oleh Ilaiya Barathi Panneerselvam

Isu penggunaan papan tanda berunsur rasis yang baru-baru ini tular di media sosial telah mencetuskan kemarahan dan perbincangan hangat dalam kalangan masyarakat. Walaupun telah memohon maaf setelah dikritik oleh orang ramai dan ahli politik, termasuk Menteri Perpaduan, individu terbabit telah ditahan polis dan dikenakan denda sebanyak RM400 oleh mahkamah. Pemimpin MADANI menegaskan bahawa tindakan undang-undang harus diambil kerana permohonan maaf sahaja tidak mencukupi.  

Tetapi, seorang pemimpin Pakatan Harapan, Najwan Halimi pula diberi peluang untuk bertanding dalam pilihan raya, dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan dilantik sebagai salah seorang anggota EXCO negeri Selangor meskipun pernah mengeluarkan kenyataan yang berbaur perkauman. Adakah ini bermaksud permintaan maaf memadai jika status sosio-ekonomi dan politik seseorang itu lebih berpengaruh daripada rakyat biasa? Ironinya, ini berlaku dalam sebuah parti yang mengangkat nama “keadilan” sebagai teras perjuangannya. Yang lebih membimbangkan ialah bagaimana rasisme telah dinormalisasikan dalam kalangan masyarakat, sedangkan pemimpin politik yang sepatutnya lebih bertanggungjawab sebagai wakil setiap lapisan masyarakat tidak mempunyai mekanisme akauntabiliti yang jelas untuk dipertanggungjawabkan.

Walaupun Perlembagaan Persekutuan menjamin hak kesamarataan, malangnya diskriminasi kaum dan insiden berunsur rasis masih berleluasa dan bukanlah sesuatu yang luar biasa di Malaysia. Kadangkala, kesilapan jujur atau isu yang tidak berkaitan sekalipun dikaitkan dengan naratif perkauman dan keagamaan oleh pihak tertentu. Realitinya, masyarakat Malaysia hari ini terpisah mengikut kaum dan agama. Maka, perasaan ketidakadilan dilihat sebagai sesuatu yang boleh mengancam keharmonian negara. Jelas bahawa langkah tegas dan bermakna perlu diambil. Menariknya, Menteri Perpaduan Negara, Aaron Ago Dagang, dalam ciapannya menyatakan bahawa setiap individu bertanggungjawab menjaga keharmonian negara dengan menghormati satu sama lain. Walaupun berniat baik, kenyataan ini adalah sekadar retorik kosong tanpa tindakan konkrit.

Sebagai sebahagian daripada kerajaan, lebih banyak usaha diperlukan, terutama dalam Perpaduan Negara. Mentaliti yang sekadar tidak bersikap rasis adalah tidak mencukupi kerana pendekatan pasif ini mengabaikan suasana sosio-politik semasa. Sebaliknya, perlu ada naratif jelas dan langkah proaktif untuk membanteras diskriminasi. Oleh itu, adalah penting untuk melaksanakan perubahan mendalam dalam sikap dan pemikiran masyarakat melalui dua pendekatan utama.

Mengubah hati dan minda masyarakat

Pertama, institusi sosial seperti pendidikan, keagamaan dan media massa perlu memainkan peranan aktif dalam mendidik masyarakat tentang kepentingan menghormati perbezaan. Pendidikan yang menyeluruh tentang nilai-nilai toleransi dan kemanusiaan adalah kunci untuk membentuk generasi yang lebih inklusif. Ini bermaksud ruang untuk menggambarkan dan membincangkan idea-idea dan pandangan-pandangan berbeza patut berlangsung secara berhemah tanpa halangan pihak penguasa. Kerajaan perlu menggunakan ruang-ruang seperti sekolah untuk membawa bersama pelajar berlainan bangsa supaya perasaan perpaduan dalam perbezaan dapat disemai dalam diri mereka. Ini perlu melangkaui langkah-langkah dangkal seperti Minggu Perpaduan atau kempen yang tidak berkesan. Sebaliknya harus dijadikan sebahagian daripada kurikulum secara bermakna dan bukan sekadar hafalan.

