oleh Amanda Shweeta Louis

Pemuda Sosialis tidak bersetuju dengan kenyataan Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar baru-baru ini yang mendesak pembatalan PRIDECARE: Queer Stories and Sexual Health Awareness. Ini ialah bengkel pendidikan berskala kecil yang sah dan mengikut undang-undang memfokuskan penyampaian maklumat kesihatan seksual yang tepat dan bebas stigma, sejajar dengan Pelan Strategik Nasional Malaysia untuk Menamatkan AIDS (2021–2030)

Pada bulan April 2025, YB Menteri menekankan kepentingan pendekatan yang lebih holistik terhadap Pendidikan Seksualiti dan menggesa semua institusi memainkan peranan penting dalam perkara ini, dan beliau harus faham bahawa acara ini sejajar dengan prinsip beliau.

Sejak kenyataan YB Menteri dikeluarkan, komen berunsur kebencian dan ugutan bunuh di media sosial kami bertambah. Adakah budaya keganasan dan kebencian ingin “dinormalisasikan” di Malaysia? Kami menasihati YB Menteri untuk berwaspada dengan kenyataan beliau agar tidak menimbulkan permusuhan di antara rakyat Malaysia yang berbeza latar belakang. Hal ini kerana, pada bulan Februari 2025, beliau menegaskan keperluan untuk saling menghormati dan menjaga kata-kata, terutamanya berkaitan sensitiviti pelbagai komuniti.

Program ini selari dengan kepentingan awam, yakni untuk membendung penularan Sexually-transmitted Infections (STIs). Reaksi sesetengah orang awam dan Kementerian mencerminkan peningkatan sikap tidak rasional dan kebencian melulu. Pemuda Sosialis tegas melawan api kebencian dan penindasan. Kami tidak akan berdiam diri ketika golongan minoriti menghadapi ancaman keganasan dan dinafikan hak keadilannya.

Selepas menilai keadaan terkini, bengkel ini ditangguhkan bagi menjaga keselamatan dan kesejahteraan peserta. Selain itu, Pemuda Sosialis terbuka kepada sebarang dialog penglibatan dengan Kementerian Hal Ehwal Agama, serta pertubuhan lain seperti SUHAKAM dan Majlis Peguam, untuk perbincangan yang bermakna.

==========

Amanda Shweeta Louis ialah Pengerusi Pemuda Sosialis PSM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *