IPOH, PERAK – 5 FEBRUARI 2025: Seramai 12 orang penternak dari Sungai Siput telah hadir ke Mahkamah Tinggi Ipoh pada hari ini untuk memberi sokongan moral kepada Sukumaran a/l Munisamy, seorang penternak lembu yang sedang menghadapi kes saman fitnah yang difailkan oleh Sivanesan Achalingam terhadapnya.

Sivanesan ialah ADUN daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP) bagi kawasan Sungkai di Perak sejak tahun 2008, dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO) Negeri Perak untuk Sumber Manusia, Kesihatan dan Hal Ehwal Masyarakat India sejak bulan November 2022.

Pada tahun lalu, penternak-penternak lembu di beberapa buah ladang milik syarikat Sime Darby di seluruh negara sedang menghadapi tekanan daripada majikan untuk memindahkan lembu-lembu mereka keluar dari kawasan ladang Sime Darby. Dalam pada itu, sebuah Jaringan Penternak Lembu telah ditubuhkan dan meminta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk menganjurkan dialog dengan pihak Sime Darby. Dalam mesyuarat bersama pada bulan Oktober 2024, pihak Kementerian Pertanian telah menegaskan bahawa pertanian bersepadu (integrated farming) di mana lembu-lembu yang diternak di ladang kelapa sawit memanfaatkan penternak-penternak dan juga pihak majikan ladang.

Beberapa kajian akademik telah membuktikan bahawa kaedah pertanian bersepadu meningkatkan hasil buah sawit. Sehubungan itu, Kementerian Pertanian juga menganjurkan mesyuarat-mesyuarat susulan dengan Sime Darby untuk menetapkan garis panduan berkaitan bilangan lembu per hektar dan tanggungjawab penternak serta majikan ladang masing-masing.

Dalam keadaan ini, Sivanesan, yang juga merupakan Ahli EXCO Negeri Perak, telah mengeluarkan kenyataan pada bulan Mei 2024 bahawa penternak lembu yang tidak lagi bekerja di dalam ladang harus memindahkan lembunya keluar dari kawasan ladang berkenaan. Jawatankuasa Penternak di Sungai Siput telah menegur Sivanesan atas kenyataan itu melalui media sosial. Ekoran itu, Sivanesan telah memfailkan kes saman terhadap Sukumaran yang merupakan anggota Jawatankuasa Penternak Sungai Siput dan Sivarajan a/l Arumugan selaku Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), kerana komen Sukumaran itu telah dimuat naik dalam akaun media sosial PSM.

Dr. Jeyakumar Devaraj, Pengerusi Nasional PSM, telah hadir bersolidariti bersama-sama penternak-penternak di Mahkamah Tinggi Ipoh pada hari ini. Beliau kecewa dengan tindakan Sivanesan yang memfailkan kes terhadap para penternak. Dr. Jeyakumar berkata, “Seorang pemimpin politik harus sedia menerima maklum balas dan juga teguran daripada rakyat umum. Respon seorang wakil rakyat yang bertanggungjawab adalah berjumpa dengan pihak yang memberi maklum balas atau teguran itu untuk mendengar lebih lanjut pandangan mereka dan menilai bagaimana dia sendiri dapat membantu sebagai seorang wakil rakyat dalam menyelesaikan isu yang dihadapi oleh rakyat.”

Dr.Jeyakumar juga berkata bahawa beliau berasa hairan kenapa kepimpinan DAP masih belum mencampur tangan untuk menyelesaikan salah faham antara seorang EXCO DAP Perak dan segolongan rakyat umum di Perak. “Kes seperti ini boleh memburukkan imej DAP dan Pakatan Harapan,” ujar Dr. Jeyakumar.

Dalam sebutan kes hari ini, Mahkamah Tinggi Ipoh telah menetapkan tarikh 28 Julai 2025 untuk pendengaran kes ini. Sukumaran diwakili oleh peguam Ragunath Kesavan (mantan Presiden Majlis Peguam Malaysia) dan peguam Bawani Kaniapan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *