
oleh Cheong Huei Ting
Kami mengecam tindakan intimidasi pihak polis terhadap penganjur perhimpunan anti-rasuah “Rakyat Benci Rasuah” yang dipimpin oleh para belia pada 25 Januari 2025 di Kuala Lumpur. Adakah kerajaan berniat untuk mendiamkan golongan muda yang lantang menentang rasuah?
Rasuah adalah masalah sistemik besar dalam politik Malaysia, dan golongan belia amat kecewa dengan usaha pembasmian rasuah di bawah pentadbiran Kerajaan Madani. Antara isu-isu yang membingungkan ialah pelantikan Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM) walaupun dibelenggu dengan tuduhan rasuah dan pelantikan Musa Aman sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah yang juga pernah dituduh terlibat dalam kes rasuah.
Perhimpunan ini melambangkan semangat golongan belia yang berniat membangunkan negara, sama seperti protes yang dianjurkan PMX dan rakan seperjuangan beliau semasa era Pakatan Rakyat dan Reformasi. Tetapi, mengapa perhimpunan kali ini menghadapi bantahan dan ugutan daripada pihak berkuasa?
Tindakan ini akan menghalang rakyat Malaysia daripada mengamalkan hak sivil mereka untuk lantang bersuara menentang ketidakadilan. Kami juga ingin mengkritik layanan dua darjat daripada pihak berkuasa: penganjur “Rakyat Benci Rasuah” disoal siasat tetapi penganjur perhimpunan solidariti Najib tidak menghadapi masalah ini!
Kami bersolidariti dengan penganjur yang disoal siasat serta menyeru kerajaan untuk menegakkan hak rakyat untuk bersuara dan berhimpun secara aman. Kerajaan mesti melaksanakan reformasi yang dijanjikan dengan memerangi rasuah dan menegakkan hak sivil rakyat, termasuk menamatkan ugutan polis terhadap peserta perhimpunan aman.
Akhir sekali, kami juga menyeru pada kerajaan supaya memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971. Sebagai para pemimpin masa depan negara, golongan belia mesti bebas menyertai aktiviti politik dan penganjuran akar umbi. Untuk membentuk masyarakat yang progresif, kita perlu memupuk rakyat yang berani dan berpengetahuan terlebih dahulu!
==========
Cheong Huei Ting ialah Setiausaha Pemuda Sosialis PSM.