Adakah Anwar Ibrahim meminta kebenaran daripada pemilik premis dan polis untuk berhimpun pada masa dahulu semasa mengadakan perhimpunan Reformasi yang besar-besaran?

oleh S. Arutchelvan

Syarat mengenai keperluan untuk meminta kebenaran daripada pemilik premis seperti yang termaktub dalam Akta Perhimpunan Aman adalah tidak masuk akal, dan perlu dipinda atas sebab-sebab yang nyata. Sebagai contoh, anda ingin mengadakan perhimpunan awam di luar bangunan KWSP, maka anda perlu meminta kebenaran daripada KWSP, dan mereka sudah pastinya akan menolak permintaan itu. Jadi, selepas ini bagaimana? Justeru, penganjur sudahpun dapat meneka sama ada sesuatu kebenaran itu akan diberi atau tidak. Keadaan ini tidak berbeza sangat degan Akta Polis sebelum ini yang mengkehendaki penganjur untuk meminta kebenaran polis.

Begitu juga dengan undang-undang menghendaki polis bertanya kepada pemilik di sekitar tempat perhimpunan, dan hampir majoriti akan mengatakan mereka tidak menyokong perhimpunan itu kerana ia mengganggu perniagaan mereka. Jadi, polis harus menggunakan kuasa budi bicara sendiri dan bukannya semata-mata mengikut syarat perlunya kebenaran daripada tuan punya premis.

Pada pandangan saya, syarat meminta kebenaran ini bertentangan dengan hak yang dijamin dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan Malaysia, iaitu hak untuk berhimpun secara aman.

Jika anda ingin mengadakan perhimpunan di luar Kedutaan Amerika Syarikat (AS), adakah anda meminta kebenaran Kedutaan AS? Memandangkan kita sudahpun memaklumkan kepada pihak polis, jadi pihak polis perlu membuat persiapan yang diperlukan untuk memudahkan perhimpunan itu, dan bukan untuk menghalangnya. Itulah semangat undang-undang perhimpunan aman yang diperkenalkan oleh Najib Razak pada tahun 2012 selepas penentangan besar-besaran terhadap tindakan polis yang menghalang perhimpunan awam sebelum itu.

Nasihat saya kepada penganjur perhimpunan awam adalah, anda boleh memaklumkan kepada polis, tetapi ingat bahawa hak untuk berhimpun anda itu dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan. Jadi, jika pihak polis tidak berpuas hati, mereka boleh mendakwa penganjur selepas acara, dan bukannya menghalang mereka daripada berhimpun berdasarkan alasan teknikal, iaitu keperluan meminta kebenaran daripada pemilik premis tempat yang anda ingin mengadakan perhimpunan.

Adakah Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan (PH) sekarang ini meminta kebenaran daripada polis atau DBKL di bawah Akta Polis pada masa dahulu ketika perhimpunan Reformasi yang besar-besaran itu dianjurkan. Sudah tentu tidak, kerana memperjuangkan hak dan kebebasan berhimpun adalah hak asasi manusia.

==========

S. Arutchelvan ialah Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *