
PUTRAJAYA – 27 JANUARI 2025: Ratusan orang pesawah dari pelbagai tempat di seluruh negara berhimpun di hadapan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan pada hari ini untuk menggesa kerajaan supaya menaikkan harga lantai padi dan menyatakan bantahan mereka terhadap Rang Undang-undang (RUU) Kualiti Benih Tanaman yang menjejaskan golongan petani kecil.
Pesawah-pesawah menuntut pada kerajaan supaya menaikkan harga lantai padi daripada RM1,300 per tan metrik kepada RM1,800 per tan metrik.
“Harga lantai RM1,300 per tan metrik pada ketika ini adalah tidak adil dan tidak relevan lagi, kerana tidak mencerminkan realiti kos pengeluaran padi yang semakin meningkat, berikutan kenaikan kos diesel dan benih,” kata Abdul Rashid Yob, Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH). “Kenaikan harga lantai padi ini penting bagi memastikan kelangsungan hidup pesawah dan menjamin bekalan makanan negara.”
Harga lantai padi sekarang ini telah ditetapkan 2023. Namun, sejak tahun 2023, pelbagai kos yang perlu ditanggung oleh pesawah-pesawah telah melambung tinggi. Kos benih padi telah naik sebanyak dua kali sejak tahun 2023, dan kenaikan terkini adalah secara mendadak daripada RM45 setiap 20 kg pada tahun 2023 kepada RM58 setiap 20 kg. Kos membajak dan menuai juga meningkat akibat penghapusan subsidi diesel yang memaksa pesawah-pesawah untuk menanggung kos mesin jentuai yang lebih tinggi yang dikenakan oleh pemilik mesin kerana mereka tidak menerima subsidi diesel (fleet card). Kos sewa tanah turut meningkat pada kasar berbeza mengikut negeri sejak beberapa musim kebelakangan ini. Kos racun kimia melambung tinggi hampir 4 kali ganda berbanding 2 tahun lalu. Selain itu, kos upah penyelenggaraan sawah juga meningkat.

“Apa yang kami tuntut ini adalah munasabah dan relevan,” ulas Abdul Rashid Yob. “Kenaikan harga lantai padi kepada RM1,800 per tan metrik akan memberi insentif kepada pesawah untuk terus mengusahakan sawah padi dan meningkatkan produktiviti.”
Pertubuhan PeSAWAH mencadangkan alternatif jika kerajaan tidak dapat meluluskan kenaikan harga padi kepada RM1,800 per tan metrik seperti yang dituntut ini, termasuk menambah subsidi harga padi sebanyak RM500 per tan untuk mengimbangi kos pengeluaran padi yang tinggi, dan mengurangkan kos input bersawah dengan menurunkan harga perkhidmatan jentera bajak dan tuai, menurunkan kos input seperti benih, baja dan racun, serta membenarkan petani-petani untuk menyimpan, berkongsi dan menjual benih padi. Langkah-langkah ini dapat mengurangkan kebergantungan petani-petani kepada pembekal yang mengenakan harga tinggi.
Pesawah-pesawah juga membantah RUU Kualiti Benih Tanaman yang akan dibentangkan di Parlimen. RUU tersebut akan mewajibkan setiap individu yang memproses dan mengedar benih tanaman untuk memperolehi lesen dan menghantar sampel benih ke makmal untuk ujian pengesahan. Hukuman yang dikenakan ke atas mereka yang menyimpan dan mengedar benih yang tidak mempunyai lesen itu boleh mencecah denda bernilai RM100,000 dan penjara 3 tahun.
“RUU ini dirangka tanpa sebarang perundingan yang bermakna dengan golongan petani di negara ini,” kata Abdul Rashid Yob. “Tujuan RUU ini untuk mengelakkan pembeli benih daripada tertipu adalah dipuji. Namun, dengan mewajibkan pelesenan dan notifikasi kepada Jabatan Pertanian bagi semua individu yang menyimpan dan mengedar benih, termasuk petani kecil, adalah satu perbuatan yang berlebihan, dan ia hanya menguatkan lagi monopoli korporat terhadap benih tanaman.”

“Berikutan peningkatan kos bersawah, kelewatan bekalan benih yang sering berlaku dan kemerosotan kualiti benih padi yang sah, sejak beberapa tahun kebelakangani ini, hampir 30% pesawah sudah mula memprotes, berkongsi dan menjual benih padi dari sawah mereka sendiri untuk menjimatkan kos dan mendapatkan pendapatan tambahan secara kecil-kecilan,” tambah Abdul Rashid Yob. “Amalan tradisi petani kecil menyimpan, berkongsi dan menjual benih secara kecil-kecilan kepada ahli-ahli keluarga dan rakan-rakan adalah sangat penting untuk kepelbagaian agrobiologi dan menjamin sara diri petani kecil.”
“Kami membantah sekeras-kerasnya cadangan RUU Kualiti Benih Tanaman. RUU ini dilihat akan membebankan petani-petani kecil seperti kami,” tegas kata Abdul Rashid Yob. “Kami berharap agar kerajaan akan memberikan perhatian serius terhadap isu-isu yang kami bangkitkan ini dan mengambil tindakan yang sewajarnya bagi memastikan kelestarian dan kesejahteraan pesawah serta keterjaminan makanan negara.”
Aksi protes pada hari ini pada asalnya dirancang untuk diadakan di hadapan Pejabat Perdana Menteri, tetapi dipindahkan lokasinya ke Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk mengelak daripada mengganggu kunjungan rasmi Presiden Indonesia ke Pejabat Perdana Menteri. Walau bagaimanapun, memorandum yang mengandungi tuntutan pesawah itu telah diserahkan kepada Chan Ming Kai selaku Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri.
Turut hadir bersolidariti bersama-sama pesawah-pesawah hari ini dalam menyuarakan tuntutan mereka ialah akvitis-aktivis kumpulan mahasiswa, akvitis-aktivis Gabungan Marhaen dan aktivis-aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM), S. Arutchelvan (Timbalan Pengerusi Nasional PSM) dan Soh Sook Hwa (Bendahari Nasional PSM).