Kerajaan perlu menilai semula dasar yang berpotensi bersifat diskriminasi dan memastikan program yang dilaksanakan benar-benar membantu golongan memerlukan. Perspektif kelas juga harus diambil kira bagi memastikan dasar kerajaan mencapai sasaran yang tepat. Rasa keterasingan dalam masyarakat wujud akibat fokus kerajaan yang tidak menyeluruh. Oleh itu, keperluan rakyat harus dinilai secara jujur tanpa pengaruh kepentingan politik. Sebagai contoh, Perkara 8 (2) Perlembagaan Persekutuan tidak mengiktiraf orang kurang upaya sebagai kumpulan yang dilindungi, dan terdapat rujukan terhadap individu “tidak siuman” yang mengehadkan penyertaan mereka dalam masyarakat. Perkara ini perlu dipinda.

Sebagai langkah asas yang mudah dilaksanakan, kerajaan mesti memastikan ahlinya sendiri tidak terlibat dalam amalan diskriminasi. Contohnya adalah kes Najwan Halimi, yang disebut diatas. Ataupun tindakan mikroagresi seperti gelengan kepala mengejek oleh Perdana Menteri adalah contoh perkara mudah yang perlu dielakkan. Namun, ini hanyalah isu kecil. Sehingga langkah lebih besar diambil seperti yang dinyatakan sebelum ini, adalah lebih baik jika diskriminasi yang wujud didedahkan dengan jelas daripada terus disembunyikan.

Perlunya undang-undang anti-diskriminasi

Kedua, kerajaan perlu merangka dan melaksanakan undang-undang yang lebih tegas untuk memastikan keadilan ditegakkan kepada mangsa diskriminasi dan penghinaan berunsur rasis. Sebagai contoh, diskriminasi kaum dalam penyewaan rumah dan pengambilan pekerja di Malaysia begitu ketara. Menurut sebuah  kajian “Racial Discrimination in the Malaysian Rental Market: A Study of Prevalence, Causes and Solutions” oleh Architects of Diversity (2024), kebanyakan individu tidak dapat menyewa sebuah tempat penginapan selaras dengan kemampuan ekonomi mereka kerana segelintir pemilik rumah hanya memberi keutamaan kepada sesebuah kaum. Lebih menarik, kajian ini mendedahkan bahawa keutamaan berdasarkan kaum penyewa ditentukan oleh pemilik. Ini bermaksud, diskriminasi berlaku terhadap semua etnik, tanpa mengira majoriti atau minoriti. Dalam konteks ini, kelas ini, iaitu pemilik unit, memegang kuasa utama. Ini juga dapat dilihat dalam iklan hartanah dalam laman web seperti iBilik yang secara terang-terangan menolak penyewa India.

Disebabkan Malaysia pada masa ini tidak mempunyai undang-undang menyeluruh untuk mengawal selia pasaran sewa atau menangani isu diskriminasi kaum, kes diskriminasi kaum dalam penyewaan rumah tidak dapat dilaporkan dan tidak disiasat, menyebabkan individu terjejas tanpa sebarang jalan penyelesaian (Architects of Diversity, 2024). Maka, secara asasnya, diskriminasi ini mempunyai persilangan antara kaum dan juga kedudukan sosio-ekonomi seseorang.

Oleh itu, Malaysia memerlukan Akta Anti-Diskriminasi untuk menangani isu-isu yang bersifat struktural dan memastikan keadilan. Akta ini juga harus meliputi diskriminasi berdasarkan jantina, umur, kewarganegaraan, kecacatan, penyakit dan orientasi seksual. Akses kepada pekerjaan, pendidikan, kemudahan awam dan penjagaan kesihatan harus terbuka kepada semua. Ucapan kebencian juga perlu ditangani secara tegas bagi menghalang individu yang berpengaruh daripada menyebarkan kebencian terhadap mana-mana komuniti. Dalam merangka undang-undang ini, sumbangan daripada organisasi masyarakat sivil seperti Article 19, Pusat KOMAS dan SUARAM adalah penting.

Kita tidak setuju dengan pendirian parti PAS dan yang menyatakan bahawa undang-undang anti-diskriminasi boleh merenggangkan hubungan antara kaum atau secara fundamentalnya bersifat anti-Melayu/Islam. Hujah ini disertai dengan usaha menakut-takutkan rakyat menggunakan insiden 13 Mei, yang kita anggap tidak relevan, tidak wajar dan tidak bertanggungjawab—semata-mata untuk meraih keuntungan politik demi kepentingan sendiri.

Malaysia boleh mengambil iktibar daripada sejarah lampaunya sendiri. Antara gabungan politik merentasi kaum terawal, PUTERA-AMCJA, telah mencadangkan penubuhan Majlis Perhubungan Kaum melalui Perlembagaan Rakyat bagi menangani isu diskriminasi berasaskan kaum. Peranan Majlis ini termasuk meneliti setiap rang undang-undang yang diluluskan untuk menentukan sama ada akta tersebut, sama ada secara keseluruhan atau dalam mana-mana peruntukan tertentu, bersifat diskriminasi atas dasar kaum atau agama.

Selain itu, mungkin ini adalah masa yang sesuai untuk merujuk kembali kepada Akta Keterangkuman Sosial (Social Inclusion Act) sepertimana yang dicadangkan oleh Saya Anak Bangsa Malaysia bagi melaksanakan pelan tindakan bersepadu dalam menangani penyisihan dalam masyarakat Malaysia. Penubuhan Suruhanjaya Anti-Diskriminasi Kaum juga boleh dipertimbangkan sebagai langkah proaktif untuk memastikan usaha-usaha menangani masalah rasisme dapat dijalankan. Jika tidak, kerajaan MADANI boleh menghidupkan semula tiga cadangan akta, iaitu: Rang Undang-undang Jenayah Kebencian Kaum dan Agama, Rang Undang-undang Keharmonian Nasional, dan Rang Undang-Undang berkaitan Suruhanjaya Keharmornian dan Rekonsiliasi Nasional yang dibawa semasa pemerintahan Pakatan Harapan 1.0 (2018-2022). Hujah-hujah yang mendakwa bahawa undang-undang seperti Akta Hasutan 1948 sudah memadai adalah tidak dapat diterima. Kami berpendirian bahawa undang-undang yang melanggar hak asasi manusia perlu dimansuhkan.

Terdapat banyak contoh yang boleh digunakan untuk membangunkan mekanisme yang disesuaikan dengan konteks Malaysia, dan ini hanyalah sebahagian kecil daripadanya. Walaupun matlamat utama adalah untuk menghapuskan rasisme sepenuhnya, pelaksanaan undang-undang yang tegas dapat sekurang-kurangnya mengurangkan insiden sebegini secara signifikan.

Pengajaran sejarah untuk membina Malaysia yang inklusif

Kebencian terhadap seseorang hanya berdasarkan perbezaan luaran atau latar belakang adalah punca utama lahirnya sikap rasis, fasisme dan ekstremisme. Sejarah telah membuktikan betapa bahayanya sikap prejudis dan diskriminasi. Tragedi Holocaust oleh rejim Nazi semasa Perang Dunia Kedua dan keganasan genosid Israel terhadap rakyat Palestin adalah contoh terbaik bagaimana ideologi rasis dan zionis boleh membawa kepada kehancuran dan penderitaan manusia. Kedua-dua pihak ini mewajarkan tindakan kejam mereka dengan naratif yang diputarbelit, walaupun beratus-ratus ribu nyawa telah terkorban. Individu yang tidak menyesal dan terus mewajarkan sikap rasis adalah racun dalam masyarakat, dan “antidot” perlu diberikan segera.

Persoalan besar yang perlu dijawab oleh kerajaan hari ini adalah: Adakah setiap rakyat Malaysia benar-benar dilindungi daripada ancaman rasisme? Perubahan sikap dan pemikiran masyarakat adalah langkah penting yang perlu diterajui oleh Malaysia. Sejarah kemanusiaan di seluruh dunia membuktikan bahawa kepelbagaian adalah anugerah yang harus dihargai, bukan dijadikan alasan untuk menindas atau meminggirkan orang lain. Kewujudan pelbagai bangsa, agama dan budaya adalah peluang untuk kita belajar dan berkembang bersama, bukan untuk memecah-belahkan. Dengan komitmen yang jitu daripada semua pihak, Malaysia berpotensi menjadi contoh terbaik dalam menguruskan kepelbagaian dan membina masyarakat yang lebih adil dan harmoni.

==========

Ilaiya Barathi Panneerselvam ialah Ahli Jawatankuasa Cawangan Petaling Jaya, Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *