
oleh Arveent Kathirtchelvan
Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengambil maklum akan beberapa orang pelajar UiTM Dengkil yang berarak sambil memakai pakaian ala-ala pertubuhan Ku Klux Klan (KKK). Justifikasi yang diberi oleh pihak UiTM adalah aktiviti itu berkaitan dengan tugasan akademik oleh pelajar Pusat Asasi UiTM Cawangan Selangor, Kampus Dengkil. UiTM juga menyokong perbuatan pelajar-pelajar itu dan menyifatkannya sebagai normal untuk tugasan mereka.
KKK ialah sebuah pertubuhan pembenci yang berpaksikan fahaman ekstremis orang kulit putih di Amerika Syarikat. Dalam sejarahnya, KKK ini telah membunuh secara ganas ramai individu berbangsa dan beragama selain daripada mereka, terutamanya warga Amerika Syarikat berketurunan Afrika. Dimaklumkan juga pelajar-pelajar itu bukan sahaja berarak tetapi juga memuat naik gambar mereka berpakaian seperti anggota KKK dan mengangkat salib di khalayak orang ramai. Secara keseluruhannya, perbuatan pelajar-pelajar ini kelihatan mengagung-agungkan atau, sekurang-kurangnya, menormalisasi pertubuhan KKK.
Masyarakat majmuk Malaysia bukannya tidak mengenal aktiviti berunsur perkauman. Malah banyak pertuturan serta tingkah laku sebegini telah menjadi sesuatu kebiasaan kepada kita. Setelah berlakunya satu persembahan berbaur ekstremisme seperti yang di UiTM, patutlah kita tanya, “Apakah yang kita wariskan kepada anak-anak kita?”.
Mengapakah sekumpulan anak muda sanggup menghiaskan diri dan berarak seperti sang pembunuh kejam? Adakah mereka tidak tahu akan impak KKK yang sebenar? Kalau begitu, mengapakah mereka tidak dididik secukupnya? Adakah modul UiTM serta institut pengajian lain tidak menyeluruh untuk menyemai pemahaman penuh tentang kumpulan sebegini? Ataupun adakah masyarakat kita sendiri terlalu selesa dengan ekspresi kebencian?
Perbuatan berunsur buruk prasangka, perkauman dan stigma amat senang dibiasakan dalam sesebuah masyarakat. Di Malaysia, sebagai contoh, penyewaan bilik dan rumah selalunya mendiskriminasi warga berkulit gelap. Sesetengah parti politik mengeruhkan keadaan dengan retorik perpecahan untuk mendapatkan undi. Malah beberapa rakyat biasa, terutamanya di media sosial, mengeluarkan kenyataan penuh dengan kebencian terhadap warga lain. Apakah patutnya kerajaan merespon?
PSM, melalui kenyataannya “Tangani rasisme di Malaysia: Normalisasi, hipokrasi dan keperluan untuk perubahan” telah mengemukakan beberapa pendekatan penting. Pertama, institusi sosial seperti pendidikan, keagamaan dan media massa perlu memainkan peranan aktif dalam mendidik masyarakat tentang kepentingan menghormati perbezaan. Kedua, kerajaan perlu merangka dan melaksanakan undang-undang yang lebih tegas untuk memastikan keadilan ditegakkan untuk mangsa diskriminasi dan penghinaan berunsur rasis.
PSM amat kecewa dengan Kerajaan MADANI yang kononnya jaguh reformasi tetapi masih belum melaksanakan apa-apa program kukuh untuk menangani kemelut ini. Pembangkang arus perdana pun kelihatan tidak berminat untuk membina sebuah Malaysia yang harmoni dan peka pada sensitiviti setiap lapisan masyarakat. Hanya PSM yang membawa solusi kepada masalah yang nyata.
==========
Arveent Kathirtchelvan ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM).