oleh R Saratbabu Raman
Hampir setahun lebih Kesatuan Pekerja Swasta Hospital Kerajaan (NUWHSAS) mengadu tentang isu penindasan pekerja oleh majikan mereka, Edgenta UEMS Sdn Bhd, yang terus berlaku sehingga kini kepada kerajaan, terutamanya Kementerian Sumber Manusia.
Pada bulan Julai 2024, 6 orang pemimpin kesatuan dari Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak, telah dibuang kerja tanpa alasan. Lebih 100 orang pekerja lagi diugut dengan diberi surat tunjuk sebab kerana mereka menyuarakan hak mereka untuk kekal bekerja dengan syif biasa.
Kebanyakan pekerja ini bekerja selama 26 tahun di hospital berkenaan sebagai pekerja pembersihan syif biasa dan diberi kerja lebih masa sahaja. Tiba-tiba Edgenta UEMS menyuruh pekerja untuk bertukar kepada kerja syif baharu.
Pekerja-pekerja pembersihan ini sedang melalui pelbagai rintangan daripada majikan yang sama sejak tahun 2019 lagi kerana menyertai kesatuan. Majikan terus menekan pekerja supaya tidak terlibat dalam sebarang aktiviti kesatuan. Kini, Edgenta UEMS jelas mengambil tindakan “kuku besi” terhadap pekerja sesuka hati mereka tanpa memberikan penghormatan kepada hak berkesatuan pekerja.
Pemusnahan kesatuan oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ini sudah melampaui batas sehingga tidak menghormati perintah mahkamah yang dipersetujui sebelum ini.
Edgenta UEMS, bukan sahaja tidak mematuhi perintah Mahkamah Perusahaan, malah menghina keputusan mahkamah yang telah memerintah supaya “mengambil tindakan terhadap penyelia yang menggangu aktiviti kesatuan”.
Hak bersuara pekerja terus dicabuli oleh majikan apabila pelbagai halangan dan sekatan yang berterusan diberikan oleh majikan seperti Edgenta UEMS ini.
Inilah masa untuk kita melindungi dan mempromosi kepentingan pekerja supaya memperjuangkan hak-hak pekerja.
Kita tidak harus lupa, kesedaran solidariti sesama pekerja lahir sejak abad ke-19, yang seterusnya mewujudkan kesatuan sekerja. Kesatuan sekerja menjadi tunjang kebangkitan golongan pekerja sejak dulu lagi. Namun, semakin lama, kepentingannya semakin dilupakan di negara kita.
Pada awal tahun ini, YB Steven Sim, Menteri Sumber Manusia dalam satu kenyataan media menyatakan bahawa “kesatuan sekerja harus didukung dan diperkasa”. Padahal, Kesatuan Pekerja Swasta Hospital Kerajaan sedang menunggu lama untuk satu perjumpaan dengan Menteri supaya membincangkan masalah pencabulan hak asasi pekerja ini.
Harapan kesatuan terhadap kerajaan akan menyelesaikan isu ini melalui campur tangan Menteri, seolah-olah peribahasa melayu “harapkan pagar, pagar makan padi”. Nampaknya Menteri berdiam diri walaupun kesatuan sudah menyerahkan beberapa surat kepada Kementeriannya.
Kata-kata manis oleh YB Steven Sim itu, tidak akan membawa sebarang perubahan selagi kita tidak mengambil sebarang tindakan drastik dengan serta-merta. Kami berpendapat bahawa YB Steven Sim perlu mengarahkan Edgenta UEMS untuk menghentikan segala intimidasi terhadap ahli kesatuan dengan segera.
==========
R Saratbabu Raman ialah Ketua Biro Pekerja Parti Sosialis Malaysia (PSM).