Berikut ialah kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Forum Kedaulatan Makanan Malaysia (FKMM) pada 19 Disember 2014 dan diendors oleh 106 buah organisasi:

1. Kami organisasi-organisasi petani dan kumpulan-kumpulan masyarakat sivil, dengan ini menggesa kerajaan agar memberhentikan proses pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Kualiti Benih Tanaman di Parlimen, berikutan ketiadaan proses konsultasi yang telus dan menyeluruh dengan semua pihak berkepentingan, khususnya petani-petani kecil dan sederhana dan organisasi-organisasi bukan kerajaan yang berkaitan pertanian dan alam sekitar.

2. Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia melalui sesi soal jawab kamar khas parlimen pada 18 November 2024 menyatakan bahawa Jabatan Pertanian telah menjalankan satu siri taklimat dan telah melaksanakan Analisis Impak Peraturan (RIA) berkenaan RUU Kualiti Benih Tanaman di mana setiap individu yang memproses dan mengedar benih akan diwajibkan memohon lesen. Menurut beliau lagi, Penyata Impak Peraturan (“Regulatory Impact Statement”/RIS) bagi RUU Kualiti Benih Tanaman telah dikeluarkan oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) pada 22 Jun 2018.

3. Kami ingin menegaskan bahawa penilaian impak peraturan ini dikeluarkan tanpa pematuhan proses yang ditetapkan untuk RIS. Perundingan yang pertama bersama kami dibuat pada tahun 2019. Setahu kami, tiada langsung perundingan dengan petani dan orang ramai dibuat sebelum RIS dikeluarkan pada tahun 2018. Proses RIS yang dikatakan telah dibuat adalah sangat tidak teratur dan tidak boleh dipercayai untuk menyokong sebarang pelaksanaan rang undang-undang. Bahkan, cadangan penggubalan Akta Benih Tanaman ini hanya diumumkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian pada 16 September 2018. Kami mendapati bahawa ada kumpulan petani tertentu yang tidak dirujuk sama sekali. Bagaimanakah RIS boleh disiapkan sebelum pemberitahuan awam dibuat? Oleh itu, penilaian impak peraturan baharu mesti dijalankan.

4. Sejak pengumuman cadangan RUU ini, FKMM telah berjumpa dengan pegawai-pegawai Jabatan Pertanian sebanyak tiga kali – sekali pada tahun 2019 dan dua kali pada tahun 2024. Kami hadir ke sesi-sesi ini atas desakan pertemuan daripada pihak kami sendiri pada tahun 2019 dan jemputan daripada pihak ketiga pada tahun 2024. Tiada usaha dari Jabatan Pertanian sendiri untuk menganjurkan sesi konsultasi bersama kami. Dalam perjumpaan pertama FKMM dengan Jabatan Pertanian pada tahun 2019, kami telah diberikan beberapa butiran berkenaan RUU tetapi tidak dibenarkan melihat teks RUU. Butiran yang diberikan kepada kami menimbulkan kebimbangan yang sangat serius kerana kami diberitahu bahawa setiap individu yang memproses, mengedar, berkongsi dan menjual benih tanaman wajib memiliki lesen, untuk itu, sampel benih tanaman mesti dihantar ke makmal untuk ujian dan kesalahan tidak memiliki lesen adalah denda RM100,000 – RM200,000 dan 3 tahun penjara.

5. Pada tahun 2024, wakil pihak kami telah hadir ke dua lagi sesi konsultasi. Sesi yang dijalankan adalah terlalu umum dan tidak memperincikan RUU tersebut, seperti kesan ke atas amalan berkongsi dan menjual benih secara kecil-kecilan, keperluan menghantar benih ke makmal untuk ujian, serta apakah denda atau hukuman kepada mereka yang tidak berlesen.

6. Objektif RUU ini iaitu untuk mengelakkan pembeli benih daripada tertipu adalah dipuji. Namun, dengan mewajibkan pelesenan dan notifikasi kepada Jabatan Pertanian kepada semua individu yang menyimpan dan mengedar benih termasuk petani kecil, ia adalah satu perbuatan yang berlebihan dan hanya akan menguatkan lagi monopoli pihak korporat terhadap benih tanaman. Amalan tradisi petani kecil menyimpan, berkongsi, dan menjual benih secara kecil-kecilan kepada ahli keluarga dan rakanrakan adalah sangat penting untuk kepelbagaian agrobiodiversiti dan menjamin sara diri petani tersebut. Kami percaya bahawa objektif RUU tersebut dapat dicapai melalui undang-undang sedia ada, dan perlu termasuk dalam proses perundingan dengan petani dan orang ramai.

7. Kami ingin menekankan beberapa kebimbangan utama yang telah disuarakan oleh petani dan ramai kumpulan-kumpulan masyarakat sivil mengenai RUU Kualiti Benih Tanaman ini:

  • Menyekat hak tradisi petani untuk bebas berkongsi dan menjual benih tanaman sesama keluarga, rakan-rakan, dan orang awam, kerana pelesenan merupakan satu bentuk kawalan daripada kerajaan – ini bercanggah dengan Hak Petani (Farmers’ Rights) di bawah undang-undang antarabangsa .
  • Kemungkinan peningkatan kos yang besar kepada petani untuk bayaran lesen dan ujian makmal pada masa hadapan. Meskipun ujian makmal kini boleh dibuat secara percuma di makmal milik kerajaan, bayaran pasti akan dikenakan di masa hadapan oleh kerajaan atau swasta apabila jumlah sampel meningkat.
  • Peningkatan monopoli syarikat kerana syarikat lebih berkemampuan menampung kos pelesenan dan pengurusan berkaitan, berbanding individu.
  • Kesan negatif terhadap agrobiodiversiti tanaman kerana melalui pelesenan, benih-benih komersial yang lebih popular atau menguntungkan akan diutamakan.
  • Hukuman denda dan penjara yang keterlaluan terhadap petani dan orang awam, seolah-olah mereka melakukan kesalahan serius – ini juga bercanggah dengan Hak Petani (Farmers’ Rights) di bawah undang-undang antarabangsa.

8. Oleh itu, kami dengan tegas mendesak kerajaan untuk menghentikan usaha membentangkan RUU ini di Parlimen dan mengadakan sesi konsultasi yang telus dan menyeluruh bersama petani dan pihak berkepentingan lain. Transparensi dan keterlibatan semua pihak dalam proses ini adalah penting untuk memastikan keadilan kepada semua pihak termasuk petani dan orang awam yang akan terkesan dengan RUU Kualiti Benih Tanaman ini.

==========

Senarai organisasi-organisasi yang mengendors kenyataan bersama ini:

  1. A Little Wild Farm
  2. Agora Society Malaysia  
  3. Al Ard Green Farm
  4. ALAM Selangor
  5. Aliran Kesedaran Negara (Aliran)
  6. Aman D Kebun
  7. ANSARA Balik Pulau
  8. ARL Environment
  9. Ayam Lepas Lenggeng (Lepas Bebas Enterprise)
  10. Blue Oasis (M) Sdn Bhd
  11. Borneo Komrad
  12. Borneo Natural Farm
  13. Cahaya Nursery
  14. Carbon Xchange (Sarawak) Sdn. Bhd.
  15. Centre for Environment, Technology and Development, Malaysia (CETDEM)
  16. Consumers’ Association of Penang (CAP)
  17. Consumer Choice Center
  18. Coral Triangle Initiative Women Leaders Forum
  19. Ctmai Nursery
  20. Diribumi Ecological Services
  21. Ecocentric Transitions
  22. Ecopro Training Centre
  23. EES Biotech Sdn Bhd
  24. Ekar Lui Enterprise
  25. .Forum Kedaulatan Makanan Malaysia (FKMM)
  26. Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi Proses Semakan Berkala Sejagat (MACSA)
  27. GRASS Malaysia
  28. Greenpeace Malaysia
  29. Guar Perahu Herbal Valley
  30. Guardians of Nature’s Retreat
  31. HuTani Services
  32. IGROBIZ Enterprise
  33. Institut Masa Depan Malaysia (MASA)
  34. Jaringan Ekologi Dan Iklim (JEDI)
  35. Jerami Utara Center Enterprise
  36. Jinko Vanilla Agroforestry Farm
  37. Justlife Group Sdn Bhd
  38. Jungle School Gombak Malaysia
  39. KAMi
  40. Kebun Komuniti Janda Baik
  41. Kebun Rakyat Tangkak
  42. kebunbandar.com
  43. Kebunsua
  44. Klima Action Malaysia (KAMY)
  45. Kokoriu
  46. Komuniti AgroMadani
  47. Komuniti OA Bukit Lagong
  48. Komuniti Pondok Sukun (KOMPOS)
  49. Komuniti Taman Sri Bidor KRT
  50. Koperasi Agro Organik Johor Bhd
  51. Koperasi Pekerja Justlife Selangor Berhad
  52. Koperasi Kongsi Selangor Berhad (Kongsi Koop)
  53. Koperasi Petani Pulau Pinang Berhad
  54. Kuching Jadam Group
  55. Kuching Seed Swap
  56. Laman Organik Firdaus
  57. Liga Rakyat Demokratik
  58. LR Worldwide
  59. Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM)
  60. Malaysia Demeter Association
  61. MY Tropical Services
  62. Natsac Enterprise
  63. Nature Resource Solutions
  64. Parti Sosialis Malaysia (PSM)
  65. Persatuan Agroekologi Malaysia (SRI-Mas)
  66. Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA)
  67. Persatuan Go Go Green
  68. Persatuan Pekebun Sayur Pulau Pinang
  69. Persatuan Pemeliharaan dan Pemuliharaan Alam Sekitar Sarawak (PELIHARA)
  70. Persatuan Penanam Buluh Sarawak
  71. Persatuan Permakultur Malaysia
  72. Persekutuan Persatuan-Persatuan Pekebun-Pekebun Sayur-Sayuran Malaysia
  73. Pertubuhan Ilmu Generasi Aspirasi
  74. Pertubuhan Pembangunan Antarabangsa dan Penyelidikan Untuk Kelestarian (IDRIS)
  75. Pertubuhan Pencinta Eco Alam Malaysia
  76. Pertubuhan Penggerak Komuniti Kg. Tampasak, Penampang
  77. Pertubuhan Penggerak Masyarakat Malaysia (Penggerak Malaysia)
  78. Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH)
  79. Pertubuhan Rangkaian Pembangunan Kesinambungan Malaysia (SUSDEN Malaysia)
  80. Plants for Plastic
  81. Pmu Cerondah
  82. Pusat Penyelidikan & Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA)
  83. Quin Terra PLT
  84. Rakan Membangun Masyarakat
  85. Rasa Sayang Permaculture Estate
  86. Rasamasa MY
  87. Raw Nature Sdn Bhd
  88. Rumah Dusun Mamaya
  89. Sahabat Alam Malaysia (SAM)
  90. Sahabat Ekologi Perak
  91. Salloma Nursery & Landscape Sdn Bhd
  92. Soilogy
  93. Syarikat Followliu Maju
  94. Save Malaysia Stop Lynas
  95. Taman Sara Resources
  96. Terrajiwa Enterprise
  97. The Hope Village
  98. The International Women’s Alliance for Family Institution and Quality Education (WAFIQ)
  99. The Reading Room & Cafe
  100. Third World Network (TWN)
  101. Ubi organisation
  102. UMANY
  103. Urban Hijau
  104. Venture Agro
  105. Warisan Agro Supplies
  106. WAU Farm

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *