(sumber: PAME)

28 Februari 2025 menandakan ulang tahun ke-2 peristiwa pelanggaran kereta api di Lembah Tempi, Larissa, wilayah Thessalia yang terletak di bahagian tengah Greece. Hari itu disambut dengan aksi protes dan mogok yang disertai oleh sekurang-kurangnya 1 juta orang rakyat Greece sehingga melumpuhkan seluruh negara itu.

Dua tahun yang lalu, iaitu pada 28 Februari 2023, sebuah kereta api penumpang berlanggar dengan sebuah kereta api pengangkut barang di landasan laluan Athens-Thessaloniki, sehingga menyebabkan 57 orang terbunuh dan 85 orang cedera. Ramai orang menyalahkan kekurangan peruntukan kerajaan dalam kemudahan awam semasa krisis kewangan yang terjadi sepanjang lebih satu dekad yang lalu sebagai punca utama kemalangan landasan kereta api yang membawa maut itu. Sejak itu, tercetusnya aksi protes di seluruh negara Greece, dengan salah satu slogannya berbunyi “panggil saya apabila anda tiba”. Jutaan orang mengambil bahagian dalam pelbagai aksi protes berikutan peristiwa itu, menjadikannya salah sebuah gerakan protes yang terbesar dalam sejarah Greece.

Pada 26 Januari 2025, ratusan ribu orang berhimpun di lebih 180 buah lokasi di Greece untuk bersolidariti dengan keluarga-keluarga mangsa peristiwa pelanggaran kereta api Tempi, dengan tuntutan supaya pihak berkuasa menjalankan penyiasatan penuh ke atas peristiwa itu dan mendapatkan keadilan bagi penumpang-penumpang yang mati.

Sebulan kemudian, menjelang dua tahun selepas peristiwa pelanggaran kereta api Tempi, pada 28 Februari 2025, ratusan ribu orang rakyat Greece, kebanyakannya anak muda, berdemonstrasi di lebih 262 buah lokasi di Greece. Pihak polis cuba menyuraikan perhimpunan di Athens sehingga mencetuskan pertembungan antara para demonstran dan polis di luar bangunan parlimen. Namun, selepas ketegangan diredakan, kebanyakan demonstran meneruskan aksi protes mereka di jalanan.

Pada masa yang sama, kesatuan-kesatuan sekerja utama di Greece, termasuk Konfederasi Umum Pekerja Greece (GSEE), Konfederasi Kesatuan Sekerja Penjawat Awam Greece (ADEDY) dan Barisan Militan Seluruh Pekerja (PAME), menganjurkan aksi mogok selama 24 jam di seluruh negara. PAME mengatakan bahawa peristiwa pelanggaran kereta api Tempi merupakan akibat daripada jenayah sistemik yang dilakukan berdekad-dekad lamanya melalui penswastaan, penyahkawalseliaan dan pengurangan perbelanjaan sosial yang dikenakan oleh kerajaan Greece dan Kesatuan Eropah (EU).

“Pekerja-pekerja negara ini, bersama-sama murid-murid dan pelajar-pelajar, bersama-sama dengan semua rakyat, sentiasa melaksanakan kata-kata yang kita berikan dua tahun lalu kepada keluarga-keluarga mangsa dan diri kita sendiri bahawa kita tidak akan membiarkan jenayah ini ditutupi. Ia adalah dirancang!” begitu katanya kenyataan yang dikeluarkan oleh PAME. “Ini telah didedahkan sejak saat pertama selepas puluhan aduan daripada anggota kesatuan sekerja PAME dan kesatuan sekerja kereta api memberi amaran tentang risiko kemalangan besar. Semua orang tahu, kerajaan, EU dan syarikat kereta api. Mereka semua bersubahat.”

(sumber: PAME)

Dalam tempoh dua tahun yang lalu, walaupun sudah berlakunya kemalangan maut, kerajaan Greece masih gagal mengubah dasarnya yang mengakibatkan pelanggaran kereta api Tempi itu. Penswastaan dan kekurangan pendanaan kepada pengangkutan awam terus memburukkan lagi keadaan rangkaian kereta api di negara itu, dengan 2,000 jawatan pekerja kereta api masih belum diisi dan langkah-langkah keselamatan asas juga masih tidak wujud.

Walaupun peristiwa pelanggaran kereta api Tempi merupakan sebab utama di sebalik gelombang aksi protes yang terbaru di Greece, mobilisasi massa di jalanan Greece juga mencerminkan kemarahan rakyat yang lebih meluas terhadap keadaan sosioekonomi di Greece pada masa itu. Mereka yang berdemonstrasi di jalanan turut mengetengahkan masalah seperti kekurangan peruntukan dana dalam pendidikan awam, kos perbelanjaan sara hidup yang melambung tinggi dan gaji yang rendah. Rakyat bawahan menderita kerana kesusahan sosioekonomi, tetapi kerajaan Greece masih membelanjakan berbilion-bilion dalam ketenteraan yang melindungi kepentingan kuasa imperialis Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Kesatuan-kesatuan sekerja dan organisasi-organisasi kiri di Greece berikrar untuk bermobilisasi sehingga tuntutan rakyat itu dipenuhi, seperti yang dikatakan dalam kenyataan PAME, “Kami berikrar bahawa kami tidak akan tinggal di lembah Tempi yang luas. Kami akan berjuang secara teratur untuk menentang dasar-dasar yang mengorbankan nyawa kita kepada keuntungan segelintir kecil parasit.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *