaburan asing; sistem politik kita masih didominasi fahaman perkauman. Janji-janji kepada rakyat hanya tinggal sebagai janji-janji sahaja,” kata Dr. Jeyakumar. “Apabila rakyat sedang tertanya-tanya, ‘Jika Pakatan Harapan tidak mengotakan janji-janjinya, siapa boleh bawa?’, inilah masanya untuk kita membangunkan kuasa ketiga.”
Dr. Jeyakumar menggariskan langkah-langkah penting untuk memajukan usaha pembinaan kuasa ketiga, iaitu menjelaskan prinsip-prinsip utama perjuangan politik kuasa ketiga kepada rakyat dalam bahasa yang mudah difahami, dan menangani keraguan rakyat umum terhadap kebolehlaksanaan dasar-dasar sosialis dalam konteks Malaysia. Ucapan dasar Dr. Jeyakumar telah diulas oleh wakil-wakil cawangan PSM yang mengemukakan pelbagai pandangan dan cadangan menarik.

M. Sivaranjani, Setiausaha Agung PSM, membentangkan laporannya pada hari kedua Kongres Nasional. Sivaranjani melaporkan beberapa usaha penting yang dilakukan dan kejayaan yang dicapai oleh PSM dalam memajukan perjuangan progresif, termasuk aksi kemuncak kempen menuntut Pencen Warga Emas Sejagat, penyerahan memorandum mengenai isu kewarganegaraan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), dua tuntutan PSM untuk reformasi PERKESO dilaksanakan oleh pihak PERKESO (perlindungan 24 jam dan faedah pengurusan mayat dinaikkan daripada RM2,000 kepada RM3,000), penganjuran Sekolah Politik Kiri Asia Tenggara, lawatan sambil belajar ahli-ahli PSM ke Indonesia, protes penternak yang membantah pengusiran paksa, penyerahan memorandum mengenai tindakan saman ugutan kepada SUHAKAM, aksi sambutan Hari Pekerja 2025, dan penglibatan PSM dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning.
Semasa membentangkan laporan kewangan, Soh Sook Hwa, Bendahari Nasional PSM, mengatakan bahawa PSM sedang mengadakan program mencari dana untuk membolehkan PSM memiliki sebuah bangunan yang dijadikan ibu pejabat PSM. Para penyelaras biro dalam Jawatankuasa Pusat PSM juga membentangkan laporan mereka masing-masing.

“Pencarian dana bukan program mencari dana semata-mata, tetapi juga usaha mencari sokongan, program membina jambatan dengan kelas pekerja, terutamanya kelas menengah yang sedang mencari solusi alternatif untuk menghentikan eksploitasi kapitalis,” kata Soh Sook Hwa. “Membiayai dan memperkembangkan sebuah parti kiri dan progresif adalah amat penting untuk memenangi perjuangan kelas.”
Dua sesi forum telah diadakan dalam Kongres Nasional PSM kali ini. Salah satu sesi forum bertemakan “Anak Muda dan Kuasa Ketiga” dengan memfokus pada peranan anak muda dalam membina kuasa ketiga di Malaysia, dengan membariskan ahli-ahli panel daripada Pemuda Sosialis PSM bersama-sama wakil daripada dua buah organisasi anak muda, iaitu Angkatan Kesatuan Siswa Sosialis (AKSI) dan University of Malaya Association of New Youth (UMANY).

Satu lagi sesi forum bertemakan “Formula menang?: Peluang PSM dalam PRU-16” dengan perbincangannya berkisar pada strategi pilihan raya PSM. Ahli-ahli panel yang membentangkan pandangan mereka dalam forum ini ialah Soh Sook Hwa selaku Bendahari Nasional PSM, Wong Chin Huat yang merupakan seorang penganalisis politik, dan VKK Rajasekaran selaku Pengerusi MUDA Perak. Perbincangan ini mengetengahkan peranan PSM untuk terus membina kuasa ketiga di samping memfokus kepada pengundi yang disifatkan sebagai PAMU (Parti Aku Malas Mengundi).
Ahli-ahli PSM yang menghadiri Kongres Nasional juga mengadakan perbincangan tentang beberapa pendekatan yang patut diambil berkaitan strategi pilihan raya PSM. Secara amnya, ahli-ahli PSM menekankan kepentingan untuk membina kuasa ketiga yang progresif, supaya menawarkan alternatif yang menyegarkan kepada rakyat yang sudah semakin muak dengan gelagat dua buah gabungan politik arus perdana.
Ahli-ahli PSM yang menghadiri Kongres Nasional juga membahaskan sebanyak 19 usul yang dibawa oleh perwakilan kali ini. Selepas perbahasan yang hebat, 7 usul telah diluluskan, dan selainnya ditolak atau ditarik balik oleh cawangan yang mengusulkannya. Antara usul yang diluluskan ialah pindaan perlembagaan parti supaya membolehkan pembentukan struktur Jawatankuasa Negeri, pempiawaian nama cawangan PSM mengikut kawasan pilihan raya di mana cawangan itu berada, kajian kebolehlaksanaan sistem pengundian mengikut keutamaan untuk pemilihan parti, dan penganjuran sesi kesedaran tentang penggunaan kecerdasan buatan (AI) bagi ahli-ahli PSM.

Kongres Nasional PSM yang ke-27 juga meluluskan resolusi yang mengandungi 21 perkara, antaranya melaksanakan Pencen Warga Emas RM500 sebulan, mempertahankan sistem kesihatan awam, membina rumah mampu milik dengan harga di bawah RM100,000, mengawal harga barangan asas, memansuhkan undang-undang yang menyekat ruang demokrasi, melindungi keterjaminan makanan dengan menghentikan pengusiran terhadap petani-petani kecil, menghentikan penswastaan pendidikan, dan sebagainya.
Kongres Nasional PSM berakhir dengan laungan slogan “Kuasa Ketiga, kuasa kita!” yang merupakan tema tahun ini, dan nyanyian lagu Internasionale yang penuh bersemangat. Ahli-ahli PSM pulang dengan semangat baharu untuk terus memajukan usaha perjuangan rakyat dan membina kuasa ketiga yang progresif.


























