
oleh Arveent Kathirtchelvan
Saya melihat gelagat kelakar Rafizi Ramli serta Nurul Izzah sebagai sandiwara terdesak untuk menakutkan rakyat supaya kembali menyokong PKR yang jelas gagal melaksanakan reformasi sepertimana yang dijanjikannya. Sudah kembalinya graf Rafizi dengan slogan-slogan lapuk sebagai cubaan mendapatkan balik momentum sokongan mereka. Malah Rafizi juga seakan-akan menjadi pengkritik lantang terhadap partinya dengan mengungkit isu kepincangan pemilihan dalaman. Nurul Izzah juga mengkritik pelantikan Azam Baki, walaupun kerajaan pimpinan ayahnya sendiri yang melaksanakannya.
Ini adalah taktik lapuk sesebuah parti yang kian berkurangan kerelevanannya. Untuk memuaskan hati pengundi kecewa, parti ini akan mewujudkan beberapa orang tukang kritik sebagai wajah reformasi dalaman. Akan tetapi, apabila mereka telah mendapat kuasa, parti tersebut tidak akan dapat melaksanakan apa-apa yang dijanji. Tukang kritik hanya wujud untuk memancing penyokong dan pengundi, mendekatkan mereka kepada parti yang dipercayai tetapi yang memperdayakan mereka.
Kenyataan terbaru Rafizi adalah supaya Nurul Izzah diundi untuk memastikan imej sokongan terhadap Anwar Ibrahim kekal. Taktik sebegini mungkin dianggap oleh Rafizi sebagai suatu cara untuk memposisikan dirinya sebagai kem anti-Anwar dalam PKR. Pada masa ini, atas sebab banyak sangat kompromi dengan nilai reformasi terdahulu, kepercayaan orang ramai terhadap Anwar semakin pudar. Rafizi ingin membawa rakyat yang semakin sedar akan kebobrokan partinya untuk kembali menyokong mereka.
Kini, dengan jelajah “Hidupkan Idealisme Reformasi Dalam Ujian Kuasa ” (HIRUK), Rafizi mempamerkan beberapa graf yang menunjukkan sokongan terhadap PKR menjunam dalam kalangan setiap kaum. Akan tetapi, tiadanya pemahaman ketara terhadap sebab arah aliran ini. Mengapakah rakyat yang membuang gergasi Barisan Nasional pada tahun 2018 kini berpaling tadah terhadap Pakatan Harapan yang pernah menjadi pilihan mereka? Ya, memang wujud suatu naratif perpecahan dibawa oleh Perikatan Nasional (PN) yang menjadi suatu faktor. Akan tetapi, PN adalah pembangkang yang ketandusan idea serta gagal menunjukkan kepimpinan efektif apabila menjadi kerajaan juga. Adakah Pakatan Harapan lemah sangat sampai tidak dapat menandingi mereka?
Realitinya, Pakatan Harapan sedang mengalami kesan daripada kegagalan mereka sendiri. Kita ambil Kementerian Ekonomi sebagai contoh. Apakah hasil nyatanya? Kini, Jabatan Perangkaan Malaysia sendiri melaporkan bahawa harga makanan di Malaysia telah meningkat sebanyak dua kali ganda dalam 13 tahun yang lepas. Apa lagi harga rumah, harga kenderaan dan lain-lain kos yang ditanggung rakyat? Jikalau tiadanya Akta Gaji Minimum, kemungkinan gaji rakyat biasa lebih rendah daripada sekarang. Akan tetapi, Kementerian Ekonomi seakan-akan menganaktirikan gaji minimum dengan membawa Dasar Gaji Progresif yang hanya kekal sebagai saranan kepada majikan. Adakah ini arah ekonomi yang diinginkan rakyat?
Sepatutnya, kerajaan pimpinan Pakatan Harapan perlu membawa idea-idea bernas. Contohnya, Skim Jaminan Kerja untuk memastikan rakyat yang memerlukan pekerjaan digaji oleh kerajaan dalam sektor tertentu dapat dilaksanakan. Sektor pertanian makanan tempatan perlu diperluaskan untuk mengurangkan kebergantungan pada makanan yang diimport. Sektor pengangkutan awam patut diutamakan supaya penggunaan petroleum dikurangkan serta masalah kesesakan lalu lintas diatasi. Semua idea ini tidak terhasil oleh PKR tetapi diperjuangkan oleh PSM. Memanglah rakyat kurang percaya terhadap mereka!
Rafizi kini berfungsi seperti Bernie Sanders. Bernie dilihat sebagai kuasa progresif dalam Parti Demokratik Amerika Syarikat. Beliau terkenal dengan perhimpunan dan jelajah besar-besaran yang membawa rakyat biasa menyokong polisi-polisi progresif. Dalam 9 tahun ini, Bernie telah berkempen atas platform progresif tetapi hanya membawa rakyat biasa menyokong Parti Demokratik yang gagal membawa aspirasi mereka. Pada tahun 2016, Bernie berjaya mendapat sokongan orang ramai tetapi hanya meminta mereka menyokong Hillary Clinton yang terlibat dengan beberapa tindakan ekstrim di Timur Tengah. Pada tahun 2020, Bernie membawa berjuta-juta rakyat menyokong Joe Biden yang membantu Israel dalam memusnahkan Palestin. Pada tahun 2024, Bernie sekali lagi membawa sokongan kepada seorang calon Parti Demokratik yang kekal memusnahkan tanah Palestin, iaitu Kamala Harris. Kini, Bernie bersama Alexandria Ocasio-Cortez telah bermula perhimpunan mereka semula.
Kesemua hasil keringat Bernie hanyalah membawa kekecewaan kepada rakyat Amerika Syarikat yang terdesak dan memerlukan pertukaran dasar nyata. Itulah sebabnya mereka memilih Donald Trump. Seperti itu, rakyat Malaysia pun memerlukan suatu anjakan daripada dasar-dasar lama kepada yang memang berpaksi kepada mereka. Rafizi dan Nurul Izzah hanya akan menjanjikan formula untuk harapan rakyat semata-mata supaya mendapat sokongan kepada PKR. Kesemua janji mereka tidak akan dapat dicapai dalam sistem ini, sepertimana yang jelas kelihatan melalui tindakan kerajaan MADANI. Malah Rafizi sendiri menyatakan bahawa tangan dan mulutnya terikat apabila telah menjadi Menteri. Buat apa rakyat menyokong sebuah parti yang hanya lantang di luar tetapi diam di dalam?
Saya menyeru pada rakyat jelata, janganlah terpedaya lagi. Pilihan yang ada bukan hanya antara Perikatan Nasional dan Pakatan Harapan sahaja. Kedua-duanya tidak akan membawa apa-apa perubahan kepada kesengsaraan kita. Ayuh bersama membina kuasa ketiga!
==========
Arveent Kathirtchelvan ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM).