oleh Gandipan Nantha Gopalan

Parti Sosialis Malaysia (PSM) memandang serius laporan terbaharu oleh PNB Research Institute (PNBRI) yang telah membongkarkan realiti pahit bahawa gaji permulaan pemegang ijazah pertama kini hampir sama dengan pemegang SPM pada tahun 2022, berbanding 2.7 kali ganda lebih tinggi pada tahun 1997. Ini bukan sekadar statistik, tetapi gambaran nyata bahawa sistem ekonomi neoliberal tidak lagi berfungsi untuk graduan dan anak muda.

Kerajaan wajib mengambil isu ini sebagai amaran keras. Apa gunanya rakyat berhempas pulas mendapatkan pendidikan tinggi jika gaji yang diperoleh selepas tamat belajar tidak cukup untuk menyara kehidupan? Di manakah nilai kesejahteraan ekonomi yang selalu dicanang dalam ucapan-ucapan rasmi?

Kerajaan mesti mengambil pendirian yang tegas dan berpihak pada pekerja, khususnya golongan muda dan graduan baharu yang kian kecewa. Kini pemilihan dalaman parti pemerintah telah selesai. Tiada lagi alasan untuk kerajaan tidak memfokuskan kepada pembaharuan ekonomi dan perlindungan pekerjaan. Ini adalah masa untuk tindakan, bukan sekadar retorik politik.

Walaupun Dasar Gaji Progresif disebut sebagai penyelesaian, kita belum melihat keberkesanannya dalam menangani gaji stagnan dan penurunan nilai sebenar pendapatan. Kerajaan harus mengemukakan statistik tentang berapa buah syarikat telah memilih untuk menyertai dasar ini dan berapa orang graduan telah menikmati kenaikan gaji melalui dasar ini. Hanya dengan statistik ini kita dapat menilai dan menambah baik dasar-dasar yang sedia ada.

PSM ingin menegaskan bahawa Skim Jaminan Kerja adalah satu pendekatan struktural yang paling berkesan untuk menyelesaikan krisis pekerjaan dan gaji rendah ini. Skim ini mengkehendaki kerajaan bertindak sebagai majikan terakhir apabila sektor swasta gagal menyediakan pekerjaan yang bermaruah. Melalui skim ini, kerajaan boleh menyediakan pekerjaan tetap dengan gaji sara hidup, perlindungan sosial dan jaminan kestabilan ekonomi untuk rakyat biasa. Ia juga selari dengan prinsip bahawa pekerjaan adalah hak asasi manusia.

PSM telah lama mengemukakan cadangan konkrit untuk pelaksanaan Skim Jaminan Kerja, termasuk:

  1. Penyediaan kerja dalam industri hijau dan pemuliharaan alam sekitar
  2. Pertanian dan keterjaminan makanan negara
  3. Penambahan kakitangan dalam infrastruktur kesihatan dan perubatan
  4. Penyelenggaraan bangunan warisan dan kemudahan asas
  5. Pendidikan awal dan pengasuhan kanak-kanak dengan membuka tadika dan pusat asuhan awam
  6. Kerja sosial untuk menangani kemiskinan bandar dan masyarakat terpinggir
  7. Penubuhan agensi pemantauan pelaksanaan dasar awam dan pencegahan rasuah
  8. Sosialisasi kerja rumah seperti penjagaan warga emas dan OKU
  9. Pengurangan waktu bekerja ke 35 jam seminggu bagi mencipta lebih banyak peluang kerja
  10. Peranan aktif GLC sebagai pencipta pekerjaan, bukan keuntungan elit

Jika pendidikan tinggi tidak lagi menjanjikan kestabilan ekonomi, generasi baharu akan lebih kecewa, dibebani hutang, dan hilang kepercayaan terhadap negara. Fenomena ini sangat bahaya untuk negara kita. Kerajaan tidak boleh terus menyerahkan nasib graduan kepada ‘kuasa pasaran’. Model ekonomi berasaskan keuntungan maksimum ini telah gagal.

PSM menyeru kerajaan untuk segera mengadakan perbincangan terbuka dengan semua pihak berkepentingan, termasuk gerakan pekerja, persatuan pelajar dan parti-parti progresif untuk merangka pelan tindakan segera bagi memulihkan sistem pekerjaan dan pendapatan di Malaysia. PSM akan terus memperjuangkan pelaksanaan Skim Jaminan Kerja sebagai solusi jangka panjang untuk membina ekonomi rakyat yang adil dan berdaya tahan.

==========

Gandipan Nantha Gopalan ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